Followers

Wednesday, 19 October 2022

Buku Terpaling Devastating - Painful - Sadis Yang Pernah Saya Baca

Assalamualaikum....

Sejak akhir-akhir ni saya seakan-akan rasa 'malas' untuk buat review atau ulasan buku di blog. Bukan kerana kurang pembaca tapi kerana di blog saya perlu buat ulasan yang lebih lengkap dan proper - dan agak memenatkan. Saya juga telah berhenti berkongsi review di instagram buat masa ini kerana saya private instagram saya jadi perkongsian agak limit.

Perancangan saya adalah untuk menggunakan akaun tiktok saya yang ada untuk berkongsi tentang buku-buku dan ulasan pendek. Tapi saya perlukan peralatan dan prop untuk menjadikan video saya lebih menarik. Menambah malas saya.

Tak penting pun semua ini sebenarnya, hanya untuk mengisi masa lapang saya sebagai surirumah. Surirumah juga perlukan hobi agar tidak terjebak dengan perkara lagha. Kalau tak, surirumah akan mudah hanyut dengan dunia gosip dan membawang dan seterusnya menjadi netizen yang rajin berkuntum di blog atau page-page gosip Malaysia. Itu yang saya nak elakkan.


Berbalik kepada tajuk - 
Baru-baru ini saya habis membaca sebuah novel tebal 820 mukasurat dan saya mengambil masa 10 hari untuk menghabiskannya - itu pun ada sesetengah yang saya terpaksa skip beberapa muka surat kerana meleret dan boring. Kisahnya sangat kemurungan dan membuatkan saya terpaksa rehat seketika dari membuka buku lain - selama 3 hari. A Little Life...


Saya agak tidak rajin untuk mengulas buku ini, cuma saya boleh katakan yang saya tidak berhasrat untuk recommend buku ini kepada sesiapa yang berhati tisu - atau dalam bahasa lebih lengkap:-

Kesiapa yang mengidap PTSD atau ada masalah kesihatan mental, sama ada sudah dignose atau tidak - saya tidak sarankan anda membaca buku ini. Kerana buku ini mengandungi keganasan sexual, penderaan kanak-kanak, pelacuran kanak-kanak, kekejaman, membunuh diri, trauma akibat penderaan, rogol dan percintaan sesama jantina aka LGBT.

Sedangkan saya yang (alhamdulillah) memiiliki kesihatan mental yang baik pun terpaksa berehat sebentar untuk mengembalikan keamanan kepada mental saya. Apa pun, terpulang pada anda sekiranya anda rasa berkeinginan untuk cuba membacanya. Tapi tidak salah jika anda berhenti seketika atau terus berhenti jika tidak mampu untuk terus membaca.


Fakta tentang A Little Life:
Kisah Jude St Francis adalah kisah yang diambil dari kes jenayah seksual kanak- kanak yang membabitkan seorang Virologist bernama Daniel Carleton Gadjusek yang disabit kesalahan mencabul kanak-kanak. Mungkin penulis mengambil beberapa kes Daniel sebagai reference untuk menjadikannya sebuah watak tragis Jude St Francis. Buku ini mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan. Penulis juga memang berhasrat untuk menjadikan buku ini tiada happy ending.


Selama 19 hari dalam bulan oktober ini, saya cuma mampu membaca 2 buah buku sahaja. Saya baru mula membaca buku ke tiga pada hari isnin namun masih perlahan dan belum pun mencecah 100 muka surat. Memang benar beberapa ulasan A Little Life mengatakan, buku ini akan menjadi punca kepada reading slump sesetengah pembaca 😄.


Apa pun, penulis Hanya Yanahigara adalah antara penulis berbakat yang mampu menulis dengan sangat baik. Saya sedang berkira-kira duit tabung untuk mendapatkan buku Hanya yang lain. Jaga-jaga emosi 😂.



Wednesday, 5 October 2022

Ulasan Buku - Gila Balak: Menelusur Jejak-Jejak Mafia Kayu Balak Asia

Tajuk : Gila Balak: Menelusur Jejak-jejak Mafia Kayu Balak Asia
Penulis : Lukas Straumann (Terjemahan oleh Dian Saleh)
Penerbit : SIRD
Genre : Non-Fiction
Rating : ⭐⭐⭐⭐⭐


Gila Balak menyiasat apa yang telah disebut oleh Gordon Brown sebagai jenayah alam sekitar terbesar masa kini: kerosakan hutan hujan secara besar-besaran oleh pembalak-pembalak Malaysia. Sejarahwan dan aktivis, Lukas Straumann bukan sahaja mencari semula hutan hujan yang telah hilang dan orang-orang yang pernah suatu ketika dahulunya tinggal menetap di situ, malah beliau juga menelusur setiap jaringan penjenayah yang telah mengaut keuntungan ribuan juta melalui rasuah dan jualan kayu balak haram.

Straumann telah menamakan Abdul Taib Mahmud, Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai kepala mafia kayu balak Asia. Pada masa yang sama, Straumann juga menunjukkan betapa keluarga Taib dengan bantuan rakan subahat utama iaitu institusi-institusi kewangan telah berjaya meraih laba keuntungan sebanyak USD 15 ribu juta. Gila Balak ialah kisah sekelompok masyarakat yang kehilangan warisan syurgaloka turun-temurun yang telah digalang ganti dengan ladang-ladang kelapa sawit, pencemaran dan rasuah. Dan kini, mereka berjuang menuntut kembali kehilangan itu.


Buku Gila Balak ini ditulis oleh Lukas Straumann, penulis yang berasal dari Switzerland yang juga Executive Director, Bruno Manser Fond iaitu sebuah badan NGO yang ditubuhkan oleh Bruno Manser bagi membantu orang-orang Penan di Sarawak dalam mempertahankan hutan dan rumah mereka dari golongan GILA BALAK. Buku terbitan SIRD ini mendedahkan tentang pembalakan yang berleluasa di Bumi Kenyalang sehingga merosakkan hutan hujan secara besar-besaran dan mengaut keuntungan berjuta-juta RM yang masuk ke dalam poket-poket individu-individu yang berkuasa di Malaysia.

Buku ini mempunyai 10 bab yang disusun dengan baik, dimulai oleh dengan bekas Ketua Menteri Sarawak yang mempunyai harta yang sangat banyak di dalam dan luar negara. Seorang pembocor maklumat yang pernah bekerja dengan beliau telah mendedahkan segala aktiviti beserta dokumen-dokumen sulit kepada pihak penulis tentang perniagaan dan bangunan-bangunan milik beliau di luar negara. Di akhir bab, penulis memaklumkan pembocor maklumat itu dijumpai mati di bilik hotel dipercayai membunuh diri akibat tekanan.

Kemudian disusuli dengan pengenalan tentang kelompok nomad di dalam hutan Borneo iaitu penduduk asal hutan di Sarawak iaitu orang-orang Penan. Pengenalan tentang orang-orang Penan, kegiatan mereka dan suka duka kehidupan mereka di dalam hutan yang semakin terhakis dek kerana kegiatan pembalakan. Selain itu, buku ini juga menerangkan tentang sejarah politik di Sarawak bermula dengan kedatangan James Brooke sehinggalah ketika bekas Menteri Besar Sarawak Taib Mahmud mengepalai negeri Bumi Kenyalang ini. Segala kekayaan dan kerakusan beliau dan konco-konconya telah dibongkar di dalam buku ini berserta nama-nama orang-orang penting yang bersama dan melindungi beliau. Bagaimana seorang individu mempengaruhi ramai orang-orang penting di negara ini dan negara luar untuk bersama-sama dengannya dalam misi GILA BALAK. Bagaimana mereka tergamak merosakkan ekosistem paling berharga di bumi Malaysia ini. Rata-rata rakyat di Sarawak masih ketinggalan dan hidup miskin tetapi bagaimana seorang ketua di sana kaya raya dengan mengambil hak rakyat Sarawak sehingga semua ahli keluarga memiliki ber ribu juta RM harta dan tidak mempedulikan langsung tentang nasib dan masa depan rakyat di sana. Bukan sahaja orang-orang Penan yang menghadapi dilema ini, termasuk juga kaum-kaum asal yang menetap di dalam hutan di Sarawak juga terbabit bersama menderita akibat isu pembalakan.

Dalam buku ini juga mendedahkan beberapa orang penting yang giat berkempen menolak serta mengecam pembalakan yang berleluasa telah ditangkap serta disoal siasat malah ada juga yang hilang samada dijumpai dalam keadaan sudah tidak bernyawa atau hilang terus dari radar tanpa dapat dikesan jejaknya. Bruno Manser adalah salah seorang aktivis yang datang ke Sarawak untuk menjalani kehidupan nomad bersama orang-orang Penan setelah terbaca tentang orang nomad yang baik di dalam sebuah buku di perpustakaan Switzerland. Bruno meninggalkan kehidupannya untuk merasai pengalaman baru tinggal bersama orang-orang Penan sehingga digelar Laki Penan namun malangnya syurgaloka yang dikatakan di dalam buku telah hilang sedikit demi sedikit akibat pembalakan. Bruno yang memahami kepiluan kelompok Penan telah bersama-sama berganding bahu dan bangkit melawan syarikat-syarikat pembalakan namun akhirnya kerajaan Sarawak telah mengisytiharkan Bruno Manser sebagai PALING DIKEHENDAKI dan melarang beliau dari masuk ke negeri Sarawak. Namun kali terakhir Bruno telah datang ke Sarawak secara senyap-senyap pada tahun 2005 dan hilang jejak tanpa khabar sehingga hari ini. Suratan atau kebetulan?

Menjelang PRU yang akan tiba sikit masa lagi, saya mengesyorkan anda membaca buku ini untuk menambah pengetahuan tentang kegiatan balak yang telah merosakkan ekosistem serta tentang bumi SARAWAK yang sudah tidak lagi hijau. Ia membuka mata saya tentang betapa rakusnya manusia demi harta di dunia sehingga hilang kewarasan dan pertimbangan. Dan membuka minda saya betapa teruknya pembalakan yang dilakukan tanpa perancangan bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di negeri-negeri lain contohnya Pahang dan Kelantan sehingga UNESCO pengumumkan akan menarik pengikhtirafan mereka kepada Tasik Chini. Tidak mampu diungkapkan betapa dasyatnya kegiatan ini namun itu adalah realiti.

Syabas juga kepada penulis dan penterjemah buku ini atas penulisan yang langsung tidak membosankan dan penuh dengan fakta serta penulisan yang kemas dan mudah untuk dibaca serta memberi ilmu baru kepada saya.


“Perubahan yang pesat menyaksikan Sarawak yang dahulunya kaya dengan kehijauan alam bertukar menjadi ‘bumi tandus nan hijau’ dengan terbentangnya lading-ladang kelapa sawit serta kawasan-kawasan takungan air yang bukan sahaja mengancam kemusnahan kepelbagaian bionya yang unik, bahkan juga merampas sumber alam semula jadi daripada masyarakat Orang Asal yang sememangnya berhak ke atasnya. Hutan-hutan yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja ini merupakan ‘modal buat orang-orang miskin’ yang kini semakin lama semakin lenyap akibat daripada projek-projek pembangunan perladangan kelapa sawit dan projek tenaga di bawah kawalan segelintir jutawan kayu balak dan juga sekelompok ahli-ahli politik atasan.”


Ulasan Buku - What Are You Looking For Is In The Library

Tajuk : What Are You Looking For Is In The Library Penulis :  Genre : Non-Fiction Rating : 3.5 ⭐ Assalamualaikum...  Saya bukan nak ulas kes...