Tajuk : Gila Balak: Menelusur Jejak-jejak Mafia Kayu Balak Asia
Penulis : Lukas Straumann (Terjemahan oleh Dian Saleh)
Penerbit : SIRD
Genre : Non-Fiction
Rating : ⭐⭐⭐⭐⭐
Gila Balak menyiasat apa yang telah disebut oleh Gordon Brown sebagai jenayah alam sekitar terbesar masa kini: kerosakan hutan hujan secara besar-besaran oleh pembalak-pembalak Malaysia. Sejarahwan dan aktivis, Lukas Straumann bukan sahaja mencari semula hutan hujan yang telah hilang dan orang-orang yang pernah suatu ketika dahulunya tinggal menetap di situ, malah beliau juga menelusur setiap jaringan penjenayah yang telah mengaut keuntungan ribuan juta melalui rasuah dan jualan kayu balak haram.Straumann telah menamakan Abdul Taib Mahmud, Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai kepala mafia kayu balak Asia. Pada masa yang sama, Straumann juga menunjukkan betapa keluarga Taib dengan bantuan rakan subahat utama iaitu institusi-institusi kewangan telah berjaya meraih laba keuntungan sebanyak USD 15 ribu juta. Gila Balak ialah kisah sekelompok masyarakat yang kehilangan warisan syurgaloka turun-temurun yang telah digalang ganti dengan ladang-ladang kelapa sawit, pencemaran dan rasuah. Dan kini, mereka berjuang menuntut kembali kehilangan itu.
Buku Gila Balak ini ditulis oleh Lukas Straumann, penulis
yang berasal dari Switzerland yang juga Executive Director, Bruno Manser Fond
iaitu sebuah badan NGO yang ditubuhkan oleh Bruno Manser bagi membantu orang-orang Penan di Sarawak dalam mempertahankan hutan dan rumah mereka dari golongan GILA
BALAK. Buku terbitan SIRD ini mendedahkan tentang pembalakan yang berleluasa di
Bumi Kenyalang sehingga merosakkan hutan hujan secara besar-besaran dan mengaut
keuntungan berjuta-juta RM yang masuk ke dalam poket-poket individu-individu
yang berkuasa di Malaysia.
Buku ini mempunyai 10 bab yang disusun dengan baik, dimulai oleh dengan bekas
Ketua Menteri Sarawak yang mempunyai harta yang sangat banyak di dalam dan luar
negara. Seorang pembocor maklumat yang pernah bekerja dengan beliau telah
mendedahkan segala aktiviti beserta dokumen-dokumen sulit kepada pihak penulis
tentang perniagaan dan bangunan-bangunan milik beliau di luar negara. Di akhir bab, penulis memaklumkan pembocor
maklumat itu dijumpai mati di bilik hotel dipercayai membunuh diri akibat
tekanan.
Kemudian disusuli dengan pengenalan tentang kelompok
nomad di dalam hutan Borneo iaitu penduduk asal hutan di Sarawak iaitu
orang-orang Penan. Pengenalan tentang orang-orang Penan, kegiatan mereka dan
suka duka kehidupan mereka di dalam hutan yang semakin terhakis dek kerana
kegiatan pembalakan. Selain itu, buku ini juga menerangkan tentang sejarah politik di Sarawak
bermula dengan kedatangan James Brooke sehinggalah ketika bekas Menteri Besar
Sarawak Taib Mahmud mengepalai negeri Bumi Kenyalang ini. Segala kekayaan dan
kerakusan beliau dan konco-konconya telah dibongkar di dalam buku ini berserta nama-nama orang-orang penting yang bersama dan melindungi beliau.
Bagaimana seorang individu mempengaruhi ramai orang-orang penting di negara ini
dan negara luar untuk bersama-sama dengannya dalam misi GILA BALAK. Bagaimana
mereka tergamak merosakkan ekosistem paling
berharga di bumi Malaysia ini. Rata-rata rakyat di Sarawak masih ketinggalan
dan hidup miskin tetapi bagaimana seorang ketua di sana kaya raya dengan
mengambil hak rakyat Sarawak sehingga semua ahli keluarga memiliki ber ribu
juta RM harta dan tidak mempedulikan langsung tentang nasib dan masa depan
rakyat di sana. Bukan sahaja orang-orang Penan yang menghadapi dilema ini, termasuk juga kaum-kaum asal yang menetap di dalam hutan di Sarawak juga terbabit bersama menderita akibat isu pembalakan.
Dalam buku ini juga mendedahkan beberapa orang penting
yang giat berkempen menolak serta mengecam pembalakan yang berleluasa telah
ditangkap serta disoal siasat malah ada juga yang hilang samada dijumpai
dalam keadaan sudah tidak bernyawa atau hilang terus dari radar tanpa dapat
dikesan jejaknya. Bruno Manser adalah salah seorang aktivis yang datang ke Sarawak
untuk menjalani kehidupan nomad bersama orang-orang Penan setelah terbaca
tentang orang nomad yang baik di dalam sebuah buku di perpustakaan Switzerland.
Bruno meninggalkan kehidupannya untuk merasai pengalaman baru tinggal bersama orang-orang Penan sehingga digelar Laki Penan namun malangnya
syurgaloka yang dikatakan di dalam buku telah hilang sedikit demi sedikit
akibat pembalakan. Bruno yang memahami kepiluan kelompok Penan telah
bersama-sama berganding bahu dan bangkit melawan syarikat-syarikat pembalakan
namun akhirnya kerajaan Sarawak telah mengisytiharkan Bruno Manser sebagai PALING
DIKEHENDAKI dan melarang beliau dari masuk ke negeri Sarawak. Namun kali
terakhir Bruno telah datang ke Sarawak secara senyap-senyap pada tahun 2005 dan
hilang jejak tanpa khabar sehingga hari ini. Suratan atau kebetulan?
Menjelang PRU yang akan tiba sikit masa lagi, saya mengesyorkan anda membaca buku ini
untuk menambah pengetahuan tentang kegiatan balak yang telah merosakkan ekosistem serta tentang bumi SARAWAK yang sudah tidak lagi hijau. Ia membuka mata saya tentang betapa rakusnya manusia demi
harta di dunia sehingga hilang kewarasan dan pertimbangan. Dan membuka minda saya betapa teruknya pembalakan yang dilakukan tanpa perancangan bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di negeri-negeri lain contohnya Pahang dan Kelantan sehingga UNESCO pengumumkan akan menarik pengikhtirafan mereka kepada Tasik Chini. Tidak mampu diungkapkan betapa dasyatnya kegiatan ini namun itu adalah realiti.
Syabas juga kepada
penulis dan penterjemah buku ini atas penulisan yang langsung tidak membosankan dan penuh
dengan fakta serta penulisan yang kemas dan mudah untuk dibaca serta memberi ilmu baru kepada saya.
“Perubahan yang pesat menyaksikan Sarawak yang dahulunya
kaya dengan kehijauan alam bertukar menjadi ‘bumi tandus nan hijau’ dengan
terbentangnya lading-ladang kelapa sawit serta kawasan-kawasan takungan air
yang bukan sahaja mengancam kemusnahan kepelbagaian bionya yang unik, bahkan
juga merampas sumber alam semula jadi daripada masyarakat Orang Asal yang
sememangnya berhak ke atasnya. Hutan-hutan yang boleh dicapai oleh sesiapa
sahaja ini merupakan ‘modal buat orang-orang miskin’ yang kini semakin lama
semakin lenyap akibat daripada projek-projek pembangunan perladangan kelapa
sawit dan projek tenaga di bawah kawalan segelintir jutawan kayu balak dan juga
sekelompok ahli-ahli politik atasan.”