Masa beritahu adik, kami nak ke Pangkor masa raya ke-3. Dia kata "Wahhh... melancong ke?". Rasa nak tepuk je, macam lah dia tak tahu kampung suami saya sekangkang kera je dengan Pulau Pangkor. Tujuan ke Pulau Pangkor kali ni sebab nak habiskan 10k kwsp nak ke duty free. Kome tau ke idak Pulau Pangkor sekarang macam Pulau Langkawi, dah diiktiraf sebagai duty free? Tak tahu? Kami pun baru tahuuu... 🙈. Tapi ada term & conditionnya lah untuk apply duty free tu. Nanti hujung entry, saya cerita...
Kat Marina Island ni pun ada banyak tempat untuk bergambar yang dipanggil InstaLoka. Korang boleh scan QR & Barcode kat mana-mana InstaLoka, dia akan tunjuk map kat mana spot location dalam Marina Island yang korang boleh selfie/bergambar cantik-cantik upload dalam instagram.
Sebelum naik feri, boleh makan kat kedai dan food court yang dibuka untuk anda isi perut siap-siap sebelum berlepas masuk Pulau. Baru lah boleh berjalan dengan aman. Tapi memandangkan kami ke sana masa raya, jadi kami makan di kedai cina (ada halal certificate). Mujur nasi lemak dia boleh tahan, sedap.
Sementara saya bergambar se-das dua keping bersama anak, Husband pula pergi ke kaunter tiket untuk beli tiket feri. Kami sampai lebih kurang pukul 1pm, mujur ada feri jam 2pm yang masih ada seat. Kami ambil tiket balik pukul 6pm memandangkan tak ada plan untuk berlama-lama di sana. Lagipun takut tak menunggu lama sebab tak ada banyak aktiviti... tapi kami silap ya... 😂
Tiket kena book dulu secara online kat pc dalam kaunter. Jangan risau ye, ada banyak PC dan pembantu untuk bantu anda membeli tiket. Make sure double check tarikh dan masa betul-betul. |
Lepas dah booked, tangkap gambar booking ID dan terus beratur ke kaunter ni untuk bayar dan ambil tiket. Jangan terus keluar tanpa bayar ok. kang kena berenang nak ke Pulau. |
Kami beratur jam 145pm dan lebih kurang 10 minit menunggu, kami dibenarkan naik feri. Lega rasa sebab cuaca agak panas dengan orang yang agak ramai nak pergi bercuti bawa beg besar-besar. Ada yang bawa joran nak memancing sekali kat sana agaknya. kami cuma bawa handbag masing-masing je.. Lelaki sekarang pun nak ada 'handbag' juga 😷
Tak sempat nak fefeeling mabuk laut pun dalam feri, know-know dah sampai.
(Stylo lah budak gegirl yang baju putih tu.... agagaga) |
Sampai di jeti, ramai yang menunggu untuk menawarkan khidmat sewa kenderaan. Kami memang plan nak sewa kereta kecil-kecil je untuk kami bertiga pusing 1 pulau. Tapi di sana ramai pula suggest untuk kami sewa motor sahaja memandangkan kami cuma bertiga. Tapi size kami masing-masing tak halus mana, jadi kami tekad untuk sewa kereta juga. Rate sehari rata-rata dalam RM100 untuk kereta. Tapi kalau anda malas nak drive, keluarga ramai dan cuma nak jalan-jalan keliling Pulau, saya suggest sewa van sekali dengan driver. Driver akan bawa anda pusing ke tempat-tempat menarik dan mereka akan tunggu sehingga selesai. Lebih jimat masa dan tenaga.
Husband cuba nego untuk dapatkan harga yang berbaloi memandangkan kami cuma ada lebih kurang 4 jam je di sana. Takkan nak bayar rm100 (belum campur minyak) untuk 4 jam sahaja, kan? Alhamdulillah, kami dapat sewa kereta wira dengan harga RM60 sahaja tapi condition kenderaan tu, kena redho lah 😂. Banyak masa kami terbuang part mencari dan menunggu kenderaan pula. Tapi tak apa lah asalkan segalanya selamat dan win-win for both side.
Lencun juga lah Husband berpeluh dalam kereta sebab aircond tak berapa kuat. Nasib baik brek berfungsi dengan baik memandangkan ada kawasan-kawasan yang curam ala-ala naik genting highland. |
Destinasi pertama kami ialah pusing dulu se-round untuk kaji port-port menarik untuk kami singgah. Banyak juga kami plan nak berhenti pada mulanya tapi teringatkan tujuan kami ke sini, kami buat keputusan untuk cari kedai-kedai duty free dulu dan pergi membeli-belah sebelum melawat ke kawasan lain. Lepas kami pusing satu round, kami dapati ada banyak juga kawasan duty free tapi ada yang masih tutup sebab raya. Jadi kami mulakan pencarian di kawasan jeti iaitu tempat pertama kita jejak sebaik sahaja sampai ke Pulau Pangkor ni. Kat situ sederet kedai-kedai coklat dan perfume serta kitchenware. Bolehlah survey harga dulu sebelum decide nak beli di kedai yang mana.
Disini ialah syurga coklat |
Ini pekan Pangkor |
Kami menuju ke tempat lain untuk survey perfume pula. Kat jeti tak banyak koleksi perfume sebab stock habis. Tapi kat area sana pun banyak stock habis. Jadi saya kata pada Husband, lepas pulangkan kereta dan sebelum naik feri saya akan ke Sun Duty Free semula untuk cuba cari perfume. Kalau ada, ada lah.
Destinasi seterusnya kami ke Masjid terapung iaitu Masjid Al-Badr Seribu Selawat. Masjid ni ialah masjid terapung pertama yang terdapat di Perak. Masjid ni siap sepenuhnya pada Oktober 2016 dan menelan belanja sebanyak RM11.77 juta. Masjid ni juga diilhamkan oleh Menteri Besar Perak ketika itu iaitu Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga merupakan anak jati kelahiran Pangkor. Dan seingat saya, Pulau Pangkor ni pun naik taraf sejak DS Dr Zambry jadi Menteri Besar Perak.
Saya pernah ke sini kalau tak silap pada tahun 2018 bersama keluarga saya dan pernah masuk ke dalam masjid ni. Cuma kali ni saya cuma mampu memandang dari luar sahaja. Cantik sangat malah ada pelbagai bangsa yang datang dan ambil gambar di masjid ini. Saya berharap pihak masjid berbesar hati menerima kunjungan non-muslim untuk masuk dan melawat masjid. Kadang-kadang hasil keterbukaan kita menerima sesiapa sahaja datang melawat dengan ikhlas hati mampu membuka hati orang lain untuk belajar dan mendalami agama Islam. Kalau ia membawa kebaikan untuk Islam, apa salahnya kan.
Destinasi seterusnya yang sempat kami singgah sebelum pulang ialah Kota Belanda pula. Kota Belanda ni ialah tempat wajib untuk korang singgah kalau ke Pulau Pangkor ni. Bukan Melaka je ada Kota Belanda, Perak pun ada ye yop. Alkisahnya, Kota Belanda ni dibina pada tahun 1670 sebagai tempat untuk mereka simpan bijih timah yang mereka perolehi dari Negeri Perak. Kome tau kan, Perak ni dulu kaya-raya dengan hasil bijih timah. Kota Belanda ni terletak di sebuah perkampungan nelayan iaitu di Kampung Teluk Gedung. Rakyat tempatan tidak bersetuju dengan cara Belanda memperolehi Bijih Timah lalu memusnahkan kota ini pada tahun 1690. Belanda bina semula kota ini dan menempatkan 60 orang pegawai mereka dari tahun 1743 hingga 1748. Selepas itu, kota ini dibiarkan tinggal dan dibina semula oleh Jabatan Muzium pada tahun 1973 sebagai monumen. Tetapi bumbungnya tidak dibina semula sebab Jabatan Muzium tak tahu bentuk asal kota ini. Pada tahun 1997, kerajaan Negeri Perak telah memajukan kawasan ini menjadi kawasan pelancongan dan kerajaan negeri menaiktaraf kawasan sekitar untuk pelancongan.
Kira-kira 100 meter dari Kota Belanda, terdapat satu Batu Bersurat Belanda yang dipercayai dipahat oleh askar-askar Kompeni Belanda pada tahun 1743 sewaktu mereka menduduki kota ini. Dipercayai juga adalah sebagai tanda peringatan peristiwa seorang anak pembesar Belanda yang hilang ketika bermain-main di sekitar batu itu. Kanak-kanak itu dipercayai mati di makan binatang buas dan sebagai memperingati peristiwa itu, orang-orang Belanda telah memahat batu tersebut dengan lukisan harimau sedang memakan budak. Kalau dilihat dari jauh, kelihatan seperti contengan budak-budak nakal tetapi saya katakan pada Husband, itulah sejarahnya. Maaf, kami tidak singgah pun di situ kerana kesuntukan masa tetapi saya masih ingat keadaan batu bersurat itu ketika saya melawatnya lama dulu dan tidak pernah berubah pun keadaannya.
Oleh kerana kesuntukan masa, kami terus berpatah balik ke Jeti untuk pulangkan kereta. Kami tak sempat pun ke Pantai Teluk Batik atau Pantai Teluk Nipah untuk bergambar. Kami cuma sempat lalu sahaja. Dan saya juga mahu singgah ke kedai untuk membeli beberapa minyak wangi untuk dibawa pulang. Memandangkan dah sampai ke sini, rasa rugi kalau tak beli perfume walaupun saya tak pasti berapa banyak beza harga minyak wangi di duty free dan di KL.
Saya cuma dapat beli 2 kotak minyak wangi sahaja kerana kebanyakan minyak wangi harga bawah RM400 telah kehabisan stock. Bolehlah dari takde. Lama dah tak beli perfume sebab tak rela berhabis beratus untuk sebuah perfume. Tapi bila fikir-fikir balik, lebih baik saya beli perfume dari beli body mist yang tahan beberapa minit je.
Perjalanan pulang langsung tak terasa dek kerana saya dan Husband sakan bersembang dan review segala yang kami lalu tadi di Pulau Pangkor. Saya ingatkan feri baru nak start enjin dan sedang berundur tetapi rupanya dah bergerak ke seberang. Atau mungkin kerana kami duduk di tingkat atas jadi tak nampak feri bergerak.
Terasa lega apabila sampai ke Marina Island semula. Pada mulanya kami nak singgah dan bergambar sebentar di InstaLoka dengan pemandangan laut waktu petang yang cantik tetapi keadaan ketika itu sangat padat dengan orang ramai yang juga datang berkunjung ke Marina Island untuk bergambar buat kenangan. Jadi kami membatalkan niat dan terus pulang semula ke Kampung Bharu, Lumut.
Sebelum saya akhiri entry Pulau Pangkor saya kali ni, saya nak bagi beberapa tips jika berniat nak beli coklat dan perfume di sini.
1. Jika anda nak claim duty free, syaratnya ialah anda kena menetap disini lebih dari 48jam atau 2 hari. Jika tidak, barang anda akan di charge tax sebanyak 10%. Kami kena charge RM15 untuk total harga barang-barang coklat kami.
2. Pihak kastam tak buka beg, jadi jika anda nak beli perfume, buang kotak dan simpan dalam handbag atau bag-bag kecil. Asingkan resit perfume dengan coklat jika anda tak stay di Pangkor ya. TAPI janganlah anda borong untuk sekampung atau jual, untuk kegunaan peribadi sahaja, tak mengapa. Sekadar sebotol dua apa salahnya. Yelah, mana tau silap langkah atau nampak suspicious, tiba-tiba pihak kastam check handbag atau beg anda. Naya Pak Karim nak bayaq 10% tax segala.
3. Simpan resit-resit pembelian anda sebab nanti kastam nak check resit sebelum naik feri.
4. Kalau sekadar nak berjalan-jalan, memadai jika stay sehari sahaja tetapi datanglah awal pagi. Naik feri pertama dan balik naik feri terakhir sebelum pukul 7 malam. Tapi jika anda berhajat nak mandi pantai, carilah chalet yang dekat dengan pantai. Jalan je dah sampai. Kat sini pun boleh juga snokeling dan ada package snokeling, boat taxi dan macam-macam lagi aktiviti.
5. Pulau Pangkor adalah antara percutian mesra budget. Jika budget limit, datanglah sini untuk berehat. Sewa van atau kereta sehari pun untuk bekeluarga. Kalau bujang, motor je buat ronda-ronda keliling pulau. Makan kat sini pun tak mahal. Anda boleh tonton youtube Fikri Zamri ni sebagai rujukan SINI. Mesti rasa nak datang sini bercuti.
Sebelum tu nak bagitau. Kalau ke Pangkor ni tak perlu pun beli ikan bilis atau makanan-makanan laut kat dalam Pulau. Saya suggest anda pergi ke Lumut dan borong ikan bilis mata biru kat sana. Harga sekarang RM15 untuk 100 gram. Dah mahal ye tapi kualitinya tetap bagus. Survey dulu lah. Nak elok dan berbaloi, kena rajin survey sikit.
Itu sahaja review jalan-jalan dari saya untuk kali ni. Terima kasih kerana sudi baca. Semoga ada rezeki lagi untuk berjalan, bercuti dan share cerita travel kami di sini.