Followers

Friday, 1 July 2022

Ulasan Buku - Bercakap Dengan Jun: Edisi Kombo

Tajuk : Bercakap Dengan Jun : Edisi Kombo
Penulis : Hasrul Rizwan
Penerbit : FIXI
Genre : Fiksyen


Kematian, korupsi dan penindasan membentuk Jun menjadi lelaki tanpa empati. Di kota raya, Jun raja penyeluk saku yang tidak pernah gentarkan apa-apa sehinggalah datangnya seorang gadis di suatu malam, melahirkan bayi di sebuah rumah kosong dan terus menghilangkan diri meninggalkan bayinya bersama Jun.

Bayi itu disambut Jun dengan jiwa ketakutan, namun senyuman anak kecil berpipi merah itu menerbitkan kegembiraan dan menghakis setiap sisi kegelapannya. Jun bertekad menjaga, mendidik, dan membesarkan si bayi bersamanya di penempatan yang terasing jauh dari manusia. Dengan kudrat, darah dan air matanya, dia berkorban untuk menjadi ayah yang terbaik. Sehinggalah titik hitam yang mengubah segalanya.


Bercakap Dengan Jun: Edisi Kombo ini adalah gabungan dua buah buku. Buku pertama diterbitkan di bawah penerbitan DuBook Press. Buku kedua pula adalah sekuel buku pertama TETAPI ia tidak diterbitkan secara single melainkan terus digabungkan dan dijadikan satu buku di bawah terbitan FIXI. Dalam erti kata lain, jika anda sudah membaca buku pertama dan ingin membaca sekuel Bercakap Dengan Jun, anda perlu membeli edisi kombo ini. Kalau anda peminat karya-karya Hasrul Rizwan, anda boleh memiliki kedua-duanya, kan?


Buku Pertama
Mengisahkan seorang pemuda berusia awal 20an yang kerjayanya ialah sebagai penyeluk saku secara professional dan tinggal seorang diri dalam sebuah kawasan projek rumah terbengkalai dan salah sebuah rumah itu milik arwah emaknya yang tidak sempat disiapkan oleh pemaju kerana pemaju telah lari meninggalkan projek perumahan tersebut menjadi hutan dan semak samun dan dihuni pelbagai hidupan liar juga makhluk-makhluk halus dari alam lain. Dia tidak keseorangan di situ tetapi ditemani seekor anjing yang diselamatkan olehnya satu ketika dahulu dan diberi nama Saigon. Di awal penceritaan buku ini, penulis membawa kita menyelami  watak utama sebagai penyeluk saku, bagaimana penulis dapat mengambarkan dengan begitu terperinci tentang kerja seorang penyeluk saku serta membawa pembaca menyusuri keadaan kawasan sekitar Taman Cekur Manis yang jauh dari kawasan dan kehidupan manusia lain.

Suatu malam, seorang wanita telah datang ke kawasan kediamannya keseorangan dan melahirkan seorang bayi. Dalam keadaan ketakutan dan tanpa pengalaman, dia telah berjaya menjadi bidan terjun dan menyelamatkan dua nyawa namun apabila siang, wanita itu pergi meninggalkan bayi bersama pemuda ini tanpa apa-apa pesanan. Bermulalah kehidupan sebenar pemuda ini, dari seorang penyeluk saku dan kemudian meninggalkan kerjaya gelap itu demi membesarkan bayi itu dan memulakan hidup baru. Masa berlalu, pemuda itu bahagia bersama bayi yang dinamakannya Ranum dan semakin membesar lincah ke mana sahaja ditemani Saigon. Walaupun hidup serba kurang dan jauh dari manusia lain mereka bahagia bersama. Dia mencurahkan seluruh kasih sayangnya untuk Ranum tanpa berbelah bahagi dan pemuda itu sanggup melakukan apa sahaja sekalipun nyawa sebagai galang-ganti hanya untuk melindungi Ranum dari disakiti.

Hari berganti hari, apabila Ranum genap usia 6 tahun. Ranum diperkenalkan dengan seorang gadis penjual bakery yang tahu segala rahsia pemuda tersebut, yang Ranum kenali sebagai Ibu Naurah dan pemuda itu terserempak kembali dengan seorang gadis misteri dalam tren, Lily. Namun, sesuatu petaka telah terjadi dan meragut kebahagian hidupnya bersama Ranum dan Saigon. Bahagia yang dikecapi bertukar menjadi mala petaka.

Buku Kedua
Pemuda itu yang namanya JUNAIDI atau JUN masih hidup dan terperangkap dalam tirai besi. Jun telah kehilangan Ranum dan Saigon. Mulanya Jun putus asa bila cinta hatinya, si Pipi Merah tiada lagi disisi dan Saigon mati selepas berjuang bersamanya namun dengan kekuatan dan semangat yang Lily titipkan sebelum berangkat ke luar negara, Jun bangun kembali dengan tekad untuk mencari kembali Ranum.

Selepas 15 tahun dipenjara, Jun kembali ke Taman Cekur Manis dan memulakan hidup baru sebagai tukang kasut di Ibu Kota. Sambil-sambil itu, Jun terus mencari Ranum yang telah pun berusia 21 tahun kini. Pencarian tidak lama, Jun berjaya bertemu dengan Ranum namun tidak mahu merosakkan kebahagian anak gadisnya itu maka Jun nekad bekerja di hotel dibawah penyeliaan Ranum dan bahagia walaupun hanya mampu melihat anaknya dari jauh. Namun, kebahagian seperti bukan miliknya. Sekali lagi bahagianya diragut apabila kemunculan Naurah semula dan semuanya hilang dalam sekelip mata.

Segala persoalan dalam buku pertama terungkai dalam buku kedua. Buku kedua lebih laju penceritaan berbanding buku pertama dam karakter Jun meningkat dari seorang lelaki yang sepi, menjadi seorang lelaki yang ganas dengan pelbagai aksi. Dalam buku kedua juga akhirnya kita tahu nama pemuda itu adalah Junaidi atau JUN.


Ini kali pertama saya membaca buku tulisan penulis Hasrul Rizwan atau lebih dikenali sebagai Mat Gorn. Jika anda tak kenal siapa penulis, anda mungkin tak terbayang penulis adalah seorang pengurus jenazah, pembuat keranda dan memiliki perniagaan roti. Selain Bercakap Dengan Jun dan Bercakap Dengan Jun: Edisi Kombo, Hasrul Rizwan sudah memiliki lebih dari 10 buah buku karya dan kebanyakan karyanya adalah berbentuk komedi namun berlainan dengan Bercakap Dengan Jun, buku ini sarat dengan kesedihan yang mampu mengalirkan air mata pembaca. Perincian setiap karakter diolah dengan begitu baik sekali sehingga saya merasakan watak Jun benar-benar wujud dan saya boleh rasa kekosongan jiwa, sepi, gembira atau bahagia setiap watak.

Dalam buku kedua ni, saya jadi canggung sekejap bila kata ganti diri telah bertukar dari SAYA kepada AKU. Mungkin penulis ada sebab tersendiri tapi untuk saya, agak sukar terima sebuah buku bertukar kata ganti secara tiba-tiba. Begitu juga dengan panggilan Ibu Naurah dalam buku pertama, dan menjadi EMAK dalam buku kedua. Namun di akhir bacaan, EMAK menjadi IBU pula. Selain itu, bagaimana Jun pandai memandu kereta? Mungkin Jun sempat belajar memandu sekejap dalam beberapa minit dengan Lan Mudoq. Apa pun, buku ini antara buku fiksyen Melayu terbaik yang pernah saya baca. Jika buku ini dapat diadaptasi menjadi sebuah drama, mesti sangat menarik dan Amirul Effendi pleaseee....


Aku hanya duduk dan merasa hangat bara api yang membakar kulit. Sebetulnya, aku tidak pernah membayangkan untuk kembali ke sini dalam keadaan tekal. Terlalu banyak memori yang berlegar di setiap inci dan ceruk tanah ini. Walau ke mana sahaja wajah ini dipaling, di situ wujudnya tubuh Ranum yang pernah mengisi kehidupan di Cekur Manis. Aku cuba untuk tidak berfikir lebih jauh namun fikiranku berbolak-balik. Tiada kemanisan untuk dikenang atau membuat hati ini lebih gembira melainkan kembali terheret ke belakang jeriji besi.” – mukasurat 228.

Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...