Followers

Monday, 11 April 2022

Book Review - Kitab Tamadun Islam

Tajuk : Kitab Tamadun Islam
Penulis : Ibn Jawi
Penerbit : The Patriots


Tamadun yang pada asalnya bermula dari tempat tidak punya apa, lalu berjaya bangkit menggegar dua kuasa dunia pada bahagian kiri dan kanannya sehingga kedua-dua empayar gergasi itu jatuh rebah dalam puing kehancuran. Siri peperangan yang tertulis di hujung tinta sentiasa menceritakan tentang perwira dan para syuhadanya yang gugur menggempur ketumbukan Parsi yang angkuh dan Rom yang mendada.
Kelahiran Nabi akhir zaman, iaitu Nabi Muhammad SAW merupakan suatu bukti bahawa telah lahirnya sebuah peradaban yang agung. Ketika kebanyakan daripada tamadun itu terbina dan berdiri di tepian laut serta lembangan sungai, kuasa Tuhan mentakdirkan tamadun Islam berdiri di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Baginda tekun mengajar umatnya erti sebuah kehidupan melalui cebisan-cebisan wahyu daripada Tuhan sehingga ia lengkap menjadi sebuah kitab agung, yakni al-Quran.
Sudah tentu riwayat Umaiyah yang mengaum dan Abbasiyah sebuah permata sentiasa dijulang sehingga Uthmaniyah sang sufi sentiasa bersemayam di hujung lena. Malangnya, semua itu telah lenyap daripada helaian jiwa yang menandakan bahawa zaman kegelapan itu sudah pun tiba. Ada juga riwayat seperti tikaman dari belakang, perebutan takhta yang menumpahkan darah, bahkan juga keagungan intelektual umat purba yang tidak tersingkap. Semoga keagungan itu kembali mekar dalam jiwa seluruh warga satu syahadah untuk mengembalikan kegemilangan yang dirindukan.


Buku ini mengandungi 2 bahagian dan dipecahkan kepada 12 bab bermula dengan sejarah tentang kelahiran Islam hingga rukun kebangkitan iaitu kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman sebelum kiamat berlaku. Buku yang mempunyai 476 muka surat ini menceritakan serba ringkas tetapi padat tentang ISLAM secara menyeluruh. Bahagian pertama buku ini menerangkan tentang sejarah tentang ISLAM serta kemunculan agama-agama lain di dunia secara ringkas, sejarah Nabi Muhammad SAW, serba ringkas tentang Khulafa al-Rasyidin iaitu Khalifah-khalifah yang menyambung dakwah Nabi Muhammad SAW selepas kemangkatan Baginda Rasulullah SAW, dan seterusnya tentang Bani Umaiyah, Bani Abbasiyah dan ringkasan  keagungan Tamadun Turki Uthmaniyah.
Dalam bahagian dua pula lebih menyentuh tentang akidah, mazhab, penerangan tentang apa itu tasawuf, kemudian penulis menerangkan tentang Firqah Dhalalah Klasik iaitu tentang syiah serta pecahan-pecahan utama Syiah dan kumpulan-kumpulan Syiah yang wujud dahulu, juga tentang sejarah dan maksud wahabi dan akhirnya tentang kebangkitan Nabi Isa dan Imam Mahdi ketika kemunculan Dajjal di akhir zaman nanti.

Di bawah ni saya ringkaskan sedikit point penting dalam buku Kitab Tamadun Islam
1. Dalam Bab 3 tentang Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyin, terdapat kisah semasa pemerintahan Khalifah Uthman selepas enam tahun yang dipenuhi dengan jarum-jarum fitnah yang datangnya dari seorang pendeta tertinggi Yahudi yang bernama Abdullah bin Saba’ yang memeluk islam sekadar untuk meruntuhkan Islam dari dalam. Dia menanamkan benih-benih kebencian dalam hati kaum Muslimin terhadap Khalifah Uthman. Dia menghasut penyokong Saidina Ali agar taksub dengan sentiment asabiyah Bani Hasyim (keturunan keluarga Nabi) sehingga menyebabkan Khalifah Uthman dibunuh oleh penyokong Saidina Ali tanpa pengetahuan Saidina Ali.
2. Kemuncak ISLAM iaitu ketika kerajaan Bani Abbasiyah diperintah oleh Khalifah Harun al-Rasyid pada tahun 786 Masihi sehingga 809 Masihi. Khalifah Harun adalah seorang yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan dan telah membina sebuah perpustakaan agung iaitu Baitulhikmah yang terletak di Baghdad. Baitulhikmah dibina sebagai pusat pertemuan sarjana, pusat penterjemahan, pusat sumber ilmu pengetahuan, pusat penyelidikan ilmu dan pusat latihan para ulama. Ketika inilah lahirnya imam-imam mazhab yang terkenal. Baitulhikmah akhirnya musnah selepas Kota Baghdad diserang oleh pasukan Hulagu Khan, tentera Mongol pada 1258 Masihi dan semua buku-buku ilmu dipunggah dan dilempar ke sungai Tigris sehingga sungai berubah warna menjadi hitam kerana dakwat buku yang dibuang itu. Maka hilanglah semua ilmu sejarah, perubatan, matematik dan astronomi yang asalnya adalah dari orang ISLAM.
3. Dalam bab 8 adalah penerangan tentang mazhab iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafi’I dan akhir sekali Mazhab Hambali. Setiap mazhab mempunyai hujah dan dalil tersendiri dan ia memudahkan orang awam untuk menjalani ajaran islam. Walaupun berbeza pandangan tetapi sumber rujukan untuk setiap mazhab adalah berasal dari al-Quran dan sunah.
4. Syiah berakar umbi daripada ajaran Yahudi-Kristian-Majusi yang menyelinap ke dalam hati para pengikut fanatic Saidina Ali. Ritual karbala kononnya meratapi kesyahidan Sayidina Hussien agar dapat menebus dosa sedangkan ia adalah sumpahan Sayidatina Fatimah al-Sughra binti Sayidina Hussien kerana kaum Syiahlah yang membunuh Sayidina Hussien.
5. Ajaran Wahabi ialah hasil perjuangan Muhammad bin Abdul Wahab. Kesesatan kelompok ajaran Wahabi secara umumnya hanya tergolong sebagai fasiq dan mubtadi’ (iaitu orang yang membuat perkara baru dalam aqidah). Kebatilan mereka hanyalah kekeliruan mengenai tafsiran dan manhaj agama ISLAM yang sebenar. Golongan Wahabi mengharamkan taklid serta berfatwa bahawa umat ISLAM yang bertaklid kepada 4 Mazhab adalah kafir, halal dibunuh dan hartanya boleh diambil tetapi mereka mewujudkan satu ajaran baharu yang menolak al-Sawad al-Azham.


Bagi sesiapa yang ingin tahu lebih mendalam tentang ISLAM atau secara ringkas tetapi padat, buku ini adalah rujukan terbaik. Buku ini sebenarnya lebih kepada SEJARAH ISLAM tetapi ia sangat bagus untuk menambah pengetahuan tentang agama kita sendiri agar dapat kita dijauhkan dari kesesatan. Walaupun struggle untuk menghabiskan bacaan tapi sayang pula nak skip sebab isinya yang sangat menarik tentang sejarah ISLAM.
 

“Bersatulah wahai umat Islam ke dalam kebenaran. Sesungguhnya, Tuhanmu Esa iaitu Allah. Syariatmu juga satu iaitu mengikut Nabi Muhammad SAW. Kiblatmu juga satu iaitu Kaabah. Kitab petunjukmu juga satu iaitu al-Quran". – Rukun Kebangkitan, (mukasurat 463)

Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...