Followers

Friday, 15 July 2022

Ulasan Buku - Jose Rizal – Melayu Agung

Tajuk : Jose Rizal – Melayu Agung
Penulis : Carlos Quirino (diterjemah oleh Puspawati Rusman)
Penerbit : IBDE
Genre : Non-Fiction, Biografi


30 Disember 1896, sepasukan perajurit Filipina berbaris bagi memenuhi perintah tembak mati Jose Rizal. Di belakang, sepasukan serdadu Sepanyol bersiaga menembak pasukan itu pula. Dosa Jose Rizal: Menjadi penulis menentang penjajahan Sepanyol. Doktor memeriksa nadi Jose sebelum ditembak, ternyata normal, tiada gentar, tiada debar. Pahlawan itu gugur dengan kalimat terakhir yang dipinjam dari Yesus Kristus: Consummatum est. Sempurna sudah! Nama Jose Rizal harum ke seluruh dunia. Kisah hidupnya dirangkum oleh Carlos Quirino dalam karya yang memenangi Sayembara Biografi Komanwel tahun 1938.


Buku biografi dengan tajuk asalnya The Great Malayan ditulis oleh penulis Carlos Quirino dan diterbitkan pada tahun 1940. Pada asalnya, Carlos Quirino menyertai pertandingan menulis biografi wira negara Dr. Jose Rizal pada November 1935 dan dimenangi oleh Dr. Rafael Palma ditempat pertama. Tetapi penulis telah dipanggil oleh Presiden Filipina ketika itu dan Presiden tersebut menghadiahkan penulis jumlah wang tempat pertama kerana berpedapat bahawa penulisan Carlos Quirino adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan kesemua pemenang.


Buku ini mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang Patriot Melayu Filipina yang berjuang demi penindasan orang-orang Filipina ketika Filipina dibawah jajahan Sepanyol. Dr Jose Rizal adalah seorang genius kelahiran Melayu Filipina dilahirkan pada Jun 1861 dibesarkan di Kalamba serta mendapat pendidikan awal secara tutor oleh ibunya bersama adik-beradiknya. Tanpa pengetahuan ibu dan bapanya, Jose Rizal senyap-senyap meninggalkan Filipina dan belajar ke Universiti Santo Thomas dan mangambil bidang falsafah dan persuratan atas pembiayaan adik beradiknya. Kemudian, beliau menyambung pengajian dalam bidang Medik dan Falsafah di Universiti Central De Madrid di Sepanyol dan seterusnya ke Universiti Paris dan Heidelberg untuk menamatkan pengajian dalam bidang optalmologi iaitu kepakaran dalam bidang mata. Tujuan Jose Rizal mengambil bidang mata adalah untuk merawat sendiri masalah mata ibunya. Beliau sangat mahir dengan pelbagai bahasa dan menguasai lebih dari 20 bahasa termasuklah Bahasa Melayu. Selain pakar dalam bidang mata, beliau juga mahir seni mempertahankan diri, penembak yang handal, pandai melukis dan minat pada bidang seni muzik. Beliau juga sering menulis puisi dimasa lapangnya.

Ketika beliau menyambung pelajaran ke luar negara, beliau kerap menjelajah dari satu tempat ke satu tempat untuk meninjau kemajuan dan belajar tentang sejarah tempatan namun walaupun banyak tempat telah di lawatinya, Filipina tetap dihati dan cintanya untuk tanahair sangat kuat. Atas semangat itu, beliau berjuang dengan menanam ideologi nasionalisnya melalui karya-karya puisi dan novel yang ditulisnya hingga mengakibatkan pihak Sepanyol menjadi takut dengan tajam mata pena nukilan Dr Jose Rizal. Novel pertamanya mencetus kontroversi terutama dikalangan biarawan gereja Filipina ialah Noli Me Tangere,  mengisahkan korupsi para biarawan di gereja Katolik Filipina dalam menindas rakyat dan menggunakan agama sebagai alat untuk mereka memeras rakyat. Jose Rizal sekali lagi menulis tentang korupsi yang dilakukan oleh pihak gereja Filipina dan kebangsatan penjajah Sepanyol yang bermaharajalela di bumi Filipina kerana dibantu oleh fatwa-fatwa gereja di Filipina melalui novel keduanya bertajuk El Filibusterismo. Jose juga ada menulis beberapa bahagian dalam sebuah akhbar yang menyebarkan propaganda menentang penjajahan Sepanyol iaitu La Solidaridad. Jose Rizal menuntut supaya diberikan kebebasan bersuara dan berhimpun, hak yang sama rata untuk orang Filipina, dan penguatkuasaan undang dikenakan ke atas paderi-paderi Filipina yang korup. Selain itu, dia meminta agar Sepanyol meletakkan Filipina sebahagian daripada wilayah Sepanyol dan Filipina mempunyai wakil dalam parlimen Sepanyol ketika itu.

Walaupun telah diberi amaran oleh keluarga serta rakan-rakannya, Jose Rizal tetap pulang ke Filipina dan bermulalah hukuman yang dikenakan oleh pihak penjajah Sepanyol ke atas beliau dan keluarga sehingga akhirnya beliau disabit dengan hukuman tembak sampai mati atas sesuatu yang tidak beliau lakukan namun atas semangat patriotik dan cintakan negara, Jose Rizal kekal tenang dan rela mati demi bangsa Melayu Filipina. 30 Disember dijadikan Hari Rizal untuk memperingati jasa dan kepahlawanannya dalam menentang penjajah Sepanyol melalui mata penanya yang tajam.


Buku ini penuh dengan emosi naik dan turun seorang Jose Rizal. Beliau sendirian melawan penjajah dan sering kecewa dengan semangat sementara para sahabatnya. Beliau juga ditikam dari belakang oleh sahabat seperjuangannya tatkala di Madrid sehingga membuatkannya jatuh kecewa dan merasa keseorangan. Hanya Blumentritt sahabatnya sehingga nafas yang terakhir dan sokongan keluarga yang tidak pernah berbelah bahagi menjadi semangat untuknya. Sebelum membaca buku ini, saya membayangkan bahawa Dr Jose Rizal adalah pahlawan yang menghunus keris atau pistol untuk berlawan dengan para penjajah namun sebaliknya beliau adalah seorang cendiakiawan bersusuk kecil size lelaki melayu biasa dan hanya menggunakan bait-bait ayat penulisan untuk menikam jantung para penjajah Sepanyol hingga mengakibatkan beliau dihukum mati. Walaupun hidupnya cuma 35 tahun, tetapi usianya telah diisi dengan agenda untuk menyeru semangat menentang kekejaman penjajah Sepanyol ke atas rakyat Filipina namun beliau tidak mengalakkan revolusi dengan cara keganasan.


Sejak lahir ke dunia hingga masuk semula ke lubang kubur, orang tempatan diberikan didikan yang kejam, menekan dan tidak berperikemanusiaan,” tulisnya. “Didikan yang terhad di rumah, sistem pendidikan yang dibuat sembarangan di beberapa buah pusat pembelajaran dan tidak mendatangkan hasil, kepentingan anak muda diketepikan demi keperluan orang yang lebih berusia, mempengaruhi fikiran supaya mereka kurang cemerlang daripada orang sebelum mereka, sebaliknya berpuas hati dengan sekadar mengikut atau berdiri di belakang. Pembantutan biasanya terjadi akibat daripada budaya ini; dan sesiapa yang menumpukan hidupnya sekadar meniru sehingga meninggalkan mutu lain yang lebih sesuai dengan dirinya, sudah tentulah tidak produktif – dan seterusnya menjadi mundur. Kemalasan ialah natijah daripada kekurangan dorongan dan ketahanan diri.” – Jose Rizal – kemalasan di Filipina (mukasurat 185)

Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...