Followers

Tuesday, 22 February 2022

Book Review - Kemalasan Peribumi Filipina

Tajuk : Kemalasan Peribumi Filipina
Penulis : Jose Rizal (Terjemahan oleh Maryam Zakiah Mohamed Yusof
Penerbit : BiblioPress


Perkataan ‘malas’ ini telah banyak disalahgunakan untuk membawa erti tidak gemar bekerja dan lemah; dan sindiran digunakan untuk menyembunyikan penyalahgunaannya.
Pada kaca mata Orientalis, peribumi Filipna disebut sebagai bukan manusia, bodoh, penakut, pengotor, terlalu merendah diri, sentiasa tersengih tanpa tujuan, berpakaian compang-camping, malas dan berperangai buruk.
Apakah sebab kemunduran ini? Adakah kerana peradaban itu sendiri? Adakah agama para paderi telah mengecutkan otak, melumpuhkan jiwa dan menjadikan manusia haiwan yang ganas sepertimana diceritakan?
Dan persoalan yang lebih besar, benarkah peribumi Filipina pemalas?


Saya telah membaca buku ini dalam masa beberapa jam sahaja (seharian) kerana muka surat tidak sampai 100. Sejujurnya saya tidak pernah tahu tentang sejarah Filipina. Yang saya ‘kenal’ tentang Filipina adalah bahasa mereka kebanyakannya berselang-seli dengan bahasa inggeris melalui drama-drama Filipina yang saya lihat di TV dan kebanyakan mereka memang pandai berbahasa inggeris kerana penjajahan lama ke atas mereka. Dan artikel tentang hidup dan mati kerana petempatan mereka di kawasan kubur yang pernah viral dulu. Sosiologist iaitu Professor Dato' Dr. Syed Hussien Alatas ada mengulas tentang buku Jose Rizal ini bersama-sama dengan buku Tun M berjudul Dilema Melayu dan mengatakan Melayu Malas adalah mitos dan naratif yang diada-adakan oleh bangsa penjajah.

Tetapi melalui buku ini, saya akan berikan sebab-sebab terjadinya 'kemalasan' ini:-
1. Cuaca panas mendorong individu itu menjadi lebih diam dan ingin berehat, sebagaimana cuaca sejuk mengalakkan kita untuk bekerja dan bertindak. Lihat sahaja orang-orang Eropah atau ‘orang putih’ di negeri-negeri tropika, mereka dikelilingi dengan orang-orang suruhan yang ramai. Mereka tidak pernah berjalan kaki, malah untuk membuka kasut pun dilakukan oleh orang suruhan dan untuk perkara yang mudah seperti mengipas pun mereka akan minta orang suruhan untuk lakukan sedangkan mereka dapat makan dan hidup yang baik dan selesa padahal penduduk koloni yang dijajah pula sebaliknya, tidak mendapat makan yang cukup, tidak dapat hidup selesa dan bekerja untuk orang lain kadang-kadang tanpa upah. Ironinya, mereka ini dikatakan MALAS.
2. Kemalasan di Filipina adalah penyakit kronik, namun ia bukan penyakit turun-menurun. Sebelum kedatangan orang Eropah, orang melayu Filipina berdagang dengan begitu pesat, kekayaan melimpah-ruah di pulau-pulau dan terlalu banyak hasil makanan. Hampir semua peribumi Filipina ini mengusahakan tanaman mereka sendiri. Sejarah ketika itu menceritakan tentang industri dan sektor pertanian oleh orang-orang tempatan. Di Pulau Cebu, bekalan melimpah-ruah dengan lombong dan hasil-hasil emas dan dipenuhi oleh orang tempatan. Tempat yang sangat padat dan pelabuhan yang menjadi tempat persinggahan banyak kapal yang datang dari pulau-pulau dan kerajaan-kerajaan berhampiran India. Pada mulanya kedatangan mereka diterima dengan aman, namun perselisihan mula timbul. Kota itu telah dirampas dan dibakar. Api telah menghancurkan bekalan-bekalan makanan yang ada dan kemudian kebuluran mula melanda kota itu yang dihuni oleh 100,000 orang. Sejarawan telah membuktikan bahawa ada aktiviti pertanian oleh orang tempatan.
3. Polisi-polisi yang menyedihkan telah dibuat sehingga menjadikan teruk. Serangan-serangan berterusan oleh lanun-lanun telah mengurangkan bilangan peribumi Filipina. Populasi berkurangan secara medadak. Orang-orang peribumi telah dikerahkan untuk menyiapkan kapal-kapal layar di Sepanyol tanpa diberi makanan. Kerahan tenaga ini berterusan telah menghalang mereka daripada mengusahakan tanah-tanah subur yang dimiliki. Orang-orang peribumi terpaksa meninggalkan keluarga dan lari ke pelusuk hutan untuk mengelakkan dijual untuk dijadikan hamba dan dilayan tanpa 
perikemanusian sehingga mereka mati. Dalam masa kurang 30 tahun, populasi Filipina hanya tinggal 1/3 dan menyebabkan akhirnya orang-orang peribumi ini putus asa.
4. Hasil tanaman yang diusahakan dengan penat-lelah akhirnya akan diambil oleh kerajaan apabila hasilnya dituai menyebabkan kemalasan ini berterusan. Kerajaan gagal dan lemah dalam melawan para penyamun yang merompak hasil peribumi ini. Senjata mereka pula dirampas dan menyebabkan sukar untuk mereka melindungi diri dan harta-benda dari dirompak sehingga akhirnya mereka memutuskan untuk tidak lagi keluar bekerja, meninggalkan tanaman dan pergi berjudi untuk mendapatkan duit. Bukan sahaja hasil dirompak oleh lanun, hasil mereka juga dirompak oleh kerajaan dengan beban cukai yang tinggi. Maka, tidak ada sebab untuk mereka bekerja jika hasilnya hanya untuk diberikan pada orang lain.
5. Golongan muda telah di brainwash oleh paderi dengan kata-kata seperti, “Kau tidak boleh tahu lebih daripada orang tua ini!”. “Jangan bercita-cita untuk menjadi lebih hebat daripada paderi!”. “Kau ni bangsa yang hina!” “ Kau ni lemah!”. Inilah apa yang selalu diberitahu kepada orang muda dan mereka mengulang-gulangnya berkali-kali sehingga tertanam dalam minda lalu akhirnya mempengaruhi kelakukan mereka. Mana-mana golongan muda yang cuba untuk menjadi lebih akan dikatakan sombong dan melampaui batas malah dihina oleh paderi dengan sindiran yang kasar. Mereka juga tidak digalakkan untuk mendapatkan pendidikan, malah dibebani pula dengan perarakan gereja, tugas-tugas penjawat awan yang dipaksa dan dipaksa membayar rasuah untuk kekal hidup. 

Malang, kita telah di doktrin oleh penjajah dengan ungkapan ‘melayu malas’, ‘melayu mudah lupa’, ‘melayu tak pernah tepati janji dan masa’ dan akhirnya bangsa melayu sendiri yang mengutuk bangsa sendiri dengan kalimah-kalimah ini. Jadi bagaimana yang dikatakan TIDAK MALAS? Bagi orang putih, melayu kena kerja jadi hamba kepada mereka dan hanya mahu bercucuk tanam di tanah mereka sendiri dan terus di LABEL sebagai PEMALAS. Malas adalah sikap individu dan bukannya sikap yang diwarisi turun-temurun memandangkan ada ahli sejarawan sendiri mengesahkan bahawa terdapat aktiviti perdagangan dan sektor pertanian yang pesat sebelum penjajahan bangsa luar di Filipina adalah bukti yang peribumi bukan malas tetapi menolak untuk dipergunakan oleh bangsa luar dan menjadi hamba mereka. Sesiapa pun tidak akan bekerja keras jika segala usaha dan hasil akhirnya pergi ke orang lain yang tidak perlu berusaha sedikit pun dan menikmati kekayaan itu. Keengganan mereka untuk bekerja di bawah kolonial lah akhirnya menjadikan PERIBUMI FILIPINA ini MALAS pada pandangan orang putih. Peribumi malas adalah satu mitos.


“Orang-orang Filipina itu telah diyakinkan bahawa untuk mendapatkan kebahagiaan dia perlu mengetepikan maruahnya sebagai makhluk yang rasional. Dia perlu hadir ke upacara keagamaan, percaya pada apa yang diberitahu, membayar dan menderita dalam diam tanpa bercita-cita. Dia harus terus-meneruskan tidak memahami bahasa Sepanyol, tidak memisahkan diri daripada kelompoknya, tidak bertindak jika diserang mahupun dihina, tidak mempunyai hati, akal mahupun jiwa. Dia hanya perlu menjadi makhluk yang mampu bekerja keras yang mana poketnya penuh dengan emas untuk diambil. Bagi mereka, itulah orang peribumi yang ideal! Namun begitu, atas sebab kekejaman berterusan yang dilakukan ke atas mereka dan kerana manusia itu ada nuraninya masih ada sifat semula jadi, dia bangkit melawan dan bercita-cita. Dia berfikir dan berusaha untuk bangkit, dan bagi penjajah ini satu masalah!” – (muka surat 56)

Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...