Followers

Saturday, 7 May 2022

Book Review - Erti Beragama Yang Hilang

Tajuk : Erti Beragama Yang Hilang
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Iman Publication


Buku ini merupakan saduran kepada kitab Maza Ya’ni Intima-i Lil Islam (Apa Erti Aku Menganut Islam) karangan Syeikh Fathi Yakan. Asasnya, buku ini membawa ke hadapan persoalan kesyumulan dalam beragama khususnya buat seorang Muslim.

Ia merungkaikan sudut-sudut beragama yang biasa dilakukan oleh seorang Muslim secara ritual seperti akidah dan ibadah, lalu menghubungkan sudut-sudut beragama yang kadang kala tidak dilihat sebagai suatu yang sama besar kepentingannya sepeti akidah dan ibadah iaitu akhlak, perhubungan antara manusia dalam keluarga dan masyarakat. Buku ini turut menekankan bahawa kita perlu yakin masa depan ketamadunan dunia ini adalah untuk Islam lalu perlu bekerja keras untuk membangunkannya.


Buku ini adalah ulasan atau mengupas buku kitab Maza Ya’in Intima-I Lil Islam (Apa Erti Aku Menganut Islam). Buku tersebut difahamkan adalah kitab untuk para pengiat jemaah-jemaah yang sering menghadiri Usrah  dan menjadi rujukan para ustaz-ustazah dalam usrah. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil mengupas isi kandungan kitab tersebut dengan bahasa yang mudah difahami dengan memberi contoh-contoh pengalaman beliau sebagai seorang pendidik. Selain tentang akhlak, cara hidup dan mengupas tentang agama Islam itu sendiri, buku ini juga ada diselitkan sedikit sejarah bagaimana orang Islam berjaya menawan Konstantinopel selepas beberapa kali cubaan, akhirnya Konstantinopel (iaitu Istanbul pada masa kini) jatuh di tangan Sultan Muhammad al-Fatih. Banyak pengajaran yang boleh diambil dari kisah jatuhnya Konstantinopel dan janji Rasulullah SAW kepada para sahabat dan seluruh umat Islam untuk menaikkan semangat para sahabat.
 
Islam bukanlah hanya sebuah agama, tetapi juga panduan hidup. Islam mengajar kita menjadi umat yang berakhlak dan mempunyai tujuan hidup. Kehidupan juga perlu diiringi dengan syari’atullah dan sunnatullah kerana hidup dan berjaya juga perlukan keberkatan. Apa itu syari’atullah dan sunnatullah? Dalam buku ni ada diterangkan maksud, makna dan contoh kedua-duanya untuk kita sama-sama belajar.  
 
 
Sejujurnya saya tidak pernah membaca kitab Maza Yakin dan tidak pernah juga menyertai mana-mana usrah. Buku ini sedikit sebanyak membantu saya yang dalam kegelapan mencari erti diri dan tujuan hidup sebagai seorang manusia yang beragama Islam. Buku ini ibarat sebuah cebisan puzzle yang hilang ketika saya mencari tujuan hidup. Tanpa agama, hidup ini ibarat layang-layang yang terputus tali. Tetapi jika hanya beragama dan tidak mengamalkan, ibarat layang-layang yang terbang tanpa tujuan. Buku ini adalah panduan untuk kita berfikir dan bertanya dengan diri sendiri, apa erti saya menganut islam? Adakah kerana ia hanya kerana warisan dan bukan pilihan? Buku ini membantu mencari jawapan untuk soalan itu.


“Apabila kita mengimani Allah SWT sebagai Rab, kesan pertama daripadanya ialah, kita semakin menyedari Allah SWT berhak memberi, dan berhak juga mengambil kembali, kerana semua yang ada ialah kepunyaan Allah SWT. Dia boleh mengambil tanpa izin manusia, pada bila-bila masa, di mana saja, dan dalam apa jua cara. Allah SWT Maha Berhak atas segala sesuatu, termasuklah apa-apa dan siapa-siapa yang kita sangkakan milik kita.” – Cara Mengenali Allah SWT (muka surat 129

Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...