Followers

Monday, 20 June 2022

Ulasan Buku - Gelagat & Ragam Orang Melayu

Tajuk : Gelagat & Ragam Orang Melayu
Penulis : Frank Swettenham (Terjemahan oleh Ahmad Zamani Ishak & Norziati Rosman)
Penerbit : IBDE
Genre : Non-Fiction


Frank Swettenham antara watak penting ketika Perjanjian Pangkor pada tahun 1874. Dua dekad berlalu, setelah menyandang beberapa jawatan dan kelana di Tanah Melayu antara P. Pinang, Perak dan Selangor, duta penjajah ini menerbitkan ceritanya. Latah, liat bayar hutang, darjat keturunan, setia cinta dan di sisi lain amuk, perkelahian dan pembalasan dendam – beginikah lakaran suasana Tanah Melayu di mata orang putih? Semua orang berhak tahu bagaimana penjajah membicarakan manusia yang didakwanya terlempar jauh dari “peradaban” dan “ketamadunan”.
 
 
Sir Frank Swettenham merupakan Residen Jeneral Pertama Negeri-negeri Melayu Bersekutu dari tahun 1896 hingga 1901. Buku ini ditulis dengan tajuk asal Malay Sketches pada tahun 1895 dan merupakan catatan peribadi beliau tentang pemerhatian suasana Tanah Melayu dan gelagat orang Melayu. Terdapat 22 bab anekdot dan kisah berkisar tentang kehidupan bangsawan, gaya hidup orang Melayu tempatan, budaya, sosiobudaya serta kisah-kisah tahayul orang Melayu dulu-dulu dari sudut pandangan Sir Frank Swettenham. Melalui buku ini juga, Sir Frank Swettenham mengambarkan Tanah Melayu sebagai sebuah tempat yang dilimpahi kekayaan semula jadi yang terdampar jauh dari peradaban manusia.
 
Berikut adalah beberapa petikan menarik tentang Tanah Melayu dan orang Melayu melalui kaca mata Sir Frank Swettenham:-
 
1. Sir Frank Swettenham mengambarkan sifat orang Melayu sebagai berani dan boleh dipercayai. Orang Melayu juga pandai berjenaka dan mesra serta suka bergurau senda. Selain itu, orang Melayu juga adalah jenis yang sukar menerima perubahan, bangga dan taat akan negara, patuh kepada adat dan takut akan raja dan sangat menghormati pihak berkuasa. Orang Melayu juga dikatakan sebagai golongan bangsa yang mudah belajar dan akan buat apa sahaja untuk mendapatkan apa yang mereka hajati.
Sir Frank Swettenham memperincikan pemuda Melayu secara umum sebagai tampan, dihiasi mata, bulu mata dan kening yang cantik, tetapi wajah seperti sedih dan kemurungan. Mata mereka pula besar dan jernih manakala perempuan Melayu pula digambarkan sebagai ayu dan pintar berbicara, petah, pandai bergurau senda dan cepat menangkap maksud kiasan. Mereka juga gemar membaca karya persuratan dalam bahasa Melayu serta selalu menggunakan bahasa kiasan apabila berbicara sehingga sukar untuk kaum lelaki memahaminya. Perempuan Melayu juga ramah, lemah lembut tetapi sesekali garang, cemburu, boros dan apabila menjelang usia 40an, mereka gemar akan barang kemas dan pakaian cantik.
 
2. Di dalam tajuk KELINCIKAN PANGLIMA PERANG SEMAUN, Sir Frank Swettenham mengambarkan keadaan keliling kawasan rumah Haji Musa sebagai sebuah pemandangan yang indah – “…Sinar matahari memancar di atas hamparan kuning padi yang nun jauh di sana dilatari perbukitan berwarna biru lembut. Betapa indahnya kesemua itu!”
 
3. Sir Frank Swettenham memuatkan kisah-kisah tentang keunikan orang Melayu melalui amuk, latah, kepercayaan tahayul, tarian joget dan adat istiadat diraja serta golongan bangsawan.
 
4. Dalam 22 bab, kisah paling menarik adalah tentang gelagat seorang Sultan di sebuah negeri Melayu yang digelar sebagai Raja Caddock. Sultan ini pernah dinafikan haknya sebagai Sultan sehinggalah Baginda menjadi miskin pada umur 50 tahun, namun hak dan kedudukannya dikembalikan semula. Sultan ini digambarkan sebagai seorang yang sombong, suka memerintah dan suka menguasai. Disebalik perwatakan sombong baginda, baginda juga dikatakan sebagai seorang yang pintar dan berpengetahuan luas serta gigih membina persahabatan dan kesetiaan bersama British. Kedegilan Baginda telah mengheret baginda ke mahkamah kerana enggan membuat bayaran untuk kereta sorong khas untuk bayi dan kotak muzik sehingga berlaku pertengkaran antara Sultan ini dan Imam. Baginda akhirnya meninggal kerana ketumbuhan dalam otak dan hanya menaiki takhta selama 10 bulan. Baginda mangkat pada 26 Julai 1887 dan dikebumi di daerah Sayong, diberi gelaran Almarhum Gharirullah bermaksud semoga Allah mengampuni baginda.
 
5. Bab tentang pembunuhan JWW Birch, Sir Frank Swettenham menerangkan secara terperinci tentang kejadian itu yang turut melibatkan beliau dan hampir-hampir membunuh beliau serta beberapa orang yang pengikut beliau dan Raja Mahmud. Baca dengan lapang dada sebuah kisah yang tidak diceritakan dalam buku teks sejarah tetapi dari kaca mata seorang penjajah British yang ada ditempat kejadian.
 
 
Buku ini sangat menarik dan enjoy membaca kisah kehidupan orang Melayu 100 tahun dahulu yang hanya mempunyai sungai sebagai ‘jalanraya’ dan berkongsi ‘rumah’ dengan haiwan-haiwan bahaya seperti ular, buaya dan juga harimau. Sir Frank Swettenham mempunyai pemerhatian dan pengetahuan yang baik tentang budaya, cara hidup dan kepercayaan agama orang Melayu sepanjang beliau berkelana di Tanah Melayu namun segala pandangannya tentang orang Melayu adalah cuma pandangan sebagai orang luar yang masuk ke ‘rumah’ orang Melayu dan persepsinya terhadap orang Melayu saya tidak anggap ia mewakili orang Melayu secara umum. Saya menganggap Sir Swettenham sedang berkata tentang golongan bangsawan bukanlah rakyat jelata yang bekerja siang dan malam membanting tulang bercucuk tanam di atas tanah mereka sendiri.
Apa pun, buku ini sangat menarik dan membuatkan saya sukar untuk berhenti membaca namun perlu diingatkan bahawa ia ditulis oleh orang British dan seorang penjajah yang adakalanya gemar memandang rendah pada bangsa lain dan merasa bangsa mereka yang paling berpendidikan dan bertamadun.
 
 
Perempuan itu daripada keturunan diraja bernama Maimunah. Bagi ukuran orang Melayu, dia seorang yang bertubuh mungil tetapi anggun, mempunyai tangan dan kaki yang sangat kecil,muka bujur sirih dan bermata galak, bebola mata yang hitam ibarat teratai yang terapung dalam telaga putih kebiruan, kelopak mata yang terbuka luas atau separa terbuka berkelip-kelip dengan gaya memikat yang diteduhi bulu mata nan lentik. Hidngnya mancung, bibirnya bak delima merekah menutupi barisan giginya yang cantik dan putih. Di kedua-dua belah pipinya ada “lesung mata” yang sungguh mempersona hingga menggoda orang yang melihatnya hingga mati. Rambutnya yang hitam berkilat berjuntaian melengkung membujur di dahinya, mengurai lurus di belakang kepalanya yang terletak elok dan diikat dalam simpulan ringkas dengan penyepit rambut..” – Gambaran seorang wanita bangsawan bernama Maimunah oleh Sir Swettenham dalam tajuk Perkasihan Terlarang.

Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...