Assalamualaikum.....
Pada bulan Mac, saya ada menulis tentang Kebun Damai Sari di PPR Wangsa Sari, Wangsa Maju
Saya ada menyebut tentang rumah kucing di sini
Saya mohon maaf kerana mengambil masa yang agak lama untuk berkongsi tentang rumah kucing di PPR Wangsa Sari ini
Semua kucing di sini adalah kucing gelandangan di sekitar PPR Wangsa Sari dan tidak mempunyai tuan
En. Halim telah membina sebuah rumah yang agak besar, selesa dan diselenggara dengan baik untuk kucing-kucing tersebut tinggal dan dijaga
Makanan dan ubat-ubatan juga dijaga dengan sangat baik di sini
Terdapat beberapa ekor kucing sakit dan cedera teruk dan di rawat oleh En. Halim sendiri
Kucing-kucing ada yang dikutip dari tepi jalan raya dan tidak berdaya kerana sakit atau cedera
Saya secara peribadi amat menggalakkan usaha dan inisiatif ini ke flat/pangsapuri atau PPR lain untuk menjaga kebajikan kucing-kucing gelandangan serta penduduk kawasan terbabit khursusnya
Mengapa perlu dikurung kucing-kucing ini?
Biarkanlah diorang lepas bebas... diorang pun nak hidup normal
Ye... betul
Sekiranya kucing-kucing ini tinggal di kampung-kampung atau tanah luas, tiada masalah untuk melepaskan kucing ini bebas kerana mereka boleh membuang najis di kawasan-kawasan tersorok dan tidak menganggu kehidupan lain
Tetapi memandangkan kawasan-kawasan flat, pangsapuri atau PPR adalah sebuah kawasan kecik yang padat dengan manusia
Ia dapat mengelakkan dari terjadinya kejadian seperti kucing berak di kawasan tangga atau depan rumah
Apabila pembiakan kucing tidak terkawal, kucing-kucing akan bergaduh sesama sendiri dan juga menyebabkan kawasan menjadi kotor dek najis dan sisa makanan yang di bawa oleh haiwan tersebut dan kecederaan kepada kucing itu sendiri lalu menyebabkan kematian
Apabila kawasan kotor, manusia akan hidup di dalam persekitaran yang tidak sihat dan mengalami stress yang tidak terkawal
Maka nanti manusia akan hilang kawalan terhadap emosi dan mula bertindak ganas
Ada satu contoh kejadian yang diceritakan oleh En. Rashdan Rashid iaitu Presiden Persatuan dan juga bos saya
Beliau telah melihat sendiri kejadian di mana seseorang dari tingkat atas sebuah PPR telah mencampakkan kucing dari kawasan tinggi ke bawah dan jatuh di hadapan beliau
Apakah yang terjadi pada kucing tersebut?
Kucing tersebut mati kerana kecederaan yang parah akibat impak jatuh dari tempat tinggi
Kita sedia maklum bahawa manusia yang tergamak melakukan perbuatan tersebut adalah tidak berperikemanusian dan kurang empati dalam diri
Tetapi masalah ini boleh dielakkan jika komuniti sepakat dan sama-sama bergabung tenaga untuk menyelesaikan masalah ini dengan mengadakan sebuah tempat khas untuk kucing-kucing terbiar
Kos kewangan mungkin menjadi masalah tetapi ia boleh diboleh diselesaikan dengan baik hasil perbincangan bersama
PPR Wangsa Sari secara jujurnya bersih dan lebih terurus dari sebuah pangsapuri atau kondominium yang tidak diselenggara dengan baik kerana pihak pengurusan dan komuniti yang bertanggungjawab
Anak-anak Wangsa Sari membesar dengan persekitaran yang sihat dan mereka juga mempunyai belas ihsan terhadap haiwan kerana anak-anak ini rajin mengunjungi rumah kucing terbabit dan bersama-sama membantu En. Halim menjaga, membelai dan membersihkan kawasan rumah kucing
Secara umumnya, Islam mewajibkan berbuat ihsan kepada kesemua makhluk meliputi manusia, tumbuhan, dan juga haiwan. Berbuat ihsan kepada haiwan seperti kucing adalah wajib hukumnya dalam erti kata tidak menyakiti dan menzalimi haiwan tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.
Riwayat Muslim (1955)