Tajuk : Ranjau Sepanjang Jalan
Penulis : Shahnon Ahmad
Penerbit : Jiwa
Genre : Fiction
Bintang : 🌟🌟🌟🌟🌟
Padi ialah nadi hidup keluarga Lahuma, Jeha dan seluruh penduduk Kampung Banggul Derdap. Kemarau, banjir dan haiwan perosak dihadapi dengan penuh ketabahan dan pergantungan kepada Allah Azzawajalla.Memperjuangkan padi bererti memperjuangkan hidup. Inilah kepercayaan yang dipegang teguh oleh Lahuma, kemudiannya diwarisi Jeha serta anak-anak mereka; Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah. Tatkala Lahuma tertusuk onak nibung, Jeha bangkit menajak sawah 14 relung pusaka keluarga. Saat Jeha mula hilang pertimbangan, Sanah dan adik-beradik tabah menyemai, menghalau ketam dan tiak, memotong serta mengetam padi hingga tersimpan di gebuk.Tiada sedikit pun keluhan yang terluah, melainkan peluh yang tidak putus-putus mencurah.Ranjau Sepanjang Jalan membawa kita menyorot kecekalan anak tani menempuhi kegetiran hidup dalam berbudi kepada tanah, dengan jiwa yang pantang menyerah.
Ranjau Sepanjang Jalan mengisahkan tentang Lahuma dan isterinya
Jeha serta tujuh anak perempuannya yang sedang membesar hidup sebagai keluarga
petani yang bergantung hidup dan rezeki dengan mengusahakan 14 relung sawah
bendang warisan keluarga Lahuma demi sesuap nasi. Kehidupan keluarganya
sememangnya bergantung kepada hasil sawah padi dan tawakal kepada Allah semata.
Dalam fikiran Lahuma siang dan malam hanyalah 14 relung bendang pusaka
keluarganya. Begitu juga dengan Jeha yang sentiasa sama-sama turun ke sawah
membantu Lahuma siang dan malam setiap musim padi. Tidak ada perihal lain dalam
hidup mereka hanyalah berkenaan dengan padi. Walaupun mereka hanya hidup dengan
hasil padi, namun mereka bersyukur dan tenang menjalani kehidupan sebagai
keluarga petani kerana pergantungan dan tawakal mereka terhadap Allah yang Esa.
Dugaan pertama bermula apabila Jeha nyaris dipatuk ular senduk
jantan kelamin yang sedang menjaga pasangan dan telurnya ketika sedang Jeha
mencari pucuk paku di paya. Mujur Lahuma pantas membunuh ular tersebut namun
Jeha menjadi trauma akibat kejadian itu. Tempat Jeha diganti oleh Sanah dan
Milla, anak-anak gadis mereka yang bila-bila masa saja bersedia untuk
berumahtangga. Jeha kembali bergabung tenaga bersama suami dan anak-anaknya
selepas kembali pulih kerana tidak betah duduk melihat mereka mengusahakan tanah
tanpa kudratnya.
Namun, takdir Allah tiada siapa mampu menghalang. Lahuma ditimpa
malapetaka apabila kakinya tercucuk duri nibung hingga mengakibatkannya
terlantar dengan bengkak dan nanah yang teruk hingga menyebabkannya busung lalu
meninggal dunia. Tinggal lah Jeha dan 2 anaknya bermati-matian mengusahakan
sawah bendang tinggalan Lahuma untuk diusahakan. Atas keprihatinan Tok
Penghulu, beliau menghulurkan bantuan menghantar traktor kepunyaannya untuk
menajak bendangnya milik keluarga Lahuma. Tanpa pertolongan Tok Penghulu, entah
bila bendangnya akan siap ditanjak dengan hanya kudrat perempuan.
Bendang siap ditajak, Jeha mula berjalan ke sana sini seluruh
kampong membawa 3 anak kecilnya bersama. Anak-anak kampong mula melaung-laung
dan mengejek “Jeha gila” “Jeha janda anak ramai” dan macam-macam kata nista
tentang kematian suaminya yang busung, namun semua itu tidak memberi kesan
kepada Jeha kerana keyakinannya terhadap suaminya yang disayangi dan tekadnya
untuk mengusahakan sawah bendang demi anak-anaknya. Akhirnya, kata-kata nista
orang kampong terhadap Jeha memakan diri Jeha dan Jeha betul-betul menjadi gila
dek kerana terlalu memikirkan tentang padinya. Keadaan Jeha yang semakin teruk
menyebabkan Tok Penghulu mengambil keputusan untuk mengurung Jeha sementara
sebelum dibawa ke Tanjung Rambutan, ikhtiar untuk memulihkan kembali kewarasan
Jeha. Tinggallah Sanah dan adik-adiknya bersatu menghabiskan perjuangan Lahuma
dan Jeha dengan kudrat yang sekadar ada.
Umumnya tahu, penulis adalah seorang Tokoh Sasterawan Negara.
Hasil karyanya tidak dinafikan adalah antara yang terbaik. Buku Ranjau
Sepanjang Negara ini adalah karya malar yang dihasilkan pada tahun 1966
berkisar tentang keadaan petani-petani sawah padi di Kedah sekitar tahun 1960an. Kehidupan petani di kampung yang miskin dan hanya bergantung penuh pada hasil padi dan serahan sepenuhnya
terhadap qada dan qadar dari Allah. Buku ini kejam dan straight forward. Penulis juga mengambarkan keperitan
sakit yang dialami Lahuma akibat duri nibung dengan sangat jelas sehingga sakit
dan saya sendiri rasa ngilu apabila Lahuma membelah kaki untuk cuba
mengeluarkan duri namun tidak berjaya.
Selain itu, tiada ada kata-kata indah mengambarkan suasana pagi
dikampung dengan bunyi kokokan ayam dan udara pagi yang segar dan tidak ada
gambaran keindahan hijau gunung yang menjadi latar kampung di dalam buku ini.
Hanya perit dan pedih hidup Lahuma, Jeha dan anak-anak sahaja dari awal sampai
akhir.
Namun, secara umumnya inilah realiti yang ditempuh oleh para
petani di kampung. Mati, hidup, susah, senang, jatuh dan bangun segalanya
dicurahkan demi padi. Segala dugaan dan cabaran dalam perjalanan menanam padi,
dihadapi oleh Lahuma sekeluarga tanpa sedikit pun keluh kesah dan penyesalan.
Ular tedung, duri nibung, ketam, banjir dan burung tiak dihadapi dengan kuat
dan berani. Walau hasilnya adakala menjadi, adakalanya sekadar jadi tetapi
mereka tetap tabah dan bersyukur dengan hidup yang tenang di kampung sebagai
petani ketika keadaan ketika itu serba serbi belum moden dan tanpa kemudahan
hospital. Jika pusat kesihatan ada berhampiran atau pegawai-pegawai kerajaan
ada menjenguk serta bertanya khabar para petani di kampung, mungkin Lahuma
mampu hidup 10 atau 20 tahun lagi mengusahakan 14 relung bendangnya.
“Jeha teringat kepada pesanan Lahuma dahulu; Anak-anak kita perlu
makan siang malam. Tidak ada nasi, anak-anak kita akan mati. Makan tergantung kepada
sawah. Pakaian tergantung kepada sawah. Sakit segar tergantung kepada sawah. Mati
hidup tergantung kepada sawah. Sawah nadi besar kita sejak datuk nenek dahulu
lagi. Dia mesti dipupuk dan dijaga.
Biar siapa datang menyerang, kita wajib melawan. Biar siapa datang
mengacau, kita wajib melawan. Biar datang seribu musuh, kita mesti lawan. Itulah
hidup kita. Itulah hidup anak kita. Itulah satu-satunya hidup keturunan kita
dari dahulu hingga sekarang. Taka da yang lain. Tak ada yang lain.” – muka surat
173.