Tajuk : Aku Seorang Patriot
Penulis : Aenid Abdullah
Penerbit : Patriots Publishing
Aku Seorang Patriot adalah himpunan
kisah-kisah keperwiraan anggota-anggota keselamatan kita yang berada di
barisan paling hadapan, menjalani operasi serta mendepani musuh demi
memastikan negara serta anak bangsanya dapat terus hidup aman dan selesa.
Terdapat 24 bab cerita hasil temuramah dan catatan penulis tentang kisah Para Perwira Negara ketika zaman komunis berada di tanahair dan pelbagai pengalaman
dalam ketenteraan yang dikongsi termasuk kisah suka, duka, gembira dan kematian
yang dilalui oleh Para Perwira Negara ketika itu. Walaupun ketika komunis
datang ke Malaysia, kita telah pun merdeka tetapi masih belum selamat dari
bahaya dan ancaman komunis yang berpura-pura ingin berjuang membantu rakyat.
Buku ini nipis sahaja tapi penuh dengan semangat patriotisme dan rasa tak puas
membaca pengalaman Wira-wira Negara kita ni.
Ketika membaca buku ini, saya
terkenangkan arwah atuk yang telah pergi 30 tahun lalu ketika saya hanya berusia
9 tahun (umur anak saya sekarang). Arwah atuk saya bukanlah askar atau polis
dan arwah hanyalah petani di kampung tetapi arwah selalu cerita tentang pengalamannya ketika
zaman tentera jepun dan seterusnya komunis datang ke Tanah Melayu. Jika arwah
hidup lebih lama, pasti banyak lagi cerita dan pengalaman kejam komunis menyeksa rakyat ketika itu dapat diceritakan dan mungkin dapat juga
saya kongsi. Dan arwah juga lah yang banyak menerapkan nilai
patriotism dalam diri saya untuk saya terus menyintai tanahair.
Dan dari sumber-sumber kenalan,
pembacaan dan termasuk juga dari buku ini, agak terkilan bila bekas-bekas
perwira Negara yang sepatutnya dapat hidup selesa menikmati hari tua mereka
tetapi kebanyakan mereka hidup daif tanpa bantuan yang selayaknya untuk mereka.
Saya teringat buku Bukit Kepong yang saya ulang-ulang baca dulu, dan saya
mengetahui kehidupan daif bekas-bekas pegawai polis yang telah pencen sangat
mendukacitakan. Apakah jasa dan pengorbanan mereka ni tidak berharga? Bukan
sahaja bekas-bekas askar, malah isteri mereka yang kehilangan suami ketika
bertugas kebanyakannya berakhir dengan pengakhiran yang tragis seperti balu Leftenan
Adnan.
Melalui buku ini juga saya dapat
bezakan perjuangan komunis bangsat dan askar kita, seperti:-
1. Komunis tidak
berani bertempur secara berdepan. Mereka kerap memasang jerangkap samar untuk
membunuh musuh mereka atau serang-hendap
2. Komunis akan melarikan
diri dan tidak akan membantu rakan mereka yang cedera atau mati, manakala askar
kita akan cuba sedaya upaya menjaga dan melindungi antara satu sama lain dan tetap
akan menjaga dan tidak sesekali meninggalkan rakan mereka kecuali jika keadaan
amat bahaya. Mereka tetap akan datang kembali untuk mengambil jasad rakan untuk
disemadikan.
3. Komunis
langsung tidak berperikemanusiaan. Mereka akan membunuh tanpa belas tak kira
siapa pun waima kanak-kanak atau warga tua yang tidak bersalah malah akan terus
menyeksa jasad yang telah mati.
4. Komunis tidak
mempunyai strategic. Kerana itu mereka akan lari bertempiaran jika bertempur,
manakala askar kita mempunyai 1001 strategik dan perancangan yang teliti. Antara sebab kenapa askar kita tidak akan meninggalkan rakan buddy mereka
kerana strategi perang memerlukan kerjasama antara pasukan.
“Hanya ini tanah
tumpah darah yang kita miliki, takkan ada yang lain bagi keturunan kita.
Berterima kasihlah kepada mereka yang telah mengorbankan zaman muda mereka
untuk kita. Ingatlah bahawa kita meggalas tanggungjawab yang serupa untuk
memastikan legasi ini diteruskan oleh anak cucu kita. Kita tidak akan hidup
selamanya. Harimau mati meninggalkan belang, insan mati maninggalkan jasa.
Masa, jasa apakah yang bakal kita tinggalkan?” – Al-fatihah kepada semua
pejuang bangsa yang telah pergi. Semoga mereka dirahmati di sana (ms 19)