Followers

Tuesday, 8 March 2022

Book Review - Dunia Tanpa Tembok II

Tajuk : Dunia Tanpa Tembok II
Penulis : Ayman Rashdan Wong
Penerbit : Patriots Publications


Dunia sedang mengalami perubahan besar yang dikenali sebagai keruntuhan orde antarabangsa liberal. Kewibawaan sistem antarabangsa yang dibina oleh Amerika Syarikat sejak tahun 1945 berdasarkan demokrasi liberal, ekonomi pasaran, dan hak asasi manusia kini menerima cabaran hebat menerusi kebangkitan pemimpin-pemimpin ‘strongman’, dasar perlindungan ekonomi, dan semangat populisme-nasionalisme.
Dengan menggunakan tiga kunci ilmu geopolitik iaitu KUASA, GEOGRAFI dan IDENTITI, buku ini akan merungkai persoalan-persoalan besar seputar situasi hubungan antarabangsa kini.


Seperti DTT yang sebelum ini, buku ini juga saya baca buat kali kedua untuk lebih pemahaman. Oleh kerana kali ini saya telah khatam buku tentang Kesatuan Soviet dan Nazi Di hujung Jari, maka saya lebih mudah untuk memahami kandungan DTT II untuk bacaan kali kedua ini. Buku DTT II ini lebih luas dan teliti menerangkan tentang geopolitik dan isu orde dunia dalam 50 bab ringkas.

Jika anda seorang yang mengikuti hal ehwal isu semasa dunia adalah tidak lengkap sekiranya hanya mengikutinya melalui berita-berita di media massa. Buku ini dapat memberikan rumusan dan jawapan untuk segala persoalan tentang apa yang telah dan sedang berlaku di luar dari peta Malaysia. Selain dari itu, buku DTT II dan terbitan The Patriots secara umumnya lebih mudah difahami kerana tidak menggunakan bahasa dan ayat level tinggi dan jargon yang sukar untuk difahami oleh orang biasa.
Ulasan tentang isi kandungan DTT II:-
1. Buku kedua ini lebih banyak bercerita tentang Trump (US) dan China serta hubungan-hubungan dua kuasa besar ini dengan negara-negara lain yang sama ada menjadi sekutu atau seteru. Tindakan-tindakan yang diambil oleh negara-negara yang memilih untuk memihak atau seteru dengan AS atau China adalah lebih kepada tentang isu keselamatan negara. Trump masih mempertahankan kedudukan AS sebagai hegemoni, cuma dengan pendekatan yang berbeza. Trump melihat China sebagai mudarat besar yang perlu ditangani terlebih dahulu kerana China mempunyai kuasa ekonomi yang kuat berbanding dengan Rusia yang masih jauh.
2. Geografi adalah takdir tetapi bagaimana sesebuah negara menggunakan ‘takdir’ untuk mengubah nasib dan hala tuju negara. Secara tidak langsung, AYW membantu kita lebih memahami tentang kepentingan hubungan diplomasi antarabangsa di antara negara kita dan negara-negara lain. Negara juga perlu mengenal pasti negara mana yang memberi ancaman dan selalunya negara jiran yang lebih memberi ancaman berbanding negara jiran di laut kerana bentuk geografinya.
3. Ukraine amat penting kepada Rusia kerana ia memegang jalan keluar Rusia ke Laut Hitam iaitu terletaknya pengkalan tentera laut Rusia di semenanjung Crimea. Pada tahun 2014 Rusia telah mengadakan referendum dan keputusannya menunjukkan majoriti penduduk Crimea mahu merdeka dari Ukraine dan menyertai Rusia memandangkan majority penduduk Crimea sendiri adalah etnik Rusia. Media massa pula suka membandingkan Putin dan Hitler dan mengatakan Putin mempunyai persamaan dengan Hitler.
4. Jika kita sebut Timur Tengah, pasti terbayangkan negara-negara ISLAM. Tahukah anda, negara-negara Timur Tengah pada hari ini adalah ciptaan Barat. Pada waktu Perang Dunia Pertama, kuasa-kuasa Barat bersaing sesama sendiri untuk menguasai Timur Tengah kerana kedudukan Timur Tengah cukup strategik. Negara Saudi adalah antara negara pengeluar Petroleum yang terbesar di dunia dan menjadi punca kerjasama rapat antara AS dan Saudi sejak 1945. Jika bukan kerana minyak, Saudi tidak mempunyai apa-apa nilai kepada AS.
5. Antara isu dan penerangan menarik dalam DTT II ialah tentang isu Israel – Palestine dan perang saudara Korea dan sejarahnya. Sangat menarik untuk kita selami permasalahan yang berlaku hampir 100 tahun dan masih tiada jalan penyelesaian untuk Israel – Palestin. Malah, penyatuan Korea juga masih jauh dan keinginan untuk bersatu juga semakin lama semakin kurang memandangkan generasi kini tidak mempunyai memori Perang Korea. Bagi mereka, Korea Utara ialah sebuah negara asing dan bimbang penyatuan dengan Korea Utara akan memberi kesan kepada ekonomi Korea Selatan dan menjejaskan peluang pekerjaan yang sudah pun semakin berkurangan.
 

AYW sekali lagi membuka mata untuk kita memahami bagaimana geopolitik mempengaruhi hubungan antarabangsa. Sejarah sering berulang-ulang cuma bagaimana kita sedar dan tahu akibatnya jika pemimpin negara tersilap langkah seperti yang terjadi antara Rusia dan Ukraine kini.  Walaupun buku ini tentang kejadian tahun 2018, tapi ia tidak bermakna buku ini tidak relevan selepas tahun 2018. Ia mampu menjadi sumber rujukan untuk isu semasa yang terjadi hari ini melalui sejarah yang lepas-lepas.
 
 
“Syria yang suatu ketika dahulu dilihat sebagai ‘syurga’ di dunia Arab berubah menjadi neraka selepas salah urus konflik. Dalam dunia hari ini yang serba berhubung, tiada tempat di atas muka bumi ini yang betul-betul bebas daripada sebarang ancaman. Siapa sangka tindakan seorang marhaen membakar diri boleh mencetuskan revolusi di sebuah negara terpencil di Afrika Utara, lalu ia merebak ke Syria dan seterusnya memberi impak kepada politik di Eropah dan Amerika?” - Prakata

Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...