Tajuk : Entrok
Penulis : Okky Madasari (terjemahan
BM Haris Zuan)
Penerbit : Gerakbudaya
Genre : Historical FictionEntrok merupakan pengkisahan masyarakat terbawah terhadap perubahan sosial yang berlaku dalam sejarah panjang masyarakat Indonesia pasca merdeka, khasnya ketika era Orde Baru. Entrok juga dengan cermat memperihalkan pergelutan emosi dan fikiran perempuan daripada pelbagai sisi; anak perempuan yang menginjak usia remaja, mahasiswa yang penuh idealisme, ibu muda buta huruf yang cekal membangun keluarga, kekecewaan serta kerelaan isteri pertama dan kedua, juga nenek tua yang mendambakan seorang cucu.
Pertama kali
membaca karya dari Okky Madasari, penulis dari Indonesia. Entrok adalah karya
sulung Okky Madasari yang diterbitkan pada tahun 2010 dan kemudian
diterjemahkan dalam bahasa Inggeris pada tahun 2013. Penulis adalah lulusan
Sosiologi dari Universitas Indonesia dan pernah bekerja sebagai wartawan di
Indonesia dan mengambil keputusan untuk berhenti dan focus pada kerjayanya
sebagai penulis. Sehingga ke hari ini, penulis mempunyai 9 buah buku antaranya
Entrok, Maryam, Pasung Jiwa dan banyak lagi yang mengetengahkan tema wanita dan
politik Indonesia. Entrok berkisahkan kehidupan masyarakat Melayu Jawa
Indonesia sekitar tahun 1950an – 1990an dan ketika pemerintahan Orda (Orde
Baru) di bawah Presiden Soeharto, rakyat Indonesia kelas bawahan tersiksa
dengan sistem dan keganasan dari pihak tentera.
Karya Entrok
adalah inspirasi dari kisah neneknya yang tidak mampu untuk memiliki entrok dan
kemudian bekerja keras untuk mendapatkannya. Apa maksud Entrok? Entrok adalah
pakaian dalam/coli wanita. Pada zaman dulu kebanyakan wanita tidak memakai
entrok kerana tidak berkemampuan malah tidak merasa kepentingan memakai entrok,
tetapi Marni iaitu watak utama Entrok terlalu inginkan entrok untuk dipakai
kerana tidak selesa dengan keadaan fizikalnya yang semakin dewasa, maka dari
situ tercetusnya azam dan semangat Marni untuk berusaha mengubah nasibnya dari
miskin yang cuma sekadar makan kerana ibunya hanya diberi upah makan selepas
menyiapkan kerja, dan dia berjaya menjadi kaya dengan hasil upah mengangkut
barang, berdagang dari rumah ke rumah dan meminjamkan wang kepada orang lain
dengan kadar bunga 10%. Marni mempunyai seorang anak, Rahayu, hasil perkahwinannya
dengan Teja, bekas kuli mengangkut barang di pasar. Marni dan Rahaya, dua
generasi berbeza zaman dan saling tidak punya persefahaman. Rahayu dibesarkan
dengan segala kesenangan dan kemewahan serta dihantar sekolah kerana Marni
ingin anaknya menjadi seorang yang terpelajar namun ilmu yang ada pada Rahayu
menjadi titik perseketaan antara Marni dan Rahayu hingga terdapat jurang antara
mereka. Disebalik kekayaan Marni, Marni juga sering menjadi mangsa cemuhan
masyarakat sekeliling yang iri hati dengannya dan digelar lindah darat. Namun
Marni terus bangun tidak menoleh kebelakang. Manakala Rahayu yang semakin
menjauh, akhirnya hilang selepas berkahwin dengan pensyarahnya di kampus dan menjadi
isteri ke dua, sesuatu yang Marni sendiri tidak bisa menerimanya.
Novel ini bukan
kerana kehidupan Marni dan Rahayu sahaja, tetapi tentang temanya yang
mengetengahkan isu sosial politik, feminisme, dan pluralisme masyarakat Jawa
Indonesia dulu dan kini. Marni dan Rahayu adalah wakil rakyat biasa di negara
itu yang menghadapi kemelut berdepan dengan sistem pemerintahan yang di
dominasi oleh tentera dan sewenang-wenang memeras hasil keringat rakyat dengan
meminta wang perlindungan setiap 2 minggu sekali dengan mengugut akan memenjara
rakyat sekiranya engkar. Demi melindungi harta dan usahanya, Marni
terus-terusan membayar wang perlindungan walaupun terpaksa membiarkan hartanya
dikaup oleh tentera yang rakus menggunakan pangkat untuk hidup senang. Tidak
hanya keamanan dan kekebasan hidup, malah hal agama juga turut dikongkong oleh
sistem negara yang mana kaum Cina di sana dituduh sebagai penyokong PKI (Parti
Komunis Indonesia) jika engkar dengan undang-undang dan dilarang sama sekali
untuk terus menganut agama warisan mereka. Jika membantah, mereka akan.
Penindasan dan kekejaman pihak tentera diangkat sebagai topic utama novel ini
dan menjadikan saya bersyukur tidak melalui hari-hari kelam sebagai rakyat bawahan
di tanahair tercinta ini. Selain itu, apa yang saya belajar melalui novel ini
adalah perbezaan antara generasi ibu dan anak boleh menjadi jurang hubungan.
Sepatutnya Rahayu yang berpeluang ke sekolah dan belajar tentang ilmu-ilmu
agama, lebih terbuka dan membantu ibunya mencari jalan yang betul tentang
agama, bukannya terus-terusan mempercayai dakwaan jiran tetangga termasuk ustaz di sekolah yang memboikotnya
kerana ibunya. Ibunya tidak punya pendidikan malah membaca pun tidak pandai
apantah lagi berfikir tentang hal-hal syirik dan khurafat yang tidak pernah di
ajar oleh sesiapa pun kepadanya. Akhirnya, sama ada Marni mahupun Rahayu yang
terpelajar itu sama-sama tidak berdaya melawan dan menentang golongan atasan
dan pihak yang bersenjata.
Pendapat saya,
novel ini menarik untuk dibaca. Bahasa Jawa Indonesia telah diterjemahkan
sedikit bagi membantu pembaca dari Malaysia memahami isi kandungan buku ini.
‘Gusti, kenapa
aku selalu Kau hadapkan dengan orang-orang seperti ini? Orang-orang yang begitu
berkuasa dengan seragam dan sepatunya. Orang-orang yang menjadi begitu kuat
dengan senapangnya. Orang-orang yang selalu benar kerana bekerja untuk negara.
Mereka yang selalu mendapatkan wang dengan mudah tanpa sedikit pun mengeluarkan
keringat. Dan aku yang tak punya kuasa dan kekuatan, yang selalu saja salah,
harus tunduk pada kemahuan mereka. Menyerahkan harta yang terkumpul dengan
susah payah, dengan segala hujatan (fitnah; caci; cela) orang lain.’ – Sumarni
(mukasurat 191)