Followers

Thursday, 21 April 2022

Book Review - Uthmaniyah Di Hujung Jari

Tajuk : Uthmaniyah Di Hujung Jari
Penulis : Amir Asyraf Alwi
Penerbit : The Patriots


Bermula daripada segerombolan pelarian perang yang nomadik, mereka mendaki hierarki menjadi sebuah kerajaan beylik yang kecil, hinggalah berjaya meletakkan pusat mereka di antara Eropah dengan Asia, sekali gus bangkit sebagai salah satu kuasa dunia yang terpenting di Eropah Timur. Bangsa ini mungkin menjengkelkan tetapi bangsa ini bangsa yang tidak takut kalah. Malahan sayap mereka tidak hanya terhad di Eropah semata-mata. Mereka pernah menundukkan Amerika Syarikat tanpa perlu bertempur di Afrika Utara. Mereka pernah menyumbang senjata, kekuatan dan ilmu di Aceh. Mereka dianggap sebagai wira tidak didendang di Ireland.
 
Sebuah lagi kisah tentang tamadun yang telah menjadi lipatan sejarah dunia iaitu Uthmaniyah yang kini telah menjadi sebuah negara Republic Turki. Buku yang ditulis oleh saudara  Amir Asyraf Alwi ini diterangkan dengan ringkas tetapi menarik dengan penulisan yang penuh dengan fakta yang seimbang dan tidak berat sebelah. Susunan bab dan kupasan juga kemas memudahkan kita sebagai pembaca umum untuk lebih memahami setiap bab. Seperti biasa, buku-buku dari The Patriots jarang-jarang mengecewakan kerana penerbit memilih naskhah yang santai dan mudah untuk difahami oleh golongan umum yang baru berjinak dengan buku-buku sejarah seperti ini.

Uthmaniyah adalah sebuah empayar, kesultanan dan khalifah yang diilhamkan dan dikekalkan oleh Islam dan institusi Islam. Mereka menggantikan empayar Byzantine (Rom Timur) sebagai kuasa hegemoni utama di Mediterranean Timur yang wujud dari tahun 1299 hingga 1923 iaitu 634 tahun. Ia juga merupakan salah satu pemerintahan sistem monarki yang paling lama bertahan dalam sejarah dan juga dikenali sebagai salah satu kerajaan paling kuat sepanjang sejarah ketamadunan manusia. Empayar Uthmaniyah mula memasuki fasa kejatuhan setelah dikalahkan dalam pertempuran Lepanto (1571) dan kehilangan hampir keseluruhan angkatan lautnya. Uthmaniyah terus mengalami kemerosotan teruk pada abad-abad yang mendatang sehingga digelar sebagai Orang Sakit Eropah, lalu dihapuskan secara sistematik melalui Perang Dunia Pertama dan Perang Balkan. Uthmaniyah akhirnya terpaksa mengorbankan dinasti 600 tahun selepas Mustafa Kemal Ataturk berjaya mendapatkan kemerdekaan melalui Perang Kemerdekaan Turki.
 
Di bawah ini saya ringkaskan sedikit rumusan-rumusan dari beberapa topik menarik tentang Uthmaniyah:
1.  Uthmaniyah ialah sebuah empayar yang begitu membanggakan kerana pemerintah terawalnya turut sama turun padang bertempur mengasaskan negara hingga akhirnya keturunan mereka sendiri terpaksa mengurungkan diri di belakang tembok istana dan selepas keluar dari persembunyian, mereka terpaksa bergelut untuk menghadapi perubahan zaman di dunia. Pengurungan itu dikatakan sebagai amalan biasa sejak tahun 1617 bagi mencegah para saudara pewaris sultan melakukan cubaan mengguling takhta pemerintahan sedia ada untuk melantik diri mereka sendiri di takhta sultan. Natijahnya, kebanyakan pewaris sultan ini mengalami masalah mental. Salah satu kisah tentang sultan gila ialah Sultan Mustafa yang memerintah dari 1592 hingga 1639 dan digelar YANG TERTAWA kerana pernah melantik dua orang hamba yang naïf dan sangat tidak berpendidikan sebagai gabenor wilayah di kota-kota utama kerajaannya. Seorang petani juga telah dilantik sebagai pegawai tertinggi setelah petani itu menawarkan minuman ketika beliau pergi berburu. Penasihat besar terpaksa meletakkan Mustafa kembali ke dalam kandang kurungan dan beliau duduk bersama dengan dua hamba perempuan dan sering tertawa kecil seperti orang bodoh. Sehingga beliau meninggal pada usia 47 tahun, beliau telah menolak takhta untuk kali ke dua dan melantik anak saudaranya mengantikannya dan beliau tidak pernah keluar dari kandangnya lagi sehingga akhir hayat.
Ada banyak lagi kisah tentang sultan-sultan gila dalam buku ini.
 
2.  Satu tragedi kebuluran dasyat telah berlaku di Ireland sekitar lebih kurang 160 tahun dulu yang dikenali sebagai “The Great Famine” atau “The Potato Famine” dan mereka menghadapi bencana kebuluran dan penyakit dari tahun 1845 hingga 1849.. Empayar Turki Uthmaniyah telah menyumbang $1,000 sterling dan tiga buah kapal dipenuhi dengan bekalan makanan dan ubat-ubatan serta keperluan asas ke Drogheda, Ireland. Sekurang-kurangnya 1 juta orang mati akibat penyakit yang berkaitan dengan kebuluran manakala lebih 1 juta penduduk telah melarikan diri ke Amerika Syarikat, England, Kanada dan Australia. Sultan Khalifah Abdulmecid mengumumkan hasrat untuk menyumbang sebanyak $10,000 sterling tetapi baginda didesak oleh para menteri dan diplomat British untuk mengurangkan jumlahnya kepada kerana bimbang jumlah itu mengatasi jumlah sumbangan dari Ratu Victoria yang hanya menyumbang $2,000 sterling. Sultan akur TETAPI baginda secara rahsia telah mengarahkan ops penghantaran tiga buah kapal besar yang penuh dengan makanan, ubatan dan keperluan lain. Selepas peristiwa itu, hubungan Turki – Ireland menjadi model keamanan sejagat dan ikatan itu masih baik hingga hari ini. Ia juga diabadikan dalam sebuah buku untuk pelajar-pelajar sekolah kita pada tahun 1980an bertajuk The Potato People. Panjang kisah tentang The Potato Famine ni tapi ini saya ringkaskan sahaja. Untuk lebih details boleh dapatkan buku ini.
 
3.  Uthmaniyah mempunyai pasukan pancaragam tentera yang dikenali sebagai Mehter. Ia merupakan bentuk indikasi pemerintahan, bahkan adakalanya mereka boleh terlibat secara tidak langsung sebagai kumpulan propaganda semasa perang untuk membina motivasi dan menaikkan semangat tentera ketika berdepan dengan musuh. Selain itu, Mehter juga membuat persembahan untuk majlis rasmi di istana. Kumpulan ini terdiri dari 150 – 200 ahli dan mempunyai berek khas di istana. Semasa persembahan, kumpulan Mehter akan berbaris dalam formasi bentuk bulan sabit. Dalam bahasa Turk, Mehter juga bermaksud bulan sabit. Anggota kumpulan ini mempunyai gaya jalan yang khusus. Mereka berjalan dengan perlahan sambil melaungkan “Allah itu Maha Pemurah, Allah itu Maha Mengasihani”, pada setiap tiga langkah mereka akan berhenti dan berpaling ke kiri dan kanan dan terus  berjalan. Sultan Murad IV telah mengubah dan mencipta sendiri beberapa lagu Mehter untuk angkatan tentera Uthmaniyah pada waktu itu. Pasukan ini telah dibubarkan dan diganti dengan pancaragam tentera gaya Eropah. Hari ini, kumpulan Mehter kembali meniup semangat patriotik Turki di bawah seliaan Angkatan Tentera Turki dan berkhidmat di Muzium Tentera di Istanbul.
 
4.  Uthmaniyah ialah sebuah empayar pemerintahan Islam yang sangat besar dan pelbagai etnik yang melibatkan diri dalam tentera Uthmaniyah, pentadbiran dan perdagangan. Ada sebuah kisah tentang seorang pejuang kulit hitam Uthmaniyah yang setia dikenali sebagai Black Musa. Beliau telah mendedikasikan seluruh hidup, harta benda serta jiwanya untuk perjuangan daulah Uthmaniyah semasa Perang Dunia Pertama. Beliau terlibat dengan banyak siri peperangan termasuk Perang Dunia Pertama. Beliau tidak dapat menyertai Perang Kemerdekaan Turki kerana masalah kesihatan. Dilahirkan pada tahun 1880 dan berasal dari Sudan, tetapi membesar sebagai anak yatim di Mesir menyertai Perkhidmatan Khas Uthmaniyah semasa Perang Turki – Itali pada tahun 1911 di Libya dan berjuang di samping tokoh-tokoh penting Mustafa Kemal Ataturk, Enver Pasha, Halil Pasha, dan komander terkenal Esref Bey. Selepas Perang Dunia Pertama berakhir, Musa menyertai perjuangan gerakan nasionalis di Istanbul tetapi Musa hanya bersendirian dan tidak mengenali sesiapa dan tidak mempunyai wang serta tempat tinggal. Ditakdirkan beliau bertemu dengan Ali Said Pasha di masjid dan menawarkan pencen untuknya tetapi Musa menolak kerana enggan mengambil hak milik rakyat yang susah. Lalu Ali Said Pasha memberikan pekerjaan kepadanya sebagai penjaga pintu di Kota Istanbul. Selepas beberapa hari kemudian, seorang komander British bertemu dan ingin tahu tentang Musa dan bertanya kepada orang tempatan dan menawarkan Musa kedudukan dan jawatan dalam tentera British namun ditolak oleh Musa. Musa meneruskan kerja sebagai penjaga pintu pada siang hari dan berkhidmat untuk gerakan nationalis pada waktu malam. Akibat kerja keras, Musa disahkan menghidap penyakit tuberculosis yang teruk. Beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya di pondok Muslim untuk beribadat dan menghembuskan nafas pada tahun 1919. Selanjutnya ada dalam buku ini.
 
5.  Ketika Uthmaniyah sudah tiada harapan lagi untuk diselamatkan, rakyat tiada pilihan lain selain mengangkat satu-satunya tokoh yang memiliki aura iaitu Mustafa Kemal Ataturk. Mustafa Kenal Menganggap satu-satunya jalan untuk menyelamatkan rakyat dan negara ialah dengan membubarkan kesultanan Uthmaniyah selepas sultan terakhir meninggalkan tanah air Turki. Beliau menjadikan Eropah sebagai contoh kemajuan dan menyerap sistem sekular iaitu urusan agama dan pentadbiran akan dipisahkan. Secara rasmi kesultanan Uthmaniyah dimansuhkan pada  1 November 1922 dan negara Republik Turki ditubuhkan.
 
 
Naskhah ini mengumpulkan himpunan bahan bacaan yang terbaik untuk dipelajari bersama-sama tanpa prejudis. Uthmaniyah adalah sebuah entiti yang sewajarnya diberi kredit dari segi pencapaian dan sumbangan terhadap dunia Islam. Namun, patut dikritik di atas apa jua kesilapan dan kezaliman yang dilakukan kerana selepas Rasulullah SAW meninggalkan umatnya di dunia ini, sudah tiada lagi pemimpin Islam yang sempurna.
 
Uthmaniyah bukan sekadar mampu menjadi pelindung bangsa Turk sahaja tetapi Uthmaniyah menjadi payung tempat berteduh kaum Yahudi, Croat, Crimea, Armenia, Yunani, Caucasus, Tatar, Afrika, Arab dan pelbagai lagi. Namun setelah kejatuhan dinasti Uthmaniyah, anak cucu dibuang negeri ke tempat yang mereka tidak punyai sanak saudara di sana. Seluruh harta benda dirampas dan melalui kesulitan yang serius ketika diasingkan.” – Kebangkitan Nationalis Turki, mukasurat 191.

Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...