Hi, Assalamualaikum....
Pada hari sabtu 27hb Ogos 2022, saya berkesempatan untuk mengunjungi dan memeriahkan Pesta Buku Merdeka di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. Pesta Buku Merdeka ini adalah anjuran bersama Bibliophile, Biblio Press, Rabak-Lit dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia bermula 25 Ogos sehingga 31 Ogos 2022. Sebanyak 39 pempamer yang menyertai pesta buku kali ini.
Saya tiba lebih kurang jam 4 petang dan hari sudah mulai hujan. Keadaan dalam Pesta Buku tersebut tenang dan pengunjung tidak terlalu ramai. Sangat berbeza dengan suasana PBAKL2022. Pada saya, suasana sebegini memudahkan saya melihat, membelek dan membeli buku-buku yang saya inginkan.
Di sini saya sertakan beberapa gambar-gambar yang sempat saya rakam di Pesta Buku Merdeka yang masih berlangsung sehingga rabu - 31 Ogos ini.
Jika anda mencari buku-buku terapi dan self-healing, anda boleh dapatkan di reruai Whitecoat. |
Selain dari menjual buku, penganjur juga menjemput beberapa orang penulis dan pengiat seni untuk memeriahkan pentas Pesta Buku Merdeka ini dengan berkongsi pendapat, pandangan dan ulasan berkenaan dengan buku.
Dalam banyak-banyak reruai, saya sangat tertarik dengan reruai penulis 'My Journey By Bus', Mr. FuFu. Saya membeli 1 set poskad gambar bas mini Kuala Lumpur di reruai ini. Terdapat juga poskad gambar-gambar bas mini dari pelbagai negeri lain serta tiket-tiket bas mini yang pernah digunakan di Malaysia.
Mungkin satu hari nanti jika diizinkan Tuhan, semoga saya membeli buku My Journey By Bus. Buku tentang travelog perjalanan kembara dari Perak, Penang, Perlis dan Kedah dengan hanya menaiki bas. Dalam buku tersebut ada gambar-gambar menarik sepanjang perjalanan, maklumat-maklumat dan kenangan-kenangan yang dialami oleh penulis sepanjang journey itu.
Saya sertakan peta reruai di Pesta Buku Merdeka untuk memudahkan anda mencari reruai yang ingin anda kunjungi.
Semasa kami di sana terdapat juga Kopi Expo di ruang legar Sungei Wang Plaza. Ada beberapa jenis gerai kopi dengan pelbagai perisa termasuk matcha. Saya juga mengambil peluang membeli secawan kopi hazelnut caramel di salah satu gerai di situ. Tetapi, kopi expo ini hanya diadakan pada hari minggu sahaja.
Akhir sekali, saya gembira kerana masih berpeluang untuk menyertai Pesta Buku Merdeka kali ni walaupun hanya sebagai pengunjung dan pembeli. Suasana yang tenang dan tidak perlu bersesak membolehkan saya membelek satu persatu buku-buku yang menarik. Pesta ini sesuai untuk sesiapa yang mungkin ada masalah dengan kesesakan dan suasana hiruk-piruk yang mungkin akan menganggu focus dan mental.
Mungkin faktor cuaca yang kerap hujan apabila petang, jalan jem akibat penutupan jalan-jalan di Kuala Lumpur kerana raptai perbarisan untuk menyambut hari Merdeka nanti dan gap antara PBAKL dan Pesta Buku Merdeka yang agak hampir tarikhnya antara punca 'kekurangan' pengunjung kali ini. Saya juga hanya membeli 2 buah buku sahaja memandangkan banyak buku telah saya 'borong' ketika PBAKL tempohari.
Namun begitu, itu bukan alasan untuk saya tidak mengunjungi Pesta Buku Merdeka kali ini. Kepada sesiapa yang tidak berkesempatan ke PBAKL2022, minat buku, dan tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor, sila hadir ke Pesta Buku Merdeka di Sungei Wang Plaza ini. Pesta ini akan terus berlangsung sampai 31 Ogos 2022 hingga 10 malam. Bawa anak-anak datang 'berpesta' Merdeka di Jumpa, Sungei Wang Plaza. Jumpa anda di JUMPA!
Anda boleh kunjungi twitter Bibliophile atau facebook mereka di SINI untuk mendapatkan info yang lebih details berkenaan dengan Pesta Buku Merdeka.