Tajuk : Tunku; Kelana Penuh Cinta
Penulis : Kobkua Suwannathat-Pian (Penterjemahan oleh Mardhiyyah
Abadan)
Penerbit : IBDE
Genre : Non-Fiction
Siang hari 31 Ogos 1957, laungan keramat “Merdeka” tujuh kali menggegarkan lapangan Stadium Merdeka: Peristiwa bersejarah pemasyhuran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu dihadiri sekitar 20 ribu orang, namun hanya, satu susuk paling menjadi tumpuan: Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.Banyak buku telah meriwayatkan kehidupan Tunku, tetapi boleh dikatakan tiada yang mengumpulkan kisah beliau secara lebih menyeluruh berbanding buku ini. Kelana panjang Tunku sebelum dan selepas Merdeka ditata dengan cermat oleh pengarangnya—bermula dari seorang putera raja yang gemar berbuat nakal dan bermain dengan rakan-rakannya di luar di istana sehingga hari-hari terakhir beliau sebagai negarawan terbilang yang dihormati dan disanjung di seluruh dunia
Sempena Bulan Kemerdekaan
ini, saya memilih buku ini sebagai salah satu buku untuk saya baca demi untuk
menghayati Hari Kemerdekaan Malaysia pada setiap 31 Ogos. Jika menyebut tentang MERDEKA, perkara pertama dalam
kepala ialah tarikhnya dan kedua, TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ, insan yang berjaya
membawa kemerdekaan untuk rakyat Tanah Melayu. Selama ini saya banyak membaca
tentang process menuju kemerdekaan semenjak sekolah tetapi belum pernah saya
menghayati kisah riwayat insan yang berjaya membantu Tanah Melayu untuk
merdeka. Alhamdulillah saya dapat beli buku ini ketika Pesta Buku Antarabangsa
2022 bulan Jun tempohari.
Dek kerana buku ini juga,
saya berkesempatan untuk melawat Memorial Tunku Abdul Rahman pada 21 Ogos
tempohari untuk merasa lebih dekat dengan jiwa Tunku. (Insya-Allah saya akan update nanti)
Tentang Penulis:
Kobkua Suwannathat-Pian adalah seorang
sejarawan yang pernah menjadi Felo Kanan dan professor di Jabatan Sejarah,
Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim sebelum beliau bersara. Sebelum itu, beliau pernah
berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa Universiti-universiti seperti Universiti
Chiangmai, Universiti Hong Kong, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti
Tenaga Nasional selain universiti-universiti lain. Beliau sangat minat dan
kagum dengan Bapa Kemerdekaan ini, sehingga mendorong beliau melakukan
penelitian yang mendalam dan mengkaji tokoh ini sehingga menghasilkan sebuah
buku lengkap tentang Tunku Abdul Rahman dari lahir hingga akhir riwayat Tunku.
Perancangan untuk menulis tentang tokoh tersohor ini telah
difikirkan oleh penulis sejak penghujung tahun 1980an lagi namun dek kerana
kesibukan beliau dengan kewajipan hariannya, kajian tentang Tunku Abdul Rahman tergantung sepi. Pada mulanya penulis ingin ke
Pulau Pinang iaitu rumah kediaman Tunku di Pulau Pinang sekaligus menemuramah
Tunku di sana namun pada December 1990, Tunku telah kembali penemui penciptaNya
dan menenggelamnya impian itu selamanya.
Selain rujukan dari arkib dan muzium serta fail-fail berkenaan Tunku, buku ini (bukan versi terjemahan ini) juga siap sekitar tahun 2012 atas bantuan-bantuan hasil temuramah dan berkongsi maklumat tentang Tunku Abdul Rahman oleh ahli keluarga Tunku
seperti anak-anak Tunku iaitu Tunku Khadijah dan Tunku Noor Hayati serta cucu
beliau iaitu Sharifah Intan Syed Hussien serta ahli keluarga yang lain dan rakan-rakan.
Sinopsis:
Buku ini dipecahkan kepada 3 bahagian iaitu Bahagian I:
Memahami Tunku Dari Dekat, Bahagian II: Mengerah Tenaga, dan Bahagian III:
Warga Biasa yang Luar Biasa. Kemudian dalam setiap bahagian terdapat beberapa
bab dan kemudian tajuk-tajuk kecil untuk memudahkan pembaca mencari tajuk-tajuk
tertentu.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan pada 8
Februari 1903 di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar adalah anak ke-20 Sultan Kedah
ketika itu, iaitu Sultan Abdul Hamid Halim Shah, daripada isteri Baginda yang
berketurunan Siam, Che Puan Manjalara.
Dalam Bahagian I, terdapat dua bab iaitu Persekitaran dan
Keperibadian yang mana dua bab ini adalah kandungan berkenaan dengan biografI Tunku
iaitu tentang kelahiran, keluarga dan pendidikan. Kemudian tentang keperibadian
iaitu perkara-perkara yang disukai dan tidak disukai oleh Tunku dan beberapa
sifat Tunku yang kita belum pernah baca di mana-mana. Terdapat juga cerita
tentang peristiwa penculikan Sultan Kedah semasa zaman penjajahan Jepun oleh
Tunku dan menyebabkan pemangku Sultan murka namun terdapat hikmah dalam
peristiwa itu.
Di bahagian II pula penulis menumpukan penulisan tentang
bermulanya kerjaya Tunku dari sebagai penjawat awam sehinggalah sebagai
Pemimpin Nombor Satu di Malaysia yang mengandungi tiga bab. Dalam bab ini kita
akan mengetahui sejarah awal kerjaya Tunku dan bagaimana Tunku mula terbabit
dengan politik dan UMNO. Walaupun Tunku berdarah keturunan raja dan bangsawan
tetapi liku-liku dan perjalanan kerjaya Tunku tidaklah mudah dek kerana
pendirian Tunku yang amat gemar memilih untuk membantu orang-orang susah
melebihi kemampuan dirinya sendiri.
Tunku mula masuk ke dalam arena politik dan seterusnya
menyertai UMNO pada tahun 1951 ketika UMNO dalam kegelapan dan kepincangan
selepas Dato’ Onn yang telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) keluar
dari UMNO lalu membawa beberapa pengikut menyertainya dalam IMP. Antara sebab
parti UMNO mengalami perpecahan kerana Dato’ Onn ingin membuka keahlian UMNO
kepada warga bukan Melayu dan
menyebabkan ahli-ahli UMNO tidak bersetuju kerana UMNO ditubuhkan untuk
orang-orang Melayu. Dato’ Onn juga tidak bersetuju dengan kemerdekaan awal
untuk Tanah Melayu kerana merasakan orang-orang Melayu belum bersedia
sepenuhnya dan masih tertinggal dari bangsa lain namun Tunku berfikiran
sebaliknya dan yakin untuk melihat bangsa Melayu maju dan berjaya, negara perlu
Merdeka dahulu.
Akhirnya pada tahun 1957, Tunku berjaya dalam usahanya
untuk mendapatkan kemerdekaan untuk rakyat di Tanah Melayu dan mendapat
sokongan dari semua bangsa. Bagaimana Tunku berjaya memujuk bangsa bukan Melayu
untuk turut menyokong usahanya dan bersetuju untuk menjadikan Melayu sebagai
bangsa utama dalam Tanah Melayu, ada dicatatkan dalam bab ini.
Tunku tidak selamanya dijulang sebagai Hero Malaysia atas
kemerdekaan yang diusahakan oleh Tunku kerana terdapat beberapa orang muda dalam
UMNO sendiri yang melakukan pelbagai usaha untuk menjatuhkan Tunku malah
mempertikaikan kredibiliti Tunku selaku Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri
pertama Malaysia. Nama-nama seperti Tun Mahathir, Harun Idris dan Ghazali
Shafie disebut sebagai budak-budak Razak yang menjadi duri dalam daging hingga
mengakibatkan UMNO berpecah sokongan terhadap Tunku. Peristiwa 13 Mei adalah
titik hitam dalam perkhidmatan Tunku sebagai Perdana Menteri dan bermulalah kejatuhan
sokongan terhadap Tunku selepas itu sehingga ramai orang mula menjauhkan diri
malah membiarkan maruah Tunku diinjak-injak sehingga Tunku meletak jawatan
sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada 22 September 1970, sehari
selepas meyaksikan anak saudaranya menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong
kelima dan melantik timbalannya serta anak didiknya iaitu Tun Abdul Razak
sebagai Perdana Menteri untuk mengantikannya.
Dalam Bahagian III pula, kita akan baca tentang liku-liku
kehidupan Tunku selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan terpaksa
terus bekerja kerana bebanan tunggakan cukai berjumlah RM80,000. Wang persaraan
sebanyak RM4,000 yang diterima oleh Tunku terpaksa digantung untuk membayar
cukai berkenaan dan menyebabkan kehidupan Tunku yang menjadi lebih susah
selepas meletakkan jawatan.
Tunku telah dilantik sebagai Setiausaha Agung pertama
bagi Sekretariat Islam Negara-negara Arab atas jemputan Raja Faisal pada tahun
1971-1973. Kemudian sekali lagi atas jemputan Raja Faisal, Tunku telah dilantik
menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penubuhan Bank Pembangunan Islam dari tahun 1973
– 1974 dan Tunku tinggal di Jeddah ketika itu.
Tunku kemudian menerima pelawaan untuk menjadi Pengerusi
akhbar The Star dan memberi ruang untuk Tunku mempunyai column nya sendiri.
Seterusnya, Tunku menyambut pelawaan ekslusif PERKIM untuk menjadikan beliau
sebagai pengerusi untuk menjaga kebajikan umat Islam.
Review Buku:
Perjalanan dan liku-liku Tunku selepas tamat
Barrister-at-Law di Britain dan mula berkhidmat sebagai kakitangan awam di Kedah,
sehingga Tunku terpaksa bekerja semula selepas meletakkan jawatannya sebagai
Perdana Menteri Malaysia pertama penuh dengan onak dan ranjau yang
kadang-kadang membuatkan Tunku sedih dan terkilan. Dalam sejarah, Tunku lah
satu-satunya PM yang menjadi miskin selepas meletakkan jawatan. Tidak seperti
PM lain yang mampu hidup dan berehat dengan limpahan hasil menjadi menerajui
negara. Segala jasa dan kebaikan Tunku kepada rakyat selama ini dibalas dengan
tuba oleh sesetengah golongan dalam kabinet sehingga melarang pihak media
membuat liputan tentang Tunku selepas bersara. Seperti coretan dalam buku ini
yang mengatakan ‘UMNO memiliki sejarah yang panjang sebagai parti yang singkat
ingatannya dalam soal menghargai dan mengenang jasa serta pengorbanan para
pemimpinnya yang terdahulu – natijahnya kini, orang yang pernah ‘menjatuhkan’
Tunku sedang mengalami nasib yang hampir serupa dengan Tunku dahulu.
Buku ini amat mudah untuk dibaca kerana susunan bab dan tajuk yang membantu proses pembacaan tidak bosan namun ada beberapa cerita yang berulang-ulang. Buku ini langsung tidak ada kesalahan ejaan.
4.5 🌟 untuk Tunku: Kelana Penuh Cinta terbitan IBDE
“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya seorang miskin
dan semasa saya bersara, saya bahkan lagi miskin” sedangkan sebagai Perdana
Menteri beliau boleh menjadikan dirinya kaya, “jika saya mahu, tapi nanti
kerajaan saya jadi rosak dan rakyat jadi miskin. Jadi biarlah saya jadi miskin
dan lihat kerajaan kita bersih dan negara kita kaya” – Tunku Abdul Rahman
Putra.