Followers

Wednesday, 8 June 2022

Ulasan Buku - Bintang Merah di Langit Malaya - Masyarakat Majmuk Malaya 1941

Tajuk : Bintang Merah Di Langit Malaya – Masyarakat majmuk Malaya 1941
Penulis : Cheah Boon Kheng (Penterjemahan oleh Syed Omar Husain)
Penerbit : IBDE
Genre : Non-Fiction


Saya baru habiskan Jilid I sahaja, masih ‘berehat’ dari membaca Jilid II. Izinkan saya ulas tentang Jilid I dahulu untuk mengelakkan saya lupa.
 
Buku ini ditulis berdasarkan kajian arkib nan meluas di Malaysia, Britain, Jepun dan Amerika Syarikat, menghuraikan pengaruh pendudukan Jepun terhadap pembentukan semula Malaya ketika Jepun menjajah Malaya sekitar 1941 hingga 1945. Buku ini pertama kali dicetak pada tahun 1981 dan buku ini adalah buku edisi ke empat yang diulang cetak. Buku ini ditulis oleh Dr Cheah Boon Kheng terjemahan dari buku asal bertajuk Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation, 1941 – 1946 oleh Syed Omar Husain. Dr Cheah Boon Kheng adalah seorang Professor Sejarah di Universiti Sains Malaysia yang sangat berminat dengan Sejarah Malaya dan banyak menerbitkan buku-buku sejarah antaranya To’ Janggut: Legends, Histories and Perceptions of the 1915 Rebellion in Kelantan dan juga menjadi editor untuk beberapa buku-buku termasuklah buku A. Samad Said.
 
 
Buku ini memperlihatkan gambaran sebenar masyarakat berbilang kaum di Malaya bermula dengan kemasukan kaum Cina dan India ke Malaya oleh dasar penjajahan British pada abad ke-19. Penghijrahan masuk tanpa sekatan buruh Cina dan India (kebanyakannya bukan beragama Islam) untuk bekerja di lombong bijih timah dan ladang getah berlaku hingga tahun 1921 sehingga jumlah kaum Cina dan India yang berhijrah telah melebihi jumlah orang Melayu-Muslim pribumi. Mulanya pihak British mengumumkan penghijrahan ini hanya sementara namun pada tahun 1931 kadar bancian menunjukkan semakin ramai kaum Cina dan India yang lahir di sini dan memperlihatkan kecenderungan untuk terus kekal tinggal di Malaya. Menurut bancian, kaum cina ramai tinggal di kawasan Bandar kecuali di negeri Kelantan dan Terengganu yang mana Melayu menguasai kawasan Bandar. Terdapat beberapa perselisihan faham antara Cina dan Melayu kerana perasaan terancam dari segi ekonomi dan politik dan ketidakpuasan hati tentang cara British melindungi kepentingan Melayu manakala orang India pula umumnya berpuas hati kerana mendapat pekerjaan dalam bidang awam dan swasta dan terbuka untuk merebut peluang perniagaan. Apabila Jepun masuk ke Malaya, menerima layanan buruk kerana anasir anti-Jepun oleh PKM dan parti-parti cina lain. Jepun telah melakukan beberapa siri pembunuhan beramai-ramai secara besar-besaran di beberapa kampung dan petempatan orang Cina. Walaupun pentadbiran Jepun digambarkan kejam dan layanan yang kasar tetapi Jepun masih meneruskan sistem pentadbiran British yang melindungi tanah rizab dan kepentingan orang Melayu. Malah kaum Melayu ramai yang dapat menyertai perkhidmatan awam dan dilantik dengan jawatan-jawatan kategori elit oleh Jepun. Kaum India juga dilayan baik kerana Jepun mempunyai hasrat untuk menjajah India pula.
Kaum Cina dibawah PKM berhasrat untuk menubuhkan sebuah Republik Demokratik Malaya dan kaum Melayu dibawah KMM pula ingin mengikut jejak Indonesia Raya dan menuntut kemerdekaan untuk Malaya bersama-sama Indonesia.
 
Ketika kedatangan Jepun pula, PKM membentuk MPAJA untuk berperang dengan tentera Jepun. Buku ini adalah intro pengenalan tentang kaum majmuk dan sejarah penghijrahan kaum lain ke Tanah Melayu yang dibawa sendiri oleh British. Malah, Jepun juga ada membawa orang Jawa datang ke Tanah Melayu bagi tujuan untuk bercucuk tanam walaupun ketika itu, penduduk Tanah Melayu kekurangan sumber makanan dan mengakibatkan banyak kematian. Hak-hak kaum Cina di nafikan ketika zaman penjajahan Jepun sehingga mereka tidak dibenarkan membuka sekolah malah belajar dalam bahasa Mandarin juga tidak dibenarkan selain mereka di layan dengan kasar malah dibunuh tanpa perbicaraan lalu meniupkan semangat anti-Jepun yang menebal dikalangan orang-orang Cina. Semangat kecintaan pada tanahair orang Cina Malaya sebenarnya lebih untuk tanah besar China. Untuk Jilid I ini, hanya diterangkan tentang masyarakat Melayu, Cina dan India sewaktu penjajahan Jepun. Akan disambung Jilid II selepas penjajahan Jepun pula. Tunggu ulasan dari saya...
 
 
Pada tahun 1941, tiada satu kaum pun daripada tiga kaum terbesar – Melayu, Cina dan India – menganggap diri mereka sebagai warga “Malaya” yang mencakupi semua kaum dengan memikul tanggungjawab dan masalah yang sama” – Dr Cheah Boon Kheng

Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...