Tajuk : Rahsia Empayar Melayu Sriwijaya
Penulis : Abdullah Sidek
Penerbit : The Patriots
Genre : Non-Fiction / History
Rating : ⭐⭐⭐⭐⭐
"Di Laut Champa (Laut China Selatan) adalah empayar sang Maharaja, raja seluruh kepulauan yang berkuasa atas kerajaan tanpa batas dan mempunyai pasukan tak terhitung banyaknya. Bahkan kapal yang paling terpantas tidak dapat menyelesaikan dalam masa dua tahun mengelilingi pulau-pulau yang berada di bawah pengaruhnya. Wilayah raja ini menghasilkan segala macam rempah dan aromatik dan tiada kerajaan lain (sebagaimana empayar ini) mampu mendapatkan banyak kekayaan dari bumi." - Al- Masudi.Empayar Melayu Srivijaya, nama yang dilupakan oleh umat Melayu. Rahsianya tenggelam dalam lipatan sejarah. Melaka lebih didendangkan kalau bicara tentang sejarah Melayu sehingga terlupa akan satu lagi empayar yang maha agung. Empayar yang maharajanya bermandi-manda dalam limpahan jongkong emas. Empayar luas merangkumi seluruh kepulauan. Pelabuhannya masyhur, menarik jutaan dagangan.Buku ini mengajak umat Melayu untuk kembali mengenang sejarah silam yang dilupakan. Srivijaya yang berdiri sejak abad ke-6, ada rahsia yang menanti anak cucu untuk disingkapkan. Ada perjalanan panjang dalam meneroka sejarah yang tenggelam. Ayuh, ikuti kami mengembara menyelami riwayat sebuah tamadun agung yang pernah bangsa kita dirikan dalam buku ini.
Selepas habis membaca buku terakhir,
saya terasa seperti rindu untuk membaca buku-buku fiction atau buku sejarah
ketamadunan. Maka, saya memilih RAHSIA EMPAYAR MELAYU SRIWIJAYA sebagai buku
seterusnya dalam bulan ini. Ternyata, pemilihan ini sangat tepat untuk memenuhi
kehendak hati yang RINDUkan buku-buku yang berkaitan dengan sejarah tamadun.
Perasaan seperti diberikan air sejuk ketika berada di padang pasir yang panas
dan kering.
Abdullah Sidek atau Seri Cendekiawan
adalah penulis yang selalu berkongsi fakta-fakta sejarah di media sosial.
Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Pendidikan Sejarah dan meminati
sejarah Melayu. Selain buku ini, saya juga pernah review buku dari terbitan The
Patriots juga iaitu Kisah Klasik Sejarah Melayu. Selain 2 buku ini, penulis
juga mempunyai 2 lagi buku iaitu Mencabar Teori Chola dan Perang Tamadun
Melayu. Saya suka dengan buku sejarah dari penulis ini kerana cara penulisan beliau
menggunakan bahasa yang mudah difahami dan tidak sesekali menggunakan jargon
ilmiah yang membosankan.
Berbalik tentang kerajaan Sriwijaya,
pengetahuan saya berkenaan dengan kerajaan lama ini amatlah terhad. Boleh
dikatakan, saya tidak mempunyai pengetahuan apa pun tentang Sriwijaya. Pengetahuan saya sekadar - Sriwijaya adalah sebuah empayar besar yang pernah dimiliki oleh orang Melayu
dan mereka beragama Buddha serta lokasinya yang saya kira berada di dalam
linkungan Nusantara. Melalui buku ini, saya perolehi pengetahuan dan ilmu baru
berkenaan dengan Kerajaan Sriwijaya walaupun fakta dan sumbernya agak terhad.
Buku ini juga lebih kepada persepsi dan pendapat penulis berdasarkan
bukti-bukti sejarah yang dijumpai namun ia tetap sebagai pengetahuan dan ilmu
baru untuk saya.
1.
Sejarah tentang Kerajaan Sriwijaya ini masih kabur kerana sumber sejarah
yang dijumpai amat terhad. Kerajaan Sriwijaya bermula sekitar pada 671 dan tidak
diketahui bila tahun berakhirnya kerajaan ini namun dari sumber utusan terakhir
kerajaan Sriwijaya kepada China adalah sekitar 1178M.
2.
Walaupun lokasi sebenar kerajaan
Sriwijaya belum dapat dipastikan kesahihannya, tetapi merujuk kepada
bukti-bukti sejarah dan ukuran jarak berdasarkan catatan I-Tsing. Terdapat 4
teori lokasi Sriwijaya iaitu Kelantan, Chaiya, Palembang, dan Jambi namun
pendapat popular menyebut “Palembang” sebagai lokasi Sriwijaya dan pendapat ini
juga diakui oleh penulis.
3.
Pemerintah yang pertama Kerajaan Sriwijaya ialah Dapunta Hyang Sri
Jayanasa yang memerintah dari tahun 671 sehingga 702. Teori mengatakan
Sriwijaya telah wujud sebelum Sri Jayanasa memerintah tetapi Sriwijaya hanyalah
sebuah kerajaan kecil dan tidak terkenal. Apabila Sri Jayanasa menjadi
pemerintah, beliau telah meluaskan jajahannya. Baginda berjaya mengumpulkan
seramai 20,000 orang angkatan tentera untuk menyerang negara tetangga. Di bawah
Sri Jayanasa, antara negara yang dapat ditawan ialah Malayu, Kedah Tua, Taramu,
Medang, Bangka, Segenting Kra, Tulang Bawang, Lampung dan sebagainya. Sri
Jayanasa meninggal pada 692 Masihi ketika menyerang negara Kalingga.
4.
Batu bersurat tentang Sriwijaya telah dijumpai di beberapa lokasi di
Pulau Jawa, Sumatera, Ligor, India. Tetapi batu bersurat yang paling penting
dijumpai di Palembang, Jampi, Bangka dan sekitar Indonesia. Batu-batu bersurat
tersebut ditulis dalam bahasa Melayu Kuno dan diterjemahkan oleh para
sejarawan. Kebanyakan kandungan batu bersurat berkenaan menceritakan tentang
peraturan-peraturan Sriwijaya.
5.
Serangan Rajendra Chola bukanlah punca kemusnahan Sriwijaya tetapi ia
hanya melemahkan kerajaan tersebut. Ini kerana selepas peristiwa serangan itu,
Sriwijaya masih mengutuskan utusan ke negara China pada tahun 1178M dan selepas
itu tiada lagi utusan yang dihantar. Faktor utama kerajaan Sriwijaya musnah
adalah kerana pelabuhan yang menjadi hasil utama Sriwijaya telah musnah dan
hasil kekayaan telah dirampas habis oleh Chola. Satu persatu negeri dibawah
jajahan Sriwijaya keluar dan merdeka.
Ternyata Melayu sebenarnya berasal
dari bangsa yang kuat dalam hal ketenteraan dan penaklukan, juga bijak dalam
hal pentadbiran. Bukan hanya Sriwijaya, Melayu juga pernah mempunyai beberapa
kerajaan kuat dan kaya raya seperti Melaka dan Malayu tetapi sayangnya kita seolah-olah
tidak mengiktiraf kewujudan atau kehebatan Sriwijaya kerana jarang ada
buku-buku tentang kerajaan ini, malahan ketika di sekolah juga pengajaran
tentang Sriwijaya sangatlah terhad (dalam buku teks darjah 4 juga, maklumat lokasi
juga dikatakan di Sumatera). Saya juga ada terbaca di media sosial yang
mengatakan Sriwijaya adalah Empayar bangsa India walaupun dalam buku ini, tidak
ada bukti mengatakan ada kerajaan Sriwijaya pernah atau ada yang menganut agama
Hindu.
“Jika mereka lapar di perhentian atau
dalam perjalanan, mereka akan mendapat makanan dan air untuk diminum. Hendaklah
semua lading dan kebun yang diusahakan oleh mereka jenuh (dengan hasilnya). Hendaklah
ternakan semua jenis haiwan yang dipelihara oleh mereka serta semua hamba abdi
dimiliki oleh mereka tumbuh segar. Hendaklah mereka tidak mengalami apa-apa
malapetaka atau diganggu oleh penyakit yang tidak boleh tidur.
Juga hendaklah semua rakyat taat setia
dan patuh dan juga sahabat-sahabat mereka tidak mengkhianati mereka dan
isteri-isteri mereka taat setia.” – Terjemahan Batu Bersurat Talang Tuwo
(Palembang) oleh George Coedes.