Tajuk: The Physicists’ Odyssey – Kisah Kisah 25
Sarjana Fizik
Penulis: Zamir Mohyedin & Musoddiq Jaafar
Penerbit: Patriots Publisher
IQ yang tidak tertanding. Ketabahan menghadapi ujian. Keunikan yang membuatkan mereka terasing. Namun disebalik kejayaan dan penemuan yang memukau dunia, mereka juga manusia seperti kita. Ada suka dan duka. Ada betul dan silap. Ada tangis dan ketawa. Ini kisah 25 sarjana fizik, yang nama mereka terpahat dalam sejarah, sebagai yang teragung. Bukan sahaja kisah hebat yang diriwayat, tetapi kisah drama kehidupan yang tercatat.
Buku ini menghimpunkan kisah-kisah 25 ahli
sarjana fizik hidup dari lahir hingga meninggal berdasarkan turutan era dan
zaman. Setiap kisah mereka diceritakan tentang kelahiran, asal-usul, pendidikan,
keluarga, perjalanan tentang penemuan-penemuan sains dan fizik serta matemtik
serta sumbangan-sumbangan mereka dalam dunia fizik dunia. Sebagai seorang yang bukan dalam bidang sains
tulen sejujurnya saya cuma kenal dengan tiga orang tokoh fizik yang diceritakan
iaitu Isaac Newton, Albert Einstein dan Stephen Hawking. Buku ini menggunakan laras bahasa yang mudah
difahami dan penulisan yang menarik terutama kepada orang yang tidak mempunyai pengetahuan fizik seperti saya.
1. Dalam 25 kisah sarjana fizik
ini, seorang sarjana fizik yang beragama islam dan merupakan ilmuan Arab yang
paling agung dalam bidang fizik terutamanya optic iaitu Alhazen. Kitab-kitabnya
juga telah memberikan pengaruh yang sangat besar kepada ilmuan-ilmuan Eropah.
2. Kisah menarik tentang seorang
tentang sarjana fizik wanita yang sangat memberi inspirasi. Perjalanan Marie
Curie adalah sebuah kisah yang panjang dan sukar. Marie melalui perjalanan yang
berliku untuk mendapatkan ijazah kerana sistem diskriminasi terhadap kaum
wanita ketika itu yang tidak membenarkan mengambil bidang-bidang tertentu. Jika
ada pun, yurannya tersangat mahal. Jadi Marie terpaksa menangguhkan dahulu
pengajian untuk membantu pembiayaan pengajian kakaknya dalam bidang perubatan.
Marie akhirnya berjaya mendapatkan ijazah, PHD dan seterusnya mendapat Anugerah
Nobel Fizik dan merupakan wanita pertama yang menerima anugerah berprestij itu.
3. Faraday ialah ahli fizik yang
menyumbang dalam disiplin eletrik, magnetism dan elektrokimia merupakan seorang
saintis yang berasal dari keluarga yang miskin. Bapanya tukang besi sementara
ibunya adalah pembantu rumah. Faraday terpaksa bekerja sambil belajar kerana
kekangan kewangan. Tetapi kerana kerajinan bekerja, dia disukai oleh
majikannya. Walaupun Faraday tidak mempunyai pendidikan formal tetapi merupakan
penyumbang terbesar dalam bidang fizik.
4. Rupanya tak semestinya
saintis pandai dalam matematik. Pada mulanya saya fikirkan saintis wajib pakar
dan cemerlang dalam matematik moden dan tambahan tetapi rupanya ada beberapa
saintis ini yang tidak mahir dalam matematik dan bergantung dengan kepakaran
saintis lain dalam bidang matematik. Apa pun, ia tetap tidak memadamkan
kekaguman saya terhadap mereka yang cemerlang dalam 4 subjek iaitu Matematik
(moden dan tambahan). Sains, Fizik dan Biologi. Pasti mereka ini orang yang
HEBAT!
5. Peperangan banyak menganggu
aktiviti dan kehidupan para saintis terutama saintis berbangsa Yahudi. Namun
mereka akhirnya kembali selepas tamat perang. Malah, Albert Einstein pernah
ditawarkan jawatan sebagai Presiden Israel yang pertama tetapi ditolak oleh
Einstern.
Sesungguhnya semua
kemudahan teknologi dan kesenangan yang kita kecapi hari ini adalah hasil kerja
keras dan semangat yang tak pernah putus asa dalam meneroka dan berexperimen
untuk mencipta teori-teori baru atau menambahbaik teori lama dan menjadikan
sesuatu penemuan saintis itu sebagai kemudahan untuk generasi kini. Saya sangat
syorkan buku ini dibaca oleh pelajar sekolah untuk memberi inspirasi dan
panduan kepada mereka yang meminati bidang ini.
“Berita kematian beratus ribu orang akibat bom
atom membuatkan Einstein berasa amat sedih dan menyesal. Kalaulah beliau tahu
yang bom atom mampu mengorbankan jiwa sebanyak ini, Einstein tidak akan meminta
projek bom atom dilaksanakan. Einstein pun tidak akan memberitahu cara menghasilkan
bom atom kepada presiden”. – Einstein (muka surat 186)