Tajuk : Hafalan Shalat Delisa
Penulis : Tere Liye
Penerbit : SABAKGRIP (juga
boleh dibeli dari Jejak Tarbiyah di Shopee)
Delisa anak perempuan yang bermata hijau, bening dan umurnya baru mencecah lima tahun. Dia hidup dalam keluarganya yang sebegitu, dia cuba menghafal bacaan dalam solat dengan bantuan ibu dan kakaknya.
Namun Tuhan lebih tahu apa yang lebih baik untuk hamba-Nya. Tsunami datang melumatka senyuman pada wajah Delisa. Tsunami mengambil segala-galanya, keluarga juga kaki kecilnya. Yang tersisa, hanya dia dan ayahnya, dan dalam keadaan sebegitu apakah Delisa mampu tetap tersenyum seperti dahulu dan menyudahkan hafalannya?
Ini
adalah novel ke 4 Tere Liye yang saya pernah baca setakat ini. Buku ini terbit
pada tahun 2007 berlatarkan tentang kisah menyayat hati penduduk di sebuah desa
iaitu Lokhnga yang terletak di Aceh, Indonesia. Novel
ini mengisahkan seorang anak kecil berusia 6 tahun bernama Delisa yang
merupakan seorang anak yang bijak dan suka bertanya serta anak bongsu dari 4
adik beradik. 3 orang kakaknya yang lain ialah Fatimah, Zahra dan Aisyah.
Mereka dibesarkan oleh Abi dan Ummi yang patuh dengan ajaran Islam dan sentiasa
memastikan anak-anak mengerjakan solat dan mengaji.
Bencana Tsunami yang telah berlaku pada december 2004 telah mengemparkan seluruh dunia dan kesan yang paling dasyat telah di alami di Aceh Indonesia telah menyebabkan kehilangan beratus ribu orang penduduk termasuk ahli keluarga Delisa. Pada hari kejadian, adalah hari di mana Delisa perlu melaksanakan tugas yang diberikan oleh gurunya untuk
menjalani ujian hafalan bacaan solat pada di sekolah. Sebelum itu, ummi
telah berjanji untuk menghadiahkan kalung emas untuknya sebagai hadiah jika Delisa berjaya ujian tersebut dengan jayanya. Hadiah kalung emas itu sama dengan hadiah kalung emas milik kakak-kakaknya yang
lain. Tetapi Delisa telah memilih kalung emas yang mempunyai huruf D sebagai simbol DELISA manakala abi
telah berjanji untuk menghadiakannya sebuah basikal jika dia lulus dengan baik. Maka sejak itu,
Delisa tekun menghafal bacaan-bacaan solatnya demi kalung dan basikal tersebut.
Setiap hari juga, Delisa akan berlatih mengayuh basikal bersama rakan baiknya
yang merupakan anak yatim yang kehilangan bapa ketika perang di hutan menentang pihak pemberontakan di Indonesia.
Tiba-tiba
gempa bumi berlaku ketika Delisa melakukan
sujudnya yang pertama. Bermulalah segala penderitaan Delisa serta abi yang
selamat dari bencana itu kerana bertugas di luar negara ketika kejadian. Delisa
telah kehilangan 3 orang kakaknya dan ummi telah hilang tanpa khabar berita akibat bencana itu.
Delisa juga kehilangan sebelah kakinya dan terpaksa berjalan menggunakan
tongkat namun Delisa tetap tabah dan kuat menhadapi segala ujian kehilangan dan
kematian saudara-saudara kandungnya. Tinggallah Delisa bersama abi mengharungi
hari-hari yang sukar bersama namun Delisa terus cekal dan tabah menghadapi
ujian itu bersama-sama penduduk Lokhnga yang juga kehilangan rumah, harta benda serta ahli keluarga sama seperti Delisa.
Tetapi sesuatu telah
membuatkan Delisa hilang ingatan tentang kalungnya dan Delisa juga menghadapi kesukaran
untuk kembali menghafal bacaan-bacaan solatnya sehingga satu hari dia bermimpi
bertemu dengan ummi di Syurga dan ummi membantu Delisa untuk merungkai
persoalan-persoalan selama ini. Dan kehadiran ummi dalam mimpinya telah membantu Delisa untuk menyambung hafalannya dan akhirnya dengan kuasa Allah SWT, Delisa telah berjaya menghafal dan menyempurnakan solatnya yang lengkap buat pertama kali. Dan kejadian ketika Delisa ke sungai untuk
mencuci tangannya telah menemukan dia dengan kalung emas yang berada dalam gengaman tangan sebuah rangka manusia. Berakhir sudah kerinduan dan Delisa akhirnya diberi keizinan untuk menembusi sebuah gerbang taman yang indah yang selalu datang dalam mimpi-mimpinya.
Novel
ini berjaya membuatkan saya mengalirkan air mata sepanjang membaca kedukaan dan
kesukaran Delisa serta abi mengharungi hidup selepas kehilangan insan-insan
yang tersayang. Bukan sahaja Delisa dan abi, seluruh penduduk Aceh melaluinya
terutama anak-anak kecil yang hilang ibu atau bapa serta ahli keluarga yang
lain dalam kejadian bencana tsunami 18 tahun lalu. Penulis juga berjaya
memberikan gambaran sebenar kejadian bencana itu dengan baik sekali sehingga
kita mampu untuk mengambarkan semula peristiwa yang telah meragut beribu orang
tanpa mengira umur, bangsa dan latarbelakang. Betapa besarnya kuasa Allah.
Novel ini mengandungi keagamaan dan kasih sayang serta betapa pentingnya
menghargai keluarga serta orang-orang yang kita cintai ketika mereka masih ada.
Saya juga belajar tentang IKHLAS dalam apa jua yang kita lakukan. Apabila kita
ikhlas, maka Allah akan permudahkan urusan dan pekerjaan kita dan nota kaki cemburu oleh penulis juga mengandung kata-kata hikmah dan pengajaran untuk kita, orang dewasa untuk terus yakin pada keagungan Allah SWT.
“Mahasuci
Engkau, ya Allah, yang selalu menepati janji. Cukuplah percaya dengan janji Mu,
maka kehidupan di dunia ini akan terasa jauh lebih indah. Semua akan terasa
jauh lebih indah. Yakinlah!” – muka surat 285