Followers

Friday, 26 August 2022

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra

Hi, Assalamualaikum....

Dah lama tak review tempat-tempat menarik sebab anak dah start busy dengan sekolah dan pelbagai aktiviti di sekolah. Maklumlah sudah masuk tahap 2. Hanya sabtu dan ahad untuk berehat, jadi kalau kami keluar pun cuma sekadar pergi cari tempat makan yang menarik atau sekadar memenuhi craving atau ke mall. Dan sudah tentu saya akan mencari peluang untuk berkunjung ke Kinokuniya, MPH atau Popular untuk beli sebuah dua mahupun tiga buku untuk koleksi mini library saya.

Berbalik pada tajuk, pada hari ahad tempohari saya berkesempatan untuk pergi ke Memorial Tunku Abdul Rahman yang terletak di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur.

Idea untuk ke Memorial Tunku Abdul Rahman datang semasa saya membaca buku Tunku: Kelana Penuh Cinta. Perasaan untuk rasa lebih dekat dengan Tunku membuatkan saya terus ke Bangunan Residensi yang pernah didiami oleh Tunku Abdul Rahman sejak tahun 1956 hingga 1970. Memandangkan bulan ini ialah bulan kemerdekaan, baik juga saya bawa anak saya untuk merasai feeling Merdeka yang lebih real dan mengenali siapa BAPA KEMERDEKAAN yang telah berjasa kepada negara kita ni.

Sedikit info tentang Memorial Tunku Abdul Rahman:
Memorial Tunku Abdul Rahman Putra telah dibuka pada 10 November 1994 sebagai memperingati dan mengenang jasa Tunku dan sumbangan-sumbangan beliau kepada Malaysia. Bangunan ini berusia 120 tahun dan masih mengekalkan bentuk asal dan susun aturnya. Masuk adalah percuma. 

Dibuka setiap hari selasa - ahad pada pukul 9 pagi - 5 petang kecuali hari Isnin.
Jumaat ada break sekejap 12 tengahari - 3 petang




Kereta Cadillac Fleedwood 1959 ini adalah kereta rasmi Perdana Menteri ketika Tunku berkhidmat sebagai PM

Sebaik sahaja kami sampai, kami telah di 'jemput' oleh Cadillac Fleedwood iaitu kereta rasmi Perdana Menteri di hadapan Memorial. Sebelum ini, terdapat sebuah lagi kereta berwarna merah iaitu kereta yang Tunku naiki ketika berarak untuk pengumuman merdeka di Padang Banda Hilir (kini dikenali sebagai Dataran Pahlawan), Melaka tetapi ketika lawatan kami tempohari, kereta itu tidak ada di situ.


Seterusnya kami terus ke pintu masuk dan berbual sebentar dengan staff yang menjaga memorial ini. Menurut staff tersebut, semenjak covid tempat ini tutup pada pukul 430 petang tetapi oleh kerana kami sampai pada pukul 4petang, maka staff terbabit memberi extra masa untuk kami. Terima kasih, Encik-saya-lupa-nama.



Bahagian luar pintu masuk terdapat banyak gambar-gambar Tunku sebelum dan selepas Merdeka. Di sini sahaja saya sudah dapat rasa 'dekat' dengan Tunku, Bapa Kemerdekaan yang amat disayangi oleh rakyat Malaysia satu ketika dulu.

Untuk memudahkan pelawat (supaya tidak pening), tempat ini dibahagikan mengikut tema. Setiap aras, ada tema tertentu. Di aras pertama, tema ialah Kemerdekaan. Jadi segala tentang perjalanan Tunku untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu dan sewaktu Merdeka ada di aras ini.

Selain gambar-gambar dan info tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku, terdapat juga barang-barang kenangan yang pernah digunakan oleh Tunku sewaktu peristiwa-peristiwa tersebut. Antaranya ialah pen untuk menandatangani memo/surat/perjanjian kemerdekaan, dokumen, baju dan pelbagai hadiah.


Meja kerja Tunku



18 Januari 1956 - Rombongan Persidangan Malaya Merdeka diadakan di Lancaster House, London. Persidangan ini dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan perikatan dan wakil-wakil Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British.
Mereka ialah Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Ismail, Kolonel H.S. Lee, Tan Sri T.H. Tan, Tan Sri Bahaman Shamsudin, Dato' Panglima Bukit Gantang Hj Abdul Wahab, Dato' Nik Ahmad Kamil, Tun Abdul Aziz Majid dan Dato' Mohd Seth Mohd Said.




Kita ke bahagian 2 pula iaitu tema Falsafah/konsep Tunku dan Biografi Tunku. Secara peribadi, saya sukakan ruang ini kerana ruang ini adalah ruang yang dekat dengan Tunku. Ruang yang menceritakan tentang diri Tunku, minat Tunku dengan sukan berkuda dan bola sepak, segala pingat-pingat dan kebesaran milik Tunku juga dipamerkan di ruang ini. Terdapat juga gambar-gambar Tunku dan isteri Tunku, Tun Sharifah Rodziah Barakbah serta gambar-gambar santai Tunku di sudut sebelum pintu keluar. Juga terdapat artikel dan keratan surat khabar lama tentang berita kematian Tunku.

Tunku meninggal pada 6 Disember 1990 ketika berusia 87 tahun (7 bulan selepas kematian Tun Hussien Onn - Perdana Menteri Ke-3 - Bapa Perpaduan). Terasa tersentuh hati apabila membaca keratan-keratan akhbar lama berita tentang pemergian Tokoh kesayangan seluruh rakyat Malaysia ini. Ketika itu, saya berusia 7 tahun malangnya saya tak pernah ingat pun tentang susuk Tunku yang saya pernah lihat 'hidup' di kaca TV. 




Semasa hayat Tunku, Tunku pernah menulis skrip untuk filem Melayu bertajuk Mahsuri dan Raja Bersiong. Kedua-dua filem ini bertemakan lagenda tentang negeri Kedah. Tunku juga telah mengeluarkan belanja yang agak besar untuk filem Raja Bersiong dan menggunakan khidmat pengarah dari negara luar tetapi sayangnya filem itu gagal mendapat sambutan.

Kasihan Tunku.. Kalau saya sudah wujud ketika itu, semestinya saya akan datang untuk support filem Tunku walaupun mungkin saya akan menguap-nguap 😂 (kerana bukan genre yang saya minat). 

Salah satu gambar kenangan Tunku yang dipamerkan. Gambar ini Tunku bersama dengan Allahyarham Tan Sri Datuk P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Datin Saloma. Ketiga-tiga mereka adalah permata berharga yang Malaysia pernah miliki. Al-fatihah untuk mereka yang telah pergi.




Sebak apabila menatap sisipan surak khabar ini

Di aras ke-3 pula saya simpulkan sebagai ruang terbuka tentang rumusan kehidupan Tunku selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan ruang penghargaan (ada penerangan di situ tetapi saya lupa membacanya). Di ruang tengah pula adalah tentang penyertaan Tunku bersama akhbar The Star, PERKIM dan OIC. Semua ini adalah pembabitan Tunku selepas Tunku meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1970.





Ok settle ruang dalam, di luar pula terdapat Plaza Ukiran Granit Hitam dengan ukiran imej Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika melaungkan 'Merdeka' dan nota-nota kronologi Tunku Abdul Rahman yang dipacakkan di kiri dan kanan ukiran imej tersebut. Ada 2 granit hitam, satu di aras 2 dan satu lagi di aras 3 tetapi kami cuma mampu ke aras 2 sahaja. 



Lawati kami ini singkat sahaja kerana boleh dikatakan semua yang terdapat di sini ada dalam buku Tunku: Kelana Penuh Cinta terbitan IBDE. Jadi bolehlah saya terangkan dengan ringkas dan cara yang lebih menarik kepada anak saya, untuk memupuk semangat kecintaan kepada tanahair.


Ketika kami sampai, tempat ini sangat sunyi. Hanya ada 2 keluarga (termasuk kami) yang datang ke sini ketika itu. Parking juga mudah, kami hanya meletakkan kenderaan di hadapan Memorial ini. Cuma sedihnya di aras 2 ada beberapa sudut yang malap tidak berlampu dan suram. Ia menyukarkan pelawat untuk membaca info yang terdapat di situ. Audio visual yang terdapat dalam memorial ini pula, semuanya tidak berfungsi. Memang ada yang rosak, tetapi ada juga yang mungkin ditutup awal kerana masa sudah tamat. Apa pun, diharap pihak pengurusan cepat-cepat baiki dan boleh berfungsi semula.

Marilah bawa anak-anak ke sini untuk mereka kenal tokoh dan insan yang telah banyak berjasa kepada negara kita. Ia sangat penting supaya anak kita lebih menghargai tanah air sendiri dan bercita-cita untuk menyambung legasi berbakti kepada tanahair, bangsa dan agama.

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!



Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...