Followers

Saturday, 23 July 2022

Ulasan Buku - Kisah Klasik Tamadun Melayu

Tajuk : Kisah Klasik Tamadun Melayu
Penulis : Abdullah Sidek
Penerbit : The Patriots
Genre : Non-Fiction


Bangsa Melayu sejak ribuan tahun yang lalu telah membina ratusan kerajaan yang membentang di Asia Tenggara. Kerajaan bangsa ini masyhur, didendangkan oleh pelbagai bangsa agung di dunia. Sudah tentu, sejarah tamadunnya yang berusia ribuan tahun ini juga pastinya menyimpan ribuan kisah menarik, hebat dan penuh pengajaran untuk tatapan anak bangsa. Justeru, buku ini dihasilkan dengan menghimpunkan 70 kisah klasik daripada tamadun Melayu, yang penuh ragam dan rencah supaya anak Melayu zaman moden tidak melupakan apa yang berlaku pada helaian riwayat nenek moyang mereka.


Penulis buku Kisah Klasik Tamadun Melayu, Abdullah Sidek Saat merupakan seorang guru sejarah yang banyak menulis buku-buku tentang sejarah Melayu antaranya ialah Perang Tamadun Melayu dan Rahsia Empayar Melayu Sriwijaya. Penulis menggunakan nama Seri Cendekiawan sebagai nama pena di laman sosial telah banyak berkongsi tentang sejarah-sejarah Melayu di Facebook dan Twitter. Penulis menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah difahami dalam setiap perkongsian.

Buku ini mengisahkan tentang cerita-cerita lama dan hikayat yang berkaitan dengan bangsa Melayu di seluruh Nusantara pada ketika dahulu. Kegemilangan Melayu ketika itu tidak disangkal lagi dengan kehebatan tentang Melaka, Sriwijaya dan sejarah tentang negeri-negeri yang dihuni oleh bangsa Melayu. Di sebalik kehebatan tamadun Melayu, terdapat pelbagai kisah-kisah klasik sama ada kisah benar atau kisah dongeng disampaikan oleh nenek moyang kita dari generasi ke generasi yang boleh diambil sebagai tauladan. Malah ada juga kisah-kisah klasik yang sekadar hiburan dan untuk menceritakan kehebatan bangsa Melayu pada suatu ketika dahulu. Membaca buku ini juga dapat membuatkan kita membayangkan kehebatan dan keagungan Nusantara ketika itu.

Terdapat 70 kisah pendek klasik Tamadun Melayu yang dimuatkan dalam buku ini. Ada beberapa kisah yang kita tau dan sudah belajar di sekolah atau melalui penceritaan atuk dan nenek antaranya seperti kisah-kisah Hang Tuah, Pertaruhan Jebat – Tuah, kisah tentang Tun Teja, Tentang kekejaman Sultan Mahmun dan Singapura dilanggar todak. Dan ada juga kisah-kisah dalam buku ini yang tak pernah saya baca atau dengar seperti cerita asal usul nama daerah Setiu, Kisah Beruk Tunggal, Puteri Junjung Buih dan banyak lagi.

Dalam banyak-banyak kisah, yang menarik untuk saya ialah Krisis Raja Haji Dengan Belanda di mana Raja Haji merupakan Yam Tunku Muda ke-4 bagi kerajaan Johor Lama iaitu orang kedua paling berkuasa di Johor. Raja Haji telah mengadakan perjanjian bersama Belanda pada tahun 1780 tentang perdagangan di Pelabuhan Johor terutamanya di Riau. Namun, Belanda telah melanggar perjanjian itu dan ini menaikkan darah Raja Haji. Perlawanan yang sengit antara pasukan Raja Haji dan Belanda telah memaksa Belanda berunding dengan Raja Haji untuk berdamai. Sekali lagi Belanda memungkiri perjanjian dan memaksa Raja Haji sekali lagi menghantar pasukannya untuk berperang dengan Belanda. Raja Haji terkorban akibat bedilan meriam yang mengenai dadanya. Raja Haji telah diangkat sebagai Pahlawan National Indonesia pada tahun 1997.


Di tengah-tengah kehangatan filem Mat Kilau yang masih lagi ditayangkan di pawagam ketika ini, buku ini sangat sesuai dibaca untuk menyuntik lagi semangat ke-MELAYU-an dan cintakan bangsa dalam setiap darah bangsa Melayu. Bukan untuk menyuntik semangat berlawan dengan bangsa lain tetapi hanya untuk mengingatkan diri kita tentang kehebatan bangsa Melayu dahulu dan menguatkan jati diri. Untuk bangkit maju dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa hebat yang lain, kita perlu kenal asal usul dan sejarah supaya tidak melakukan kesilapan yang sama dilakukan oleh bangsa Melayu dahulu sehingga mengakibatkan tanahair kita dijajah dan dituduh sebagai bangsa pemalas dan tidak bertamadun oleh British walhal kita pernah mempunyai empayar dan tamadun yang cukup hebat dan dikenali di seluruh dunia.


Jika ada carta lima kerajaan Melayu terbaik, pasti Funan dalam senarai tersebut. Funan bukan sahaja kerajaan Melayu yang mempunyai wilayah yang luas, bahkan kerajaan ini telah memainkan peranan yang penting dalam bidang keilmuan. Selain itu, ilmu kelautan orang Melayu Funan juga tidak kurang hebatnya iaitu mereka telah membina kapal yang boleh mengangkut 600-700 orang penumpang dan boleh menampung 1000 tan kargo. Semasa pemerintahan Fan Shih Man, baginda telah meluaskan lagi wilayah Funan dengan menakluk 10 buah kota lagi. Penaklukan ini telah menjadikan Funan sebuah kerajaan yang makmur kerana berjaya menguasai jalur perdagangan yang terpenting pada waktu itu.” – Ringkasan tentang kerajaan Funan dalam Kaundinya Membuka Funan, mukasurat 31.


Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...