Followers

Saturday, 12 March 2022

Dunia Tanpa Tembok III

Tajuk : Dunia Tanpa Tembok III
Penulis : Ayman Rashdan Wong
Penerbit : The Patriots


30 tahun telah berlalu sejak runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989 yang menamatkan Perang Dingin. Optimisme tentang masa depan dunia yang lebih terbuka, tanpa sempadan, saling terhubung kini diganti oleh pesimisme yang melihat dunia semakin dekat dengan kehancuran akibat persaingan kuasa-kuasa besar, kenaikan pemimpin populis dan kemunculan ultranasionalisme.
Tidak kira betapa majunya teknologi, atau betapa berevolusinya tamadun, hubungan antarabangsa tidak akan lari daripada hukum-hukum berikut:

“Musuh kepada musuh adalah kawan”

“Tiada musuh atau kawan yang kekal”

“Geografi adalah takdir”

Berpandukan tiga kunci ilmu geopolitik – KUASA, GEOGRAFI dan IDENTITI – buku ini akan membimbing pembaca memahami asbab musabab di sebalik konflik dan kerjasama antara negara.

 
 
Dunia Tanpa Tembok III adalah sambungan dari DTT II tapi lebih update dari perkembangan terbaru. Dalam DTT III kali ni masih lagi berpandukan tiga elemen geopolitik iaitu kuasa, geografi dan identiti tetapi kali ni ARW pecahkan setiap negara dalam setiap bab. Terdapat 50 bab dalam buku ini dan 42 bab adalah berkenaan dengan negara-negara dalam peta dunia. Dalam buku ni juga ada penambahan istilah baharu dalam politik iaitu Astropolitics, Cyberpolitics, Hate Politics dan Ecopolitics. Boleh baca DTT III untuk mengetahui apakah makna disebalik istilah-istilah baru politik ini. Sama seperti penulisan ARW sebelum ini, buku ini juga diterangkan dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami tetapi jika anda sudah baca DTT II, pasti anda akan sedar tentang pengulangan DTT II dalam DTT III tapi ia bukanlah satu isu cuma saya sarankan jika anda tidak bercadang untuk jadikan DTT sebagai koleksi, memadai jika and abaca DTT dan terus ke DTT III tanpa perlu membaca DTT II. Tetapi jika and abaca DTT II, anda akan lebih sangat memahami isi kandungan DTT III.
 
1.  Seperti yang kita sedia maklum, AS – China – Rusia adalah tiga kuasa besar. Tetapi negara-negara Asia Tenggara  seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand, Myanmar, Laos, Vietnam dan Cambodia bergabung dan menjadi inklusif. Cuma diterangkan bahawa China adalah satu-satunya ancaman nyata kepada negara-negara Asia Tenggara berikutan tuntutan China ke atas Laut China Selatan namun ASEAN tidak mampu berdiri bersama untuk mengancam China kerana geopolitik.
2.  Secara kasar, orang Afrika boleh dikategorikan mengikut kelompok etnolinguitik yang lebih besar termasuk Arab tetapi sempadan dipecahkan oleh penjajah Eropah tanpa mengambil kira perbezaan etnik dan identiti. Ia adalah penyebab perang saudara selalu berlaku dalam zon Timur Tengah dan juga Afrika. Selepas penjajah keluar, negara-negara ini bergelut untuk hidup dan membawa kepada perang saudara dan konflik dalaman. Namun begitu, Afrika kini sudah banyak berubah dan ke arah perkembangan positif contohnya seperti Ethiopia yang pernah mengalami perang saudara tapi kini sudah keluar dari bayangan gelap dan menuju kemajuan ekonomi yang pesat.
3. Apabila masuk bab Timur Tengah, pasti akan membayangkan sebuah rantau yang sentiasa huru-hara dan tak pernah aman. Malah, 5 daripada 7 konflik yang banyak mengorbankan nyawa berlaku di negara Timur Tenggara. Selepas kejatuhan Turki Uthmaniyah selepas WW1, Timur Tengah bergelut dengan kekacauan akibat geopolitik. Ingat nama Sharif Husayn, ingat akan peristiwa sumbangannya membantu UK untuk merampas Palestin, Syria dan Madinah dari Uthmaniyah. Impian Sharif adalah untuk menjadi Khalifah tetapi Sharif telah kena ‘game’. Rupa-rupanya UK dan Perancis telah memeterai Perjanjian Sykes-Picot untuk membahagi-bahagikan kawasan sesama mereka. Negara-negara Arab ni luaran Nampak macam nak support Palestin tapi sebenarnya mereka ada kepentingan masing-masing dan tidak pun melawan sehingga titisan darah yang terakhir.  Panjang kalau nak huraikan tentang Timur Tengah ni. Bacalah DTT – DTT III untuk lebih pemahaman
4. Pada tahun 1997, Hong Kong telah diserahkan semula kepada China selepas diperintah selama 150 tahun oleh UK namun ia masih sebuah wilayah pentadbiran khas yang mempunyai undang-undang, matawang dan kebebasan sendiri. Penjajahan selama 150 tahun ke  atas HK telah membentuk sifat superiority orang HK.  Mereka rasa, mereka lebih bagus dari orang China. Manakala persoalan tentang Taiwan pula, adakah Taiwan ini sebuah negara atau sebahagian dari China? Taiwan ialah sama seperti HK yang dulu sebelum diserahkan semula kepada China TETAPI Taiwan masih sebahagian dari China. Pening? Kena baca bab 34 – Taiwan.
5.  Adakah anda ingat tentang jenama Huawei yang telah di banned oleh Trump kerana bimbang risiko pengintipan siber oleh Huawei? ARW ada ulasannya dalam bab Cyberpolitics.  Manakala penembakan di Christchurch, New Zeland oleh seorang pengikut Neo-Nazi, Brenton Tarrant juga ada diulas dalam DTT III dalam bab Hate Politics.
 
Ingin saya membuat kesimpulan tentang Malaysia berdasarkan bacaan saya dari DTT – DTT III ini, Malaysia mempunyai lokasi geografi strategik yang boleh dikatakan sebagai kurniaan dan takdir yang baik, tetapi Malaysia perlu lagi meningkatkan keselamatan, kedaulatan dan kemakmuran negara ini selain meneruskan hubungan diplomasi dan memilih sikap berkecuali dalam isu-isu antarabangsa yang tiada kaitan dengan Malaysia. Tetapi, Malaysia juga perlu berusah mengukuhkan ekonomi negara supaya tidak tertinggal jauh dari negara Jiran kita iaitu Indonesia yang bakal menduduki tangga ke-4 kuasa besar.
 
 
“Dari AS, Rusia, China, Turki hingga Jepun, semua negara utama pada hari ini sedang berusaha untuk kembali kepada identiti asal mereka; AS dengan ‘MAKE AMERICA GREAT AGAIN’; Rusia dengan ‘SLAV-ORTODOKS’; Turki dengan roh Islamnya; Indonesia dengan neo-Majapahit. Oleh itu, kita pun sepatutnya mencari balik asal usul kita yang tenggelam dalam sejarah untuk diketengahkan sebagai identiti dalam dunia” – Bab 46, Malaysia (muka surat 336)

Tuesday, 8 March 2022

Book Review - Dunia Tanpa Tembok II

Tajuk : Dunia Tanpa Tembok II
Penulis : Ayman Rashdan Wong
Penerbit : Patriots Publications


Dunia sedang mengalami perubahan besar yang dikenali sebagai keruntuhan orde antarabangsa liberal. Kewibawaan sistem antarabangsa yang dibina oleh Amerika Syarikat sejak tahun 1945 berdasarkan demokrasi liberal, ekonomi pasaran, dan hak asasi manusia kini menerima cabaran hebat menerusi kebangkitan pemimpin-pemimpin ‘strongman’, dasar perlindungan ekonomi, dan semangat populisme-nasionalisme.
Dengan menggunakan tiga kunci ilmu geopolitik iaitu KUASA, GEOGRAFI dan IDENTITI, buku ini akan merungkai persoalan-persoalan besar seputar situasi hubungan antarabangsa kini.


Seperti DTT yang sebelum ini, buku ini juga saya baca buat kali kedua untuk lebih pemahaman. Oleh kerana kali ini saya telah khatam buku tentang Kesatuan Soviet dan Nazi Di hujung Jari, maka saya lebih mudah untuk memahami kandungan DTT II untuk bacaan kali kedua ini. Buku DTT II ini lebih luas dan teliti menerangkan tentang geopolitik dan isu orde dunia dalam 50 bab ringkas.

Jika anda seorang yang mengikuti hal ehwal isu semasa dunia adalah tidak lengkap sekiranya hanya mengikutinya melalui berita-berita di media massa. Buku ini dapat memberikan rumusan dan jawapan untuk segala persoalan tentang apa yang telah dan sedang berlaku di luar dari peta Malaysia. Selain dari itu, buku DTT II dan terbitan The Patriots secara umumnya lebih mudah difahami kerana tidak menggunakan bahasa dan ayat level tinggi dan jargon yang sukar untuk difahami oleh orang biasa.
Ulasan tentang isi kandungan DTT II:-
1. Buku kedua ini lebih banyak bercerita tentang Trump (US) dan China serta hubungan-hubungan dua kuasa besar ini dengan negara-negara lain yang sama ada menjadi sekutu atau seteru. Tindakan-tindakan yang diambil oleh negara-negara yang memilih untuk memihak atau seteru dengan AS atau China adalah lebih kepada tentang isu keselamatan negara. Trump masih mempertahankan kedudukan AS sebagai hegemoni, cuma dengan pendekatan yang berbeza. Trump melihat China sebagai mudarat besar yang perlu ditangani terlebih dahulu kerana China mempunyai kuasa ekonomi yang kuat berbanding dengan Rusia yang masih jauh.
2. Geografi adalah takdir tetapi bagaimana sesebuah negara menggunakan ‘takdir’ untuk mengubah nasib dan hala tuju negara. Secara tidak langsung, AYW membantu kita lebih memahami tentang kepentingan hubungan diplomasi antarabangsa di antara negara kita dan negara-negara lain. Negara juga perlu mengenal pasti negara mana yang memberi ancaman dan selalunya negara jiran yang lebih memberi ancaman berbanding negara jiran di laut kerana bentuk geografinya.
3. Ukraine amat penting kepada Rusia kerana ia memegang jalan keluar Rusia ke Laut Hitam iaitu terletaknya pengkalan tentera laut Rusia di semenanjung Crimea. Pada tahun 2014 Rusia telah mengadakan referendum dan keputusannya menunjukkan majoriti penduduk Crimea mahu merdeka dari Ukraine dan menyertai Rusia memandangkan majority penduduk Crimea sendiri adalah etnik Rusia. Media massa pula suka membandingkan Putin dan Hitler dan mengatakan Putin mempunyai persamaan dengan Hitler.
4. Jika kita sebut Timur Tengah, pasti terbayangkan negara-negara ISLAM. Tahukah anda, negara-negara Timur Tengah pada hari ini adalah ciptaan Barat. Pada waktu Perang Dunia Pertama, kuasa-kuasa Barat bersaing sesama sendiri untuk menguasai Timur Tengah kerana kedudukan Timur Tengah cukup strategik. Negara Saudi adalah antara negara pengeluar Petroleum yang terbesar di dunia dan menjadi punca kerjasama rapat antara AS dan Saudi sejak 1945. Jika bukan kerana minyak, Saudi tidak mempunyai apa-apa nilai kepada AS.
5. Antara isu dan penerangan menarik dalam DTT II ialah tentang isu Israel – Palestine dan perang saudara Korea dan sejarahnya. Sangat menarik untuk kita selami permasalahan yang berlaku hampir 100 tahun dan masih tiada jalan penyelesaian untuk Israel – Palestin. Malah, penyatuan Korea juga masih jauh dan keinginan untuk bersatu juga semakin lama semakin kurang memandangkan generasi kini tidak mempunyai memori Perang Korea. Bagi mereka, Korea Utara ialah sebuah negara asing dan bimbang penyatuan dengan Korea Utara akan memberi kesan kepada ekonomi Korea Selatan dan menjejaskan peluang pekerjaan yang sudah pun semakin berkurangan.
 

AYW sekali lagi membuka mata untuk kita memahami bagaimana geopolitik mempengaruhi hubungan antarabangsa. Sejarah sering berulang-ulang cuma bagaimana kita sedar dan tahu akibatnya jika pemimpin negara tersilap langkah seperti yang terjadi antara Rusia dan Ukraine kini.  Walaupun buku ini tentang kejadian tahun 2018, tapi ia tidak bermakna buku ini tidak relevan selepas tahun 2018. Ia mampu menjadi sumber rujukan untuk isu semasa yang terjadi hari ini melalui sejarah yang lepas-lepas.
 
 
“Syria yang suatu ketika dahulu dilihat sebagai ‘syurga’ di dunia Arab berubah menjadi neraka selepas salah urus konflik. Dalam dunia hari ini yang serba berhubung, tiada tempat di atas muka bumi ini yang betul-betul bebas daripada sebarang ancaman. Siapa sangka tindakan seorang marhaen membakar diri boleh mencetuskan revolusi di sebuah negara terpencil di Afrika Utara, lalu ia merebak ke Syria dan seterusnya memberi impak kepada politik di Eropah dan Amerika?” - Prakata

Friday, 4 March 2022

Book Review - Kopilosofi

Tajuk : Kopilosofi
Diselenggarakan : Kiridaren Jayakumar & Shamsul Amin
Penerbit : Biblio Lit


20 Kisah 20 Rasa
Dibru penuh sayang dan cinta
Untuk sesetengah orang, kopi bukan kopi semata-mata minuman kegemaran. Kopi barangkali menyimpan cerita; tentang keluarga, tentang kepayahan atau mungkin juga cinta yang tidak kesampaian. Boleh jadi juga kopi secawan mengingatkan kita kepada sesuatu perjalanan, kepahitan hidup yang sukar ditelan, atau juga mengajarkan kita falsafah yang kemas tersimpan.
 

Buku ini adalah untuk bacaan santai dan ringan sahaja tapi jaga-jaga tau. Nanti anda akan tercari-cari kopi sebab 20 kisah dan cerita dalam buku ni adalah tentang KOPI. Ada kopi cappuccino, ada kopi hazelnut, kopi Cap Kapal Api, kopi Mocha dan yang paling mengamit kenangan, KOPI HITAM BANCUHAN MAK! Dalam masa sehari sahaja membaca buku ini, saya telah minum secawan kopi Aik Cheong, Setin Nescafe Kopi Mocha dan membancuh secawan kopi Nescafe Hazelnut 3 in 1. Nasib baik kopi tidak mampu mengganggu tidur malam saya.
 
Setiap orang mungkin ada kenangan dengan kopi. Kopi sememangnya mampu membuatkan seseorang teringat akan kisah lama kerana kopi sangat sinonim dalam hidup kita. Aroma kopi hitam biasanya mengingatkan kita kepada kenangan lama bersama orang tua di kampong halaman, Kopi 3 in 1 pula adalah peneman kita waktu kita terpaksa bersengkang mata menelaah pelajaran tatkala peperiksaan bakal tiba. Kopi di café-café hipster mengimbau janji setia dan kenangan indah waktu bercinta dengan pasangan atau mungkin bekas kekasih yang telah menghilang tanpa khabar berita. Benar, kopi bukanlah dinilai dari berapa mahal harga bijiran kopi itu atau betapa hipster nya kopi itu tetapi daripada memori yang telah dicipta ketika menikmatinya. Semua kenangan itu ada dalam 20 kisah ringkas dari 20 orang penulis dalam kopilosofi ini dengan pelbagai jalan cerita dan rasa.
 
 
“Andai kata takdir menentukan untuk kita punya satu peluang untuk berbicara bersemuka, aku cuma punya satu soalan yang mahu kuajukan kepada kamu. Bukan untuk mencari ruang damai, bukan pula mahu membina jambatan dari arang dan abu. Tidak sekali-kali juga untuk histeria melolong mahu membuktikan bahawa aku bukan kopi picisan yang boleh kau perlekehkan. Aku sekadar ingin tahu – pernah atau tidak, biar sekali atau biar cuma sesaat, sewaktu hubungan kita masih baik-baik, kamu terkenangkan aku dalam hirupan kopimu?” – Bab: Kamu Yang Pernah Ku Kenang Dalam Setiap Hirupan Kopi (muka surat 167)

Wednesday, 2 March 2022

Book Review - Dunia Tanpa Tembok

Tajuk : Dunia Tanpa Tembok
Penulis : Ayman Rashdan Wong
Penerbit : Patriots Publishing

Ilmu adalah kuasa.
Bahasa adalah simbolik.
Geografi adalah takdir.

Ketiga-tiga ungkapan ini adalah faktor yang boleh meruntuhkan tembok perbezaan manusia di dunia dalam mencapai kata sepakat dan kefahaman antara satu sama lain.

Ilmu tentang geopolitik antarabangsa pula adalah kunci untuk kelangsungan hidup negara dan bangsa, dan ilmu yang diperolehi harus berdasarkan prinsip-prinsip Realisme, Diplomasi dan Patriotisme.


Ini kali kedua saya membaca buku ini. Memandangkan sekarang hangat tentang isu Rusia – Ukraine dan ramai suggest untuk baca buku ini untuk lebih memahami isu berkaitan dengan Rusia – Ukraine, maka saya kembali mencapai buku ini untuk dibaca semula. Bukan tidak faham atau tidak tahu tentang isu dua negara itu tetapi saya ingin membaca semua penulisan ARW dalam buku DTT yang ditulis dan diterbitkan sekitar tahun 2018 ini dan ingin memahami isu ini berdasarkan kefahaman ARW 4 tahun lalu, sebelum perang ini meletus.
Kenapa DTT? Kerana ARW menulis dengan menggunakan bahasa ringkas dan mudah difahami. Buku ini ditulis dengan cara santai dan ringkas walaupun isinya tentang geopolitik dunia. Buku ini juga sesuai untuk beginner yang baru nak mahu belajar tentang isu politik dunia, tentang kuasa-kuasa besar dunia.

Dibawah ni adalah ringkasan tentang buku ini:-
1. ARW menulis buku ini berdasarkan fakta bukan kecenderungan atau emosi. Kebanyakan kalau kita baca sesuatu maklumat tentang politik dalam dan luar negara, penulis akan cenderung untuk menulis dengan emosi dan bias. Maka kita tidak akan dapat kebenaran dan fakta sesuatu kejadian.
2. Geopolitik adalah ilmu berkenaan dengan Geografi + kekuatan negara. Buku ini ada menerangkan bagaimana kedudukan geografi sesebuah negara itu dapat mempengaruhi sistem politik dan hubungan-hubungan antarabangsa. Dukacitanya, umat Islam berada di kawasan geopolitik yang menjadi kepentingan kuasa-kuasa besar kerana keadaan geografinya.
3. Buku ini juga menerangkan tentang logik tentang tindakan-tindakan ‘gila’ pemimpin dunia seperti Trump, Kim Jong Un, dan Erdogan. Kenapa mereka kelihatan ‘gila’ di mata pihak media? Apakah mereka benar-benar gila? Juga menerangkan tentang perpecahan Korea menjadi Korea Utara dan Korea Selatan dan bagaimana tercetusnya perang saudara antara mereka. ARW juga mengupas tentang kejayaan Korea Selatan dalam industri hiburan dan bagaimana industry ini mampu menjadikan sesebuah negara ‘berjaya’ seperti Jepun yang pernah meletup dengan industry hiburan mereka satu ketika dulu?
4.  Menerusi IP Man 1 - 4 China mengambarkan yang British dan Jepun adalah jahat kerana dalam memori orang-orang cina, ada tempat khas untuk British dan Jepun yang akan mereka kenang sampai bila-bila. Itulah cara China 'menghargai' sejarah penaklukan British dan Jepun dulu. Namun, China menonjolkan ketinggian moral orang China iaitu membalas kejahatan dengan kebaikan melalui dialog-dialog dan watak IP Man dalam filem tersebut antaranya dialog IP Man sebelum naik ke pentas ketika perlawanan antara IP Man dan Miura, jeneral Jepun "Beza antara orang Cina dengan orang Jepun ialah orang Cina tidak sesekali menggunakan kekerasan untuk menindas orang lain" dan juga dalam IP Man 2, kata-kata Master Hung berbunyi "Jangan biarkan 'hantu' (merujuk kepada orang British) memandang rendah terhadap kami". Sekali lagi IP Man tidak membunuh lawannya, iaitu Twister (peninju British) walaupun Twister telah membunuh dan menghina masyarakat China ketika sidang media.
5. DTT juga mengupas tentang isu konflik Syria, Yaman, Rohingya dan bagaimana terjadinya perang 6 hari Israel ke atas Palestin secara ringkas tapi lengkap dan padat. Jelas-jelas kelemahan kepimpinan umat Islam waktu itu yang merendah-rendahkan kekuatan musuh dan hidup dalam ilusi. US juga berjaya memperdaya Pak Arab dengan Petrodollar iaitu sistem pembiayaan jual-beli petroleum HANYA menggunakan USD. Kesannya ke atas dunia islam ialah Pak Arab telah memperkayakan kapitalis antarabangsa terutamanya banker antarabangsa iaitu golongan YAHUDI ZIONIS. Ironinya bukan orang Islam yang mencabar sistem RIBA tapi CHINA dan RUSIA telah memeterai pelbagai perjanjian untuk membuang USD dalam transaksi antara mereka sebab CHINA dan RUSIA nak cabar hegemoni US. (US dan Yahudi tak takut bom, mereka takut apabila orang mencabar sistem mereka dengan membuang USD)

Buku ini adalah permulaan yang baik untuk memahami geopolitik dan isu-isu semasa dunia. Adakah Malaysia berada di landasan yang betul? Malaysia mengamalkan sistem diplomasi semenjak Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia dan ini adalah kekuatan MALAYSIA. Malaysia kekal aman makmur selama lebih dari 60 tahun kerana mempunyai diplomat, pakar ketenteraan dan perisikan yang berkaliber dan dedikasi. Namun adakah keadaan ini akan kekal sampai 40 tahun lagi? Soal selidik ke atas 685,000 belia pada tahun 2018 menunjukkan hanya 7% yang melihat dasar luar sebagai aspirasi. Sangat sedikit orang yang minat dengan hubungan antarangsa dan dasar luar kerana menganggap ia tidak memberi kesan kepada poket masing-masing. Pada dasarnya ekonomi tidak dapat dipisahkan daripada keselamatan dan hubungan luar negara. Sudah sampai masanya kita fikirkan halatuju Malaysia sama ada mahu kekal menjadi sebuah negara kecil atau kuasa menengah atau kuasa serantau dan meletakkan MALAYSIA dalam peta dunia sebagai pemain diplomasi yang disegani.
 

“Dunia politik adalah dunia bantu diri (self-help). Jangan salahkan orang lain kalau kita menjadi loser. Apabila Raja Muhammad XII menangisi kejatuhan kerajaan Granada, ibunya menegur; “Jangan menangis seperti seorang wanita untuk apa yang kamu tidak dapat membela sebagai seorang lelaki.”. Ya, Fortuna tidak sesekali mengasihi pemimpin yang lemah." – bab: Machiavellianisme (muka surat 173).

Tuesday, 1 March 2022

Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2022 di Pasar Seni KL

Hiiiiiiiiii....

Sabtu lepas saya telah mengunjungi Pesta Buku - Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2022 KLAB22 yang bertempat di Pasar Seni Kuala Lumpur. KLAB22 ni adalah alternatif kepada Pesta Buku Kuala Lumpur yang sepatutnya diadakan di PWTC pada tarikh yang sama tetapi ditunda kerana PWTC masih digunakan untuk program vaksinasi. Oleh itu, para penerbit buku berganding bahu mencari alternatif lain untuk merealisasikan pesta buku ini atas permintaan ramai para pencinta buku.


Sebanyak 54 reruai (booth) telah menyertai KLAB kali ni antaranya ialah Jejak Tarbiah, FIXI, The Patriots, Biblophile, Toko Sue, IMAN Publications, Whitecoat, Lejen Press, dan ramai lagi. Rambang mata nak pilih buku untuk dibawa pulang. Jika ada duit yang banyak, sambar saja semua yang menarik.

Sebelum tu saya nak ulas tentang lokasi KLAB kali ni. Saya sangat bersetuju jika akan datang, Pasar Seni akan menjadi lokasi wajib KLAB kerana lokasinya berhampiran dengan pengangkutan awam LRT dan bas, malah jika menaiki kenderaan sendiri pun anda ada pilihan sama ada parking di depan Pasar Seni atau dalam bangunan Dayabumi. Tetapi awas dengan kadar parking yang agak mahal. Saya perlu bayar RM14 untuk parking dalam Dayabumi. Tapi tidak mengapa, parking ditempat selamat dan ada guard yang jaga lebih 'murah' dari parking merata.
Bukan sekadar parking, Pasar Seni adalah tempat nostalgia saya ketika menuntut di Shah alam kerana inilah 'port' saya dan rakan-rakan mengalas perut sebelum atau selepas menaiki bas untuk ke destinasi seterusnya (ketika balik dari kampus atau mahu pulang ke kampus). Rindu moment tu tapi tak mahu repeat. Saya seorang yang suka look forward dan appreciate apa yang ada dihadapan saya... 😄



Disini saya kongsikan beberapa keping gambar ketika KLAB22







Sesuatu yang tidak dirancang adalah, apabila saya berkesempatan bertemu Saudara Ayman Rashdan Wong (ARW) penulis Dunia Tanpa Tembok I, II & III dan Politik Untuk Pemula yang sedang melayan para peminat di atas stage. Tetapi saya tidak membawa sebuah pun buku tulisan ARW (walhal saya sedang ulang baca DTT) jadi tidaklah dapat saya beratur untuk mendapatkan tandatangan atau bergambar. Lagipun masa tu saya sudah berjanji untuk melawat rakan saya di reruai Whitescoat.


Ketika saya singah di reruai bibliophile dan membeli 2 buah buku, empunya Bibliophile iaitu Saudara Kiridaren Jayakumar mengatakan yang beliau kenal saya kerana selalu membeli buku-buku dari Bibliophile dan saya katakan saya juga pengikut beliau dan Bibliophile di Twitter dan Instagram. Begitu sekali banyaknya buku-buku yang saya beli hingga empunya kedai buku pun sudah hafal nama saya 😂. Teruskan terbitkan buku yang bagus-bagus terutamanya buku terjemahan. Saya akan terus membeli.

Saya menghabiskan kira-kira 3 jam di sana kerana hujan dan terpaksa menunggu lama di food court sambil mengopi bersama teman tersayang dan kemudian terserempak dengan sahabat karib yang comel dan riuhlah food court dengan suara kami berdua begitu meriah memecah suasana yang dah sedia meriah 😂.
Alhamdulillah berjaya dapatkan 5 buah buku di KLAB22 dan walaupun saya masih ada beberapa senarai buku yang saya letakkan dalam wishlist tetapi tak beli kerana belum berkemampuan.


Penganjur KLAB22 kali ini telah maklumkan di Twitter beliau bahawa seramai 24,016 pengunjung telah mengunjungi KLAB22 yang bermula pada 24 - 27 Februari 👏

Terima kasih KLAB22. Semoga dapat join lagi KLAB yang akan datang. Terfikir untuk join sebagai part time seller di sana untuk KLAB atau apa sahaja pesta buku yang akan datang kerana minat saya dengan buku. Mana lah tau kan, hobi boleh menjana sedikit pendapatan. 


Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...