Tajuk : Hujan Panas
Penulis : A. Samad Said
Penerbit : Helmysamad Publications
Genre : Historical Fiction
Rating : ⭐⭐⭐⭐ 4.5
Hujan Pagi mengesani dan menghuraikan kekusutan jiwa seorang wartawan generasi sebelum perang yang tidak lagi memahami dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan arah dan perkembangan suasana akhbar masa kini. Segala yang berlaku sekarang menyentuh hati nurani dan pegangan hidup wartawan itu.Perkembangan baru dalam harian Sinar Pagi menyebabkan Lokman terseksa dan tergelincir ke dalam dunia halusinasinya sendiri. Menurut doktor jiwanya, Dr Ahmad Dio, penyakit Lokman akan lebih serius, jika tidak segera dibantu. Dalam mingguan halusinasinya iaitu mingguan Hujan Pagi, Lokman merasa berperanan dan dihargai. Dirasakan ada sesuatu perjuangan yang bermakna, sesuai dengan latarnya sebagai seorang nasionalis.Novel ini mempunyai unsur-unsur lagenda, sejarah, arkeologi, astronomi dan politik dalam Hujan Pagi tidak dimaksudkan hanya sebagai latar tempat dan mental manusia-manusianya atau sebagai sisipan ramuan ilmu tertentu, lebih daripada itu ia menjadi pelantar hujah dan percakapan idea tentang beberapa hal dan pendapat dulu dan sekarang.
SINOPSIS:
Lokman, seorang ketua pengarang sebuah akhbar Hujan Pagi,
warisan dari datuknya sendiri yang meninggal dalam tidur. Lokman mengharungi
pelbagai cabaran dan rintangan untuk terus menghidupkan semangat orang-orang
Melayu dalam menentang penjajahan di Tanahair melalui Hujan Pagi.
Berlatarbelakang ketika zaman 1930an, Lokman terus berazam dan tekad untuk menghidupkan
malah meluaskan perjuangannya dengan Hujan Pagi atas sokongan wartawan-wartawan
dibawah seliaannya iaitu Rahman, Ruszim, dan Basri dan semangat
dari pengatur huruf, Gazis.
Pelbagai cabaran perjuangan Hujan Pagi antaranya apabila Gazis
ditahan oleh pihak kolonis apabila penghantaran Hujan Pagi melalui keretapi
disekat malah adakalanya dibuang begitu sahaja dan tidak sampai ke destinasi.
Lokman disoal siasat tentang artikel-artikel yang mencurigakan dan adik Gazis
yang menghidap masalah mental, Jirim dalam keadaan mencurigakan memegang paku
serta kertas kosong di tangannya seperti dia telah di’kacau’ oleh sesuatu atau
seseorang tetap semuanya tidak pernah mematahkan semangat Lokman untuk kekal
berjuang malah merancang untuk meluaskan lagi pengedaran Hujan Pagi dan
perjuangannya itu disokong tanpa berbelah-bagi oleh ‘keluarga’ Hujan Pagi.
Tapi semua yang ada dan dimiliki oleh Lokman di Hujan
Pagi itu cumalah halusinasinya sahaja. Realitinya Lokman adalah wartawan akhbar
Sinar Pagi yang kecewa dengan perjalanan kerjayanya berjuang melalui pena
dakwat tapi tersekat kerana tuntutan akhbar walaupun penjajah sudah lama pergi
meninggalkan tanahair. Perjuangan sebenarnya bersama Rahman, Basri, Musir Ali
dan Mehmod Bey sebagai wartawan di Sinar Pagi. Atas kekecewaannya kerana
penekanan pihak pemerintah ke atas akhbar Sinar Pagi menyekat cita-cita Lokman
sebagai wartawan yang berjuang atas kebenaran, bukannya hanya kerana gaji
semata-mata dan dia dipinggirkan kerana kedegilannya untuk mengikut arus rentak
permintaan Sinar Pagi membawa Lokman berhalusinasi dengan dunianya bersama
akhbar dalam alam halusinasinya, Hujan
Pagi.
Sementara itu, selepas 10 tahun menghilang, Lajis kembali
semula ke kampung untuk merawat sakit Lokman, abangnya. Keadaan Lokman yang
hanyut dalam halusinasinya telah membuatkan Lajis menyesal meninggalkan kampung
tanpa khabar. Bayang-bayang kenangannya bersama Lokman ketika dia kecil hingga
berjaya melanjutkan pelajarannya ke London atas sokongan Lokman membuatkan
Lajis nekad untuk terus membantu dan memberikan rawatan terbaik untuk Lokman
agar Lokman pulih dan kembali ke alam realiti. Atas bantuan rakan-rakan seperjuangan
di kampung dan di Sinar Pagi, juga rawatan yang terbaik diberikan oleh Doktor Pakar
Psikiatri Dr. Ahmad Dio, Lokman perlahan-lahan kembali ke dunia realiti dan
keluar dari dunia halusinasi ciptaannya.
Selain konflik jiwanya akibat terlalu memikirkan masalah
abangnya dan konflik diri yang sudah sedia membelenggu Lajis selepas kematian
tunangnya Asniah, 8 tahun lalu akibat kemalangan. Lajis digambarkan seorang
arkeologi yang kacak telah memaut hati Narisah, Niram dan Norisah namun
kenangannya bersama tunangnya dulu dan komitmennya untuk memulihkan Lokman
belum mampu untuk membuatkan Lajis membuka hatinya untuk mana-mana gadis
walaupun dalam kesamaran, Lajis juga menginginkan seseorang sebagai teman
hidupnya. Akhirnya Narisah menerima kehadiran Mandir dalam hidupnya, manakala
Niram hanyut dengan perjuangan protes jalanannya dan hanya Norisah yang ada,
bergelut bersama 7 orang lagi adiknya.
REVIEW:
Hujan Pagi karya A. Samad Said diterbitkan buat pertama
kali pada tahun 1987. Novel yang mengisahkan seorang wartawan bernama Lokman
yang berjuang untuk anak bangsa melalui mata pena dan bait-bait tulisan dalam
artikel-artikelnya di akhbar ini begitu dekat dengan Pak Samad. Seolah-olah Pak
Samad meletakkan Lokman sebagai dirinya yang begitu menginginkan sebuah akhbar
sendiri yang bebas berkarya dan berjuang tanpa sekatan atau perlu di tokok
tambah demi menyedapkan rasa dan kepentingan politik pihak yang berkuasa. Dan
segala kekecewaan Lokman sama rasa dengan kekecewaan Pak Samad sebagai bekas
wartawan. Pendek kata, Hujan Pagi adalah jiwa A. Samad Said.
Watak lain dalam novel ini antaranya ialah Lajis - adik
Lokman, Asniah – tunang Lajis yang telah meninggal dunia, Gazis - Penyusun
huruf di dunia halusinasi Lokman tetapi seorang guru mengaji di dunia realiti,
Menut – Isteri Gazis, Team Hujan Pagi – Rahman, Ruseli, Arfiah, Muayah, Basri,
Zuhri dan Munif. Norisah – rakan sekerja Lokman dan teman ketika di London, Wendy
dan Shirley Gan – rakan serumah Norisah dan teman ketika menuntut di London.
Teman sekampung dan seperjuangan di alam nyata – Rahman dan Basri, Nirma – anak
Basri. Musir Ali dan Mehmod Bey – rakan wartawan Sinar Pagi yang terpaksa
tunduk dengan tuntutan dan ‘kalah’ dalam perjuangan demi sesuap nasi untuk
keluarga, Nurisah – anak Musir Ali yang mempunyai 8 adik-beradik dan Dr. Ahmad
Dio – Doktor Pakar Psikiatri. Watak-watak sampingan yang muncul sesekali dalam
helaian novel ini antaranya Mandir, Badariah, Mujib, Sharifah Mirna, Sharifah
Narsia, Hasmuddin serta Syed Narin sebagai penambah panjang dan tebal buku ini,
namun saling berkait dalam hidup Lajis dan Lokman.
Pendapat saya, buku ini berat dengan unsur sastera dan
penuh dengan falsafah. Setiap bab dalam novel ini akan menyusur ke ruang lain
dan penceritaan yang berbeza. Buku ini seolah-olah jingsaw puzzle yang menguji
kebijaksanaan dan kesabaran pembaca untuk mengaitkan setiap bab-bab tertentu
untuk disambungkan ke cerita seterusnya. Di awal buku ini, pembaca akan
tertanya-tanya dan berusaha mengingati setiap watak yang tiba-tiba ramai dan
rawak. Di pertengahan buku ini, apabila anda sudah mampu mengingati watak-watak
dan peranan setiap watak – ia menjadi menarik dan rasa ingin terus membaca.
Pada sekitar 4-5 bab terakhir, masuk pula watak-watak
baru yang menambah kebuntuan pembaca tetapi rupanya ia saling berkaitan antara
satu sama lain dan menjurus ke satu arah iaitu Lajis dan lokman. Tetapi, Pak
Samad akan membiarkan semua masalah-masalah dalam novel ini tergantung sepi
tanpa penyelesaian. Lokman semakin pulih namun apa langkah Lokman seterusnya
untuk mengelak dia dari masuk ke dunia Hujan Pagi lagi? Lajis buntu dengan
gadis-gadis pilihan dan terus-terusan membuka bait-bait kenangan bersama Asniah
dan sesekali bersama Norisah. Kemudian, menambah kebuntuan dengan persoalan
hubungannya dengan Lokman serta siapakah sebenar dirinya? Manakala Norisah
kemelut antara perasaan cintanya pada Lajis dan Mandir yang begitu sayangkan
dirinya.
Saya agak terganggu dengan watak Wendy dan segala yang
berkaitan dengan diri, dialog dan watak Wendy yang sering dikaitkan dengan
paha, bunyi pahanya dan bentuk badannya serta ideloginya berkaitan dengan
lelaki dan cinta. Watak Wendy langsung tidak sync dengan taraf pendidikannya
yang digambarkan sebagai penuntut di Universiti di London.
Hujan Pagi adalah novel yang sarat dengan ilmu sastera, falsafah,
dunia psikologi dan sejarah serta lagenda. Seperti saya katakan di atas, buku
ini memerlukan kesabaran dan keazaman untuk memahami plot setiap watak dalam
bab-bab yang berbeza. Saya mengambil masa 5 hari untuk menghabiskan buku setebal
432 muka surat. Sebuah karya paling berat dan terasa bijak seketika kerana
mampu untuk menghabiskan dan mengurai setiap bab dalam buku ini. Walaupun
‘berat’, namun ia sangat menarik kerana ia bukan novel biasa. Dan saya pasti
tidak akan menghilangkan atau menjual karya-karya agung Pak Samad yang ada
dalam ‘mini library’ saya.
“Kau harus bertanya, berhujah, bertengkar kalau perlu,”
kata Lokman, bernyala. “Apabila sesuatu itu ada hubungannya dengan tanah airmu.
Itu hak kita. Dengan berhujah, bertengkar dan berbahas kita menjadi warga
berfikir, kita menajamkan daya fikir kita, kita meniupkan kesedaran watan dalam
diri kita. Dengan begitu … dengan begitu kita dapat dan meniupkan kesedaran
kebangsaan yang tulen ke dalam diri setiap manusia Melayu.” – Lokman, (muka
surat 23).